Saturday 24 March 2012

TIADA MANIPULASI HAKIM DALAM ISU FELDA



MEDIA....Najib bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Ahli Majlis Tertinggi Umno di PWTC di Kuala Lumpur 23 Mac 2012.

Oleh : SHANNON TEOH (TMI)

DATUK SERI Najib Razak menafikan tuduhan yang dibuat PKR terhadap pentadbirannya yang mendakwa telah memanipulasi hakim yang terlibat dalam kes FELDA.

Perdana Menteri itu berkata kepada pemberita bahawa dakwaan sedemikian “adalah penyelewengan fakta” dan akan dijelaskan di Parlimen minggu hadapan.

“Perkara itu tidak benar. Itu adalah penyelewengan fakta,” kata Presiden Umno itu selepas mempengerusikan Ahli Majlis Tertinggi Umno malam tadi.

“Datuk Ahmad Maslan ada fakta lengkap,” tambahnya, merujuk kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap skim Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan itu.

PKR menuduh Perdana Menteri Isnin lalu cuba untuk mempengaruhi mahkmah berhubung kes Felda dan mendakwa mereka mempunyai bukti yang menyokong tuduhan tersebut.

Memetik minit mesyuarat antara Najib dan pengurusan FELDA pada 27 Jun di Parlimen tahun lalu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution telah membaca petikan yang 'membuktikan' tuduhan terdapatnya cubaan untuk mempengaruhi kes mahkamah FELDA.

“Pastikan hakim dan peguam diberikan pemahaman berkenaan subjek dan teknikal untuk pengiraan OER (kadar perahan sawit mentah) bagi memastikan FELDA menang kes tersebut,” kata Ahli Parlimen Machang itu membaca petikan tersebut.

Ahli Parlimen Machang itu menegaskan terdapat empat kes melibatkan peneroka FELDA dan OER, dan pendedahan itu membuatkan sistem keadilan di mahkamah boleh dipertikaikan.

Pemimpin PKR berkata kerajaan harus memberikan jaminan berlakunya perbicaraan yang adil untuk peneroka FELDA, dan menambah ini menimbulkan keraguan serius terhadap tindakan perundangan yang diambil oleh peneroka yang menentang penyenaraian FELDA.

Bulan lalu, lapan peneroka FELDA telah memenangi arahan sementara mahkamah menghalang penyerahan pegangan saham Koperasi Permodalan Felda (KPF) kepada FELDA Global Venture Holdings (FGVH), langkah penting untuk penyenaraian firma perladangan tersebut.

Penyenaraian FGVH telah diumumkan Najib ketika Pembentangan Belanjawan 2012 yang akan menyaksikan unit yang mengalami kerugian menguasai aset yang dimiliki KPF sekarang.

Putrajaya minggu lalu berkata akan melaksanakan rancangan penyenaraian itu pada Jun, dengan atau tanpa 51 peratus pegangan FELDA Holdings yang dimiliki peneroka.

Kerajaan sebelum ini menegeaskan mereka mempunyai sokongan daripada majoriti peneroka, walaupun laporan pembangkang menunjukkan sebaliknya.

FELDA mengumumkan daripada IPO akan ditukarkan kepada sebuah badan khas (SPV) bagi memastikan peneroka menerima faedah langsung daripada penyenaraian, selepas mahkamah menghalang pemindahan saham tersebut.

Namun begitu, PKR mendakwa SPV tersebut akan menurunkan nilai penyenaraian FGVH, menambah keputusan kerajaan itu adalah tindakan menghalang KPF.

Koperasi itu mempunyai 220,000 ahli, daripada 112,635 peneroka FELDA dan yang lainnya adalah kakitangan FELDA dan anak-anak peneroka.

Reuters bulan lalu melaporkan Putrajaya mungkin akan menangguhkan penyenaraian berikutan tentangan peneroka, yang mana akan menjadi risiko kepada sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) daripada peneroka yang merupakan bank undi kerajaan.

Pengkritik mendakwa rancangan penyenaraian itu yang menyaksikan FGVH yang mengalami kerugian mengambil alih KPF akan mengakibatkan peneroka dan FELDA mengalami defisit RM1.5 bilion setiap tahun.

Anak syarikat FGVH seperti FELDA Iffco Sdn Bhd, FELDA Global Technologies, FELDA Global Ventures Middle East dan FELDA Global Ventures Arabia dilaporkan mengalami kerugian mencecah RM500 juta tahun lalu.

Namun Ahmad berkata unit tersebut telah merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM203 juta dan RM366juta pada 2009 dan 2010.

FELDA Holdings mempunyai tenaga kerja seramai 19,000 kakitangan, dengan tenaga buruh seramai 46,795 bekerja di 300 ladang, 70 kilang pemprosesan, tujuh kilang penapisan, empat kilang kennel, 13 kilang getah, kilang perusahaan dan logistik, dan pemasangan pukal di Malaysia dan juga di luar negara.

No comments:

Post a Comment