Monday 30 April 2012

BERSIH 3.0 DI KK TERKAWAL


 
 


SIDANG.....Hamza (kanan) bersama Ahmad Sofi semasa sidang media kelmarin.


Oleh : SITI AISYAH NARUDIN

WALAUPUN perhimpunan Bersih 3.0 yang dijalankan Sabtu lepas sedikit mengganggu program Bandar Selamat anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), namun ia masih terkawal tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, keadaan terbabit membuktikan peserta yang mengikuti perhimpunan Bersih akur dan menghormati arahan yang dikeluarkan pihak polis.

Bagaimanapun menurutnya, perhimpunan yang dibuat di kawasan Padang Merdeka itu sebenarnya tidak mendapat kebenaran.

Namun jelasnya, ia masih dapat dikawal dengan bantuan lebih kurang 150 anggota polis yang bertugas.

“Lokasi yang dicadangkan membuat perhimpunan Bersih adalah di Stadium Mini Putatan, namun peserta tetap berkeras untuk menjalankannya di Padang Merdeka.

“Ini yang menyebabkan program Bandar Selamat DBKK sedikit terganggu,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini kelmarin.

Beliau berkata, penganjuran program DBKK di kawasan itu juga bukan bertujuan menghalang perhimpunan Bersih 3.0.

Selain itu Hamza berkata, keadaan perhimpunan Bersih di sini berbeza dengan apa yang berlaku di Kuala Lumpur yang mana para peserta yang terlibat melakukan rusuhan.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada peserta Bersih di negeri ini yang memberikan kerjasama kepada pihak polis.

Katanya, sempena dengan perhimpunan Bersih Sabtu lepas, seramai lebih kurang 500 orang peserta terlibat dengan perhimpunan berkenaan.

“Peserta mulai berhimpunan seawal jam 11 pagi dan bersurai lebih kurang jam 4.30 petang.

“Tidak ada perhimpunan dijalankan di kawasan lain melainkan di Tawau dan difahamkan, perhimpunan di sana juga berjalan dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau berkata, perarakan dibuat daripada dua lokasi berbeza iaitu Asia City dan Suria Sabah. Mereka kemudiannya berkumpul di kawasan taman berdekatan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Hamza turut menjelaskan, berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012, mana-mana pihak dibolehkan menjalankan perhimpunan dengan mengikuti undang-undang yang ditetapkan.

Katanya, perhimpunan yang dijalankan mestilah mematuhi ketetapan undang-undang sedia ada tanpa berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria. (Utusan Borneo)

No comments:

Post a Comment