Wednesday 11 April 2012

1,609 PELAJAR DITAWAR 'BURSARY'


SEMUA 1,609 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang 9 A+ hingga 12 A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 ditawarkan 'BURSARY' (bantuan kewangan pengajian) secara automatik untuk mengikuti pengajian di peringkat persediaan atau pra-universiti dalam negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bantuan kewangan itu disediakan Kementerian Pelajaran untuk pengajian di peringkat pra-universiti sebelum pelajar melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Pertama di universiti dalam atau luar negara.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata tawaran bantuan kewangan pengajian kepada 1,020 pelajar yang memperoleh 9A+; 492 pelajar 10A+; 90 pelajar 11 A+ dan tujuh pelajar 12 A+ adalah secara automatik tanpa mengira etnik, kaum, keturunan dan latar belakang itu adalah tanda keprihatinan kerajaan mengiktiraf kecemerlangan pelajar berkenaan.

"Kerajaan sentiasa prihatin dengan keluhan ibu bapa pelajar yang menunjukkan keputusan peperiksaan cemerlang tetapi tidak berjaya mendapat penajaan untuk melanjutkan pelajaran setiap kali keputusan penajaan diumumkan kerana persaingan amat sengit dan bilangan yang ramai mendapat keputusan cemerlang.

"Pada masa sama, kerajaan juga mempunyai kekangan daripada segi peruntukan kewangan berikutan kos pendidikan yang semakin meningkat," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Muhyiddin berkata bagi pengambilan tahun ini, kerajaan membelanjakan sejumlah RM2.12 bilion untuk membiayai kos keseluruhan pengajian pelajar di universiti dalam dan luar negara.

Beliau berkata program pra-universiti dalam negara yang ditawarkan bantuan kewangan ialah Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Program Asasi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, yang menjurus kepada pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) tertentu di dalam negara dan International Baccalaurate (IB) atau A-Level.

Namun, katanya bagi kemasukan ke IPT awam dalam negara kelayakan IB dan A-Level terhad kepada bidang selain daripada bidang kompetitif membabitkan perubatan, pergigian dan farmasi.

Timbalan Perdana Menteri berkata pemberian bantuan kewangan itu tertakluk kepada pelajar telah ditawarkan atau ditempatkan di pusat persediaan ditetapkan kerajaan di mana semakan dan pengemaskinian profil pelajar Program Bursary boleh dibuat di www.moe.gov.my mulai 16 April ini.

Muhyiddin berkata bagi mendapatkan penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) program ijazah luar negara bermula 2014, pelajar lepasan Program Bursary perlu mencapai sekurang-kurangnya Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 dan setara di peringkat persediaan.

Pelajar bidang perubatan, pergigian dan farmasi, katanya mendapat tawaran tanpa syarat daripada mana-mana 10 universiti terkemuka dunia berdasarkan kepada senarai dikemas kini setiap tahun dan telah mendapat pengiktirafan.

Muhyiddin berkata pelajar bidang lain pula mendapat tawaran tanpa syarat daripada mana-mana 50 senarai universiti terkemuka berdasarkan kepada senarai yang dikemas kini setiap tahun mengikut bidang dan telah diiktiraf.

Bagi penajaan program ijazah dalam negara kepada 10,300 pelajar lepasan mana-mana program persediaan untuk mengikuti Ijazah Pertama, Muhyiddin berkata pelajar perlu mencapai sekurang-kurangnya CGPA 3.5 dan setara di peringkat persediaan dan mendapat tawaran dalam program diiktiraf di semua IPTA kecuali Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan IPTS bertaraf syarikat berkaitan kerajaan (GLC), iaitu Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Multimedia (MMU).

Selain itu, pelajar yang mendapat tawaran pengajian di kampus-kampus cawangan universiti luar negara di Malaysia iaitu University of Nottingham, Monash University, Swinburne University of Technology, Curtin University of Technology dan Newcastle University Medicine (NUMed) Malaysia dan IPTS lain seperti AIMST University, UniKL-Royal College of Medicine Perak, University College Sedaya International, Cyberjaya University College of Medical Sciences, International Medical University dan Universiti Perdana dan IPT lain yang dipersetujui kerajaan dari semasa ke semasa layak mendapat penajaan pengajian.

Timbalan Perdana Menteri berkata bagi mengikuti program tajaan JPA dalam Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman dalam bidang kejuruteraan, pelajar perlu mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui laman sesawang JPA, dengan memenuhi empat kriteria iaitu faktor ko-kurikulum, latar belakang sosio-ekonomi keluarga dan temuduga.

Semasa proses temuduga, katanya pelajar turut dinilai di bawah Student Assessment Centre (SAC), satu kaedah penilaian dan pemilihan pelajar yang lebih komprehensif berdasarkan kompetensi yang ditetapkan meliputi minat, tatakelakuan, kepimpinan, patriotisme, kreativiti, ketahanan dan keyakinan diri.

Muhyiddin berkata program yang disediakan untuk 300 pelajar itu diteruskan bagi menghormati persefahaman dan kerjasama antara negara serta mengeratkan hubungan dua hala yang sedia terjalin.

"Memandangkan syarat kelayakan masuk ke IPT di negara berkenaan menekankan kemahiran bahasa masing-masing selain pencapaian akademik, maka pelajar perlu mengikuti persediaan yang menekankan ciri-ciri khas yang diperlukan berbanding kelayakan biasa seperti IB dan A-Level," katanya.

Beliau berkata pelajar cemerlang lepasan program persediaan, yang tidak ditaja di bawah Program Bursary tetapi ditawarkan mengikuti Program Ijazah Luar Negara (PILN) mulai 2014 di universiti terkemuka dunia, boleh memohon tajaan JPA secara dalam talian di mana prosedur adalah sama seperti permohonan tajaan Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman.

Muhyiddin berkata pelajar yang ingin memohon PILN perlu mencapai sekurang-kurangnya CGPA 3.5 dan setara di peringkat persediaan; pelajar bidang perubatan, pergigian dan farmasi yang mendapat tawaran tanpa syarat daripada mana-mana 10 universiti terkemuka dunia berdasarkan kepada senarai yang dikemas kini setiap tahun dan telah mendapat pengiktirafan; dan pelajar bidang lain yang mendapat tawaran tanpa syarat daripada mana-mana 50 senarai universiti terkemuka berdasarkan kepada senarai yang dikemas kini setiap tahun mengikut bidang dan telah diiktiraf.

"Program tajaan PILN meliputi bidang kritikal iaitu perubatan, pergigian, dan farmasi serta bidang profesional melibatkan kejuruteraan, seni bina, perancang bandar serta bidang keutamaan dan strategik seperti sains tulen, perakaunan, undang-undang, pentadbiran, ekonomi dan bidang-bidang lain yang ditetapkan oleh kerajaan menerusi 12 bidang utama di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKEA)," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata penajaan JPA bagi mengikuti pengajian di peringkat universiti terkemuka bagi tahun 2011 hingga 2012 dikategorikan berdasarkan empat bidang utama iaitu bidang klinikal, praklinikal dan kesihatan, bidang sains hayat, bidang kejuruteraan dan teknologi serta bidang sains kemanusiaan.

Daripada lebih 50 universiti terkemuka dunia yang disenaraikan, beliau berkata Universiti Oxford, Universiti Harvard, California Institute of Tecnology dan Universiti Stanford menduduki tempat teratas dalam menawarkan bidang yang diberi tumpuan dalam penajaan JPA.

Mengenai Program Biasiswa Nasional (PBN) yang diberikan kepada 50 pelajar paling cemerlang dalam SPM 2011 untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka dunia, Muhyiddin berkata penajaan dibuat mengikut senarai Kementerian Pelajaran iaitu berasaskan merit akademik.

"Calon-calon yang terpilih akan ditawarkan biasiswa daripada peringkat persediaan hingga ke peringkat Ijazah Pertama yang tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan dan pengiktirafan bidang pilihan yang menjadi minat pelajar di universiti dalam dan luar negara seperti yang disenaraikan oleh JPA," katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment