Tuesday 13 March 2012

SHAHRIZAT KORBAN DIRI KERANA UMNO?



Oleh : A. KADIR JASIN

PENGARAH National Feedlot Corporation (NFCorp), Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail (suami Datuk Seri Shahrizat Jalil) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan pecah amanah melibatkan RM49.7 juta milik syarikat itu.

Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan mengikut Akta Syarikat 2001 kerana melakukan kedua-dua perbuatan itu tanpa kebenaran mesyuarat agung. Salleh mengaku tidak bersalah dan dikenakan ikat jamin RM500,000.

Beliau dituduh menyalahgunakan RM9,758,140 untuk membeli dua unit kondominium dan memindahkan RM40 juta ke dalam akaun syarikat milik keluarganya, National Meat Livestock Corporation Sdn Bhd.

Kalau kefahaman kita mengenai kenyataan ringkas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkaitan 'pengunduran' Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Shahrizat, tepat, maka antara kesimpulan yang boleh kita buat adalah Perdana Menteri tidak campur tangan.

Ini adalah kerana media massa, antara lain, memetik Najib sebagai berkata bahawa Shahrizat 'mengorbankan diri demi Kabinet dan Umno.' Untuk itu, Najib memuji beliau.

Perdana Menteri memberi tahu pemberita di Pekan petang semalam yang tindakan Shahrizat meletakkan jawatan apabila tempoh pelantikan beliau sebagai Senator berakhir 8 April ini adalah tindakan tepat.

Najib menambah, walaupun tidak ada bukti setakat ini yang Shahrizat melakukan apa-apa kesalahan, tetapi kerana isu NFC telah mencetuskan kontroversi dan pertikaian, beliau bersedia mengundurkan diri daripada kerajaan.

Daripada kenyataan Perdana Menteri yang dilaporkan oleh media massa itu, kita boleh membuat beberapa kesimpulan dan mengemukakan beberapa persoalan. Antaranya:

1. Perdana Menteri tidak campur tangan sama ada Shahrizat kekal dalam Kabinet atau meletakkan jawatan;

2. Shahrizat mengambil pilihan 'mengorbankan diri demi Kabinet dan Umno', bukan kerana didesak oleh sesiapa;

3. Kita tidak akan tahu sama ada Perdana Menteri telah mengambil keputusan sama ada menyambung atau tidak tempoh pelantikan Shahrizat sebagai Senator selepas 8 April ini;

4. Adakah peletakan jawatan Kabinet akan mengurangkan pengaruh Shahrizat sebagai Ketua Wanita Umno atau mengurangkan tekanan ke atas pergerakan itu bagi mempertahankan kewibawaan ketuanya?

5. Adakah anggota Kabinet lain yang ada masalah kewibawaan kerana mereka sendiri atau kakitangan mereka dibabitkan dengan kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan mengikut jejak Shahrizat?

6. Adakah Perdana Menteri akan menggugurkan watak-watak bermasalah seperti itu daripada senarai calon 'winnable' (calon boleh menang) beliau dalam pilihan raya umum yang menjelang?

Wallahualam. Hanya Allah yang tahu, tetapi menjelang PRU tentu ada manusia yang mendongak ke langit melihat sama ada bulan, bintang dan matahari berbaris di angkasa atau menemui kiai Indonesia; sami daripada pelbagai agama dan burung serindit yang pandai menilik.

6 comments:

  1. Perdana Menteri perlulah merombak kabinet dan menyingkirkan mereka yang bermasalah supaya tidak menggangu operasi kerajaan.

    ReplyDelete
  2. Sekurang-kurangnya Sharizat tahu kesalahan diri dan keluarga dan sanggup berundur disebabkan perkara ini.

    ReplyDelete
  3. pengunduran Sharizat ini adalah demi kebaikan semua piha juga.

    ReplyDelete
  4. bukannya korban diri kepada umno, sebaliknya sekadar menurut desakan pemimpin2 pembangkang dan juga pemimpin2 umno sendiri..

    ReplyDelete
  5. memang tidak habis2 la isu pasal sharizat ni.. mahu letak jawatan pun masih juga ada pihak yang terdesak timbulkan persoalan itu ini.. nanti bila beliau sudah bersara, saya yakin isu NFC tetap dimain2kan dimedia..

    ReplyDelete