Saturday 28 April 2012

GAMIS SERTAI BERSIH SABAH 3.0


GABUNGAN Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Negeri Sabah hari ini menyeru kepada semua mahasiswa dan anak muda Sabah untuk turun ke himpunan Bangkit 2.0 dan Bersih 3.0 yang akan diadakan hari ini di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.

Pengerusinya, Asmi Basri berkata, pihak GAMIS Sabah akan menggerakkan semua mahasiswa dari setiap kampus utama dan anak muda di negeri ini bagi menyatakan pendirian mereka terhadap isu yang diperjuangkan kedua-dua belah pihak yang terlibat.

“Saya menyeru seluruh anak muda Sabah untuk turun bersama menyokong perhimpunan BERSIH dan TABAH di Padang Merdeka pada hari sabtu ini.

“Kami di peringkat GAMIS Sabah sedaya upaya untuk memobilisasi mahasiswa/i dari setiap kampus utama di Sabah untuk turun menyatakan pendirian konkrit ke atas isu yang diperjuangkan oleh kedua-dua pergerakan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pihak GAMIS berpendirian sama terhadap usaha positif ini memandangkan tuntutan Bersih dan Bangkit yang di perjuangkan oleh Tabah merupakan perjuangan menuntut hak dan keadilan rakyat yang tertindas oleh pemerintah sendiri.

“Kita turun atas dasar kita mahukan perubahan positif dalam negara seperti yang termaktub dalam tuntutan BERSIH dan bersama-sama rakyat Sabah bagi mendepani isu tanah adat yang kian meruncing.

“Kami berpendirian bahawa pemerintah perlu lebih bersifat demokratik dan mempunyai political will yang utuh dalam menangani setiap isu rakyat,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment