Monday 26 March 2012

WANITA UMNO TULANG BELAKANG PARTI



EXCO PERGERAKAN Wanita Umno, Datuk Azizah Mohd Dun mengajak anggota pergerakan itu mengekalkan momentum sebagai tulang belakang parti untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya ke-13 (PRU).

Azizah yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah berkata anggota Wanita Umno tidak harus luntur semangat untuk terus berjuang demi parti dan rakyat khususnya di negeri Sabah.

"Semangat kita untuk terus mara dalam perjuangan parti semakin membara walaupun pelbagai cabaran dan dugaan kerana Wanita taat setia kepada parti. Perjuangan Wanita iklhas, kita tidak mengharapkan apa-apa untuk kepentingan peribadi. Rezeki kita datang daripada Allah," katanya pada program Jalinan Rakyat di Dewan Kampung Kota Klias di Beaufort, kelmarin.

Naib Ketua Wanita Umno Sabah itu berharap semua jentera Wanita akan terus meningkatkan usaha dan sentiasa turun padang bagi memastikan kemenangan BN untuk meneruskan pentadbiran di negara ini.

"Pastikan kemenangan BN dalam PRU akan datang dengan turun padang mendengar denyut nadi rakyat. Bagaimanapun tanggungjawab kita bukan ketika menjelang pilihan raya sahaja, ianya mestilah berterusan," katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment