Wednesday 25 April 2012

IMIGRESEN SABAH LEBIH KEJAM DARI ZIONIS?


 
 


Saudara Pengarang,

SEBENARNYA saya ingin meluahkan apa yang terjadi pada hamba Allah yang seorang ini, tetapi biarlah pihak berkuasa melakukan siasatan dahulu dan anggap surat terbuka ini sebagai maklumat umum.

Seorang Hamba Allah ditangkap oleh Jabatan Imigresen atas tuduhan tiada dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan yang sah, wal hal sijil lahirnya telah dihilangkan oleh Jabatan Imigresen pada tangkapan kali pertama.

Hamba Allah ini telah ditinggalkan oleh ibunya ketika berusia dua tahun dan diabaikan pula bapanya, bapa-bapa saudara dan saudara maranya sehingga tiada pihak yang tampil membantunya mendaftar kad pengenalan.

Hamba Allah ini tidak tahu cara untuk mendapatkan kembali cabutan Sijil Lahir yang dihilangkan Jabatan Imigresen. Atas dasar simpati, beberapa rakan Hamba Allah ini membantu mendapatkan salinan butiran persekolahan, rekod kesihatan, serta membuat akuan sumpah bapanya untuk membuktikan bahawa tahanan memanglah anaknya.

Segala dokumen berkenaan telah dihantar kepada Jabatan Imigresan yang kini diketuai oleh anak jati Sabah agar tahanan dapat dibebaskan supaya dapat melihat bapanya yang tenat di hospital; apatah lagi tahanan adalah anak tunggal.

Alangkah terkejutnya apabila Jabatan Imigresen berkata mungkin memerlukan masa selama tiga bulan untuk melakukan siasatan, sedangkan ketika ini bapanya pula menghidap kanser tahap 4 dan menunggu masa sahaja untuk diambil nyawanya.

Walaupun telah dilampirkan juga pengesahan dari doktor tentang keadaan bapanya dan berharap agar pihak berkuasa mempertimbangkan keadaan tersebut, namun rupanya Jabatan Imigresen Sabah dianggotai oleh makhluk jadian yang memerlukan wang untuk melakukan sebarang urusan. Maka bertambah malanglah bapa yang terlantar menunggu sakarat di hospital dan anak watan yang ditahan di penjara atas tuduhan PATI sedangkan memiliki sijil lahir dan kerakyatan Malaysia.

Ke manakah menghilangnya sifat kemanusiaan pegawai-pegawai Imigresen? Subhanallah. Tidak hairan jika mereka kejam seperti Zionis kerana mereka bukan manusia biasa kerana tidak percaya kepada Jabatan Pelajaran, Ketua Kampung, jiran dan rakan yang mengesahkan bahawa tahanan adalah rakyat Sabah.

Adakah Izrail boleh berkompromi dengan Jabatan Imigresen menangguhkan tugasnya jika sampai masa Allah Azzawajalla menugaskan mencabut nyawa bapa tahanan yang sakit tenat?

Tempoh tahanan reman akan berakhir hingga hujung minggu ini dan tidak tahu apakah selepas ini Hamba Allah yang malang ini akan dibebaskan atau dihantar ke Rumah Merah (Pusat Tahanan Sementara)?

Dalam keadaan genting ini, sebagai rakan kepada tahanan, kami merayu belas ehsan dan simpati Pengarah Jabatan Imigresen agar membenarkan tahanan menemui bapanya sebelum Izrail menjalankan tugasnya.

Ketahuilah, sejahat mana pun ibu bapa kita, merekalah yang telah melahirkan kita ke dunia dan seburuk mana pun ibu bapa kita, mereka tetap ibu bapa; tetapi kami sedih kerana Jabatan Imigresen memandang remeh Anak Jati Sabah yang tidak mempunyai wang untuk mengupah peguam dan memberi rasuah terus ditahan reman di penjara sedangkan PATI bebas berkeliaran di segenap ceruk bumi Sabah.

Surat ini sekadar luahan hati kami dan andaikata bapanya pergi dahulu dan tahanan masih belum dibebaskan, kami hanya mengharap doa rakyat Sabah yang teraniaya dimakbulkan Tuhan Azzawajalla. Amin-Amin Ya Robbal Alamin.

Salam Penuh Kesal,

WARGA MARHAEN

6 comments:

  1. Memang rumitlah kes2 macam ni. Jabatan Imigresen tu pun cuai.

    ReplyDelete
  2. moga hal ini dpt diselesaikan segara.

    ReplyDelete
  3. complicated juga kisah dia ni...

    ReplyDelete
  4. Yang pasti pihak berkuasa ini menjalankan tugas mereka. Namun perlu ada kelonggaran bagi mereka yang ingin menziarahi keluarga yang nazak.

    ReplyDelete
  5. bagaimana penulis tahu begitu banyak tentang budak ini?? kenapa bukan beliau sahaja yang tampil menjadi saksi tentang status budak ini??

    ReplyDelete
  6. bukan ini menunjukkan imigresen menjalankan tugas mereka?? bukankah rakyat sabah juga yang minta supaya pihak imigresen melaksanakan tugas mereka dengan tegas??

    ReplyDelete