Sunday 8 April 2012

BUAL BICARA 'AH JIB GOR' DI NTV7 ISNIN INI

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan tampil secara langsung dalam program berita bahasa Cina di saluran NTV7 pada Isnin ini untuk bercakap mengenai isu-isu semasa.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Wong Nai Chee berkata Perdana Menteri yang lebih popular dikenali sebagai 'Ah Jib Gor' dalam facebook bahasa Cina, akan tampil dalam program itu bertajuk 'Bual Bicara Dengan Perdana Menteri' selama sejam pada 8.30 malam, 9 April.

"Pada asasnya ini merupakan satu lagi pendekatan oleh Perdana Menteri di mana rakyat boleh melihatnya bercakap secara ikhlas mengenai isu-isu dihadapi masyarakat Cina dan ekonomi negara, serta isu pendidikan dan lainnya membabitkan masyarakat Cina," katanya semasa dihubungi Bernama.

Beliau berkata program bual bicara itu merupakan sebahagian daripada cara Perdana Menteri mendekati rakyat selain daripada jadual majlis rasmi beliau.

"Orang ramai boleh menghantar soalan mereka menerusi SMS atau e-mel. Butirannya akan diumumkan stesen televisyen itu sendiri menerusi salurannya," katanya.

Ia merupakan kali kedua Najib akan ditemu bual secara langsung oleh stesen televisyen swasta tempatan. Pertamanya ialah pada program Soal Jawab TV3.

Sebelum ini, beliau pernah tampil dalam program bual bicara di One FM pada 23 Jun, 2011, yang turut disiarkan oleh NTV7.

Dalam bual bicara itu, Perdana Menteri turut membawa anak lelaki bongsunya Nor Ashman, yang pernah belajar bahasa Mandarin, menyentuh pelbagai isu seperti perumahan dan pendidikan.

Baru-baru ini, beliau ditemu bual secara langsung oleh stesen radio bahasa Cina tempatan, 988 FM, bercakap mengenai isu-isu seperti kilang nadir bumi Lynas di Pahang dan projek penjajaran MRT di Jalan Sultan, Kuala Lumpur.

Najib berkata kerajaan tidak akan membenarkan projek nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang, beroperasi sekiranya ia membahayakan kesihatan orang ramai dan menjejaskan alam sekitar dan beliau juga berkata kerajaan bersedia mengisytiharkan bangunan-bangunan yang terjejas oleh projek MRT di Jalan Sultan sebagai tapak warisan.

Beliau juga membuat dua pengumuman penting berkaitan pendidikan sekolah Cina di mana katanya lebih banyak guru bahasa Mandarin akan dilatih untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru yang berlarutan.

Satu lagi langkah ialah memberi kuasa kepada guru besar untuk melantik guru sementara serta menggantikan guru dan kaunselor tidak tahu berbahasa Mandarin dengan mereka yang fasih dalam bahasa itu. (Bernama)

No comments:

Post a Comment