Monday 30 April 2012

ALAM SEKITAR MELESTARI PEMBANGUNAN






Oleh : SHAIMON S JUMADI          Foto : SAFFIE S JUMADI

ALAM sekitar yang bersih, sihat dan berkualiti adalah paling penting untuk menjamin kesejahteraan rakyat, lantas rakyat harus sedar kepentingan alam sekitar kerana Malaysia merupakan Negara yang mempunyai kepelbagaian biodiversiti yang tinggi di dunia.

"Kita juga amat bertuah kerana masih mampu menghirup udara segar kerana kekayaan sumber semula jadi ini. Sejak mencapai kemerdekaan, Malaysia telah menikmati pembangunan sosio ekonomi yang begitu memberangsangkan dan kejayaan ini diiktiraf oleh masyarakat antara bangsa," ucap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Datuk Liew Vui Keong ketika merasmikan Majlis Sumbangan Program Rakan Alam Sekitar (RAS) Kawasan Parlimen Sandakan yang dilangsungkan di Dewan SRJK (C) Chi Wah, Jalan Pantai, di Sandakan, kelmarin.

Liew berkata, pencapaian ini adalah hasil komitmen dan daya usaha kerajaan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan termasuk pembinaan bandar baru, infrastruktur dan kemudahan awam seperti empangan, lapangan terbang, pelabuhan dan arus pembangunan fizikal ini yang berkembang dengan pesat yang telah memberi implikasi besar kepada perubahan landskap Negara.

Malangnya tambah Liew, pembangunan tersebut dan sikap masyarakat yang kurang bertanggungjawab telah membawa beberapa kesan negatif terhadap alam sekitar dan kualiti hidup kita.

“Antara kesan-kesan ialah pencemaran, kehilangan kepelbagaian biologi, perubahan iklim dan isu-isu alam sekitar yang lain,” ujarnya.

Masalah alam sekitar seperti pencemaran udara, pencemaran air, pembuangan sisa pepejal dan toksik, penebangan hutan, meradu bukit bukau yang tidak terkawal atau secara haram dan pelbagai fenomena perubahan iklim telah menyebabkan ketidak keseimbangan ekosistem sehingga berlakunya bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, kemarau dan sebagainya,” jelas Liew lagi.

Dalam hal ini, Liew menjelaskan bahawa alam sekitar yang bersih dan berkualiti serta tidak tercemar adalah amat penting bagi kesejahteraan hidup sejagat, justeru itu Kerajaan memandang serius dan komited menangani isu-isu alam sekitar demi kepentingan gererasi masa kini dan masa hadapan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sandakan telah menyampaikan peruntukan kepada lima (5) buah sekolah dan setiap sekolah menerima sebanyak RM5,000 dan menjadikan peruntukan kesemuanya berjumlah RM25,000.

Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Chi Wah telah mendahului menerima peruntukan tersebut kemudian disusuli oleh SK St Mary Convent, SK St Mary Bandar, SMK St Michael dan SMK Elopura 2 Sandakan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Pelajaran Daerah Sandakan Hj Sharif Mahada Sharif Attar dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan persekutuan.

No comments:

Post a Comment