Monday 9 April 2012

BARANGAN SUBSIDI KE PULAU SEBATIK TERPUTUS


ANGGOTA Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebatik, Abdul Muis Picho kecewa dengan empat syarikat yang dilantik untuk membekalkan barangan runcit bersubsidi kepada penduduk dan peruncit di Pulau Sebatik yang dianggap tidak menjalankan perkhidmatan seperti diharapkan.

Beliau berkata banyak aduan diterimanya daripada penduduk dan peruncit di pulau berkenaan yang mengatakan bahawa mereka tidak menerima bekalan barangan runcit bersubsidi daripada empat agen berkenaan sejak beberapa hari lalu sehingga menimbulkan kesukaran kepada mereka untuk mendapatlan barangan.

"Semalam penduduk kampung menghubungi saya mengatakan agen yang diberi lesen membekalkan barangan bersubsidi kepada penduduk pulau belum membekalkan barangan tersebut kepada mereka.

"Jika penduduk membeli terus dari Tawau, mereka akan ditahan pihak penguatkuasa (di laut)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan bantuan anak benih kelapa sawit kepada anggota Pertubuhan Peladang Kawasan di sini hari ini.

Menurut Abdul Muis, sekiranya egen yang diberi lesen oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) masih gagal membekalkan barangan berkenaan secara teratur serta tidak putus, beliau akan membawa perkara itu ke peringkat kementerian tersebut.

Pada 28 Mac lalu, KPDNKK mengumumkan bahawa 92 peruncit berlesen di Pulau Sebatik tidak lagi dibenarkan untuk membeli atau mendapatkan barangan kawalan terus dari pemborong dari Tawau sebaliknya mereka mesti mendapatkannya daripada empat syarikat yang dilantik kerajaan.

Langkah itu diambil bagi memastikan barangan bersubsidi seperti tong gas memasak, minyak masak, tepung, beras, diesel dan petrol dapat sampai kepada golongan sasar dan tidak tiris ke negara jiran.

Langkah yang diambil di bawah Program Penyeragaman Harga Barangan itu juga adalah bagi membolehkan penduduk luar bandar dan pulau dapat menikmati barangan subsidi pada harga yang sama dengan harga barangan itu di Tawau. (Bernama)

4 comments:

  1. jka mereka tidak dpt berikan prkhidmatan yang baik, hentikan saja khidmat mereka dan cari syarikat lain.

    ReplyDelete
  2. Harap agen yang diberikan tanggungjawab akan memastikan barangan subsidi itu akan dapat dihantar ke pulau sebatik.

    ReplyDelete
  3. tarik saja lesen keempat2 syarikat yang dilantik oleh kerajaan itu.. untuk apa mereka diberikan lesen jika gagal melaksanakan kerja2 yang diarahkan oleh kerajaan??

    ReplyDelete
  4. tujuan kerajaan melantik empat syarikat sebagai agen barang subsidi ini bukan untuk menyukarkan penduduk pulau.. sebaliknya untuk memudahkan pengurusan pembekalan disamping menghalang berlakunya penyeludupan barang subsidi..

    ReplyDelete