Tuesday 10 April 2012

JELAJAH JANJI DITEPATI


USAHA untuk menunaikan janji kepada rakyat dan mendengar permasalahan mereka secara terus menjadi keutamaan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman.

Usaha BN ini diketuai sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang turun padang berjumpa rakyat melalui beberapa program yang dilaksanakannya seperti tinjauan mesra dan terbaru, Jelajah Janji Ditepati.

“Pemimpin negara yakin dan berani untuk bersemuka dengan rakyat kerana mampu untuk menunaikan janji yang diberikan kepada mereka.

“Ia juga bagi membolehkan permasalahan rakyat dapat terus didengar daripada mereka dan menyelesaikannya serta merta,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Berkelompok Cawangan-Cawangan Umno Bahagian Libaran di sini kelmarin.

Musa berkata ia berbeza dengan pemimpin pakatan pembangkang yang hanya pandai memberikan janji kosong dan tidak mempunyai kemampuan untuk menunaikan janji mereka.

Katanya pakatan pembangkang lebih berminat kepada kuasa untuk memerintah tetapi gagal untuk membela nasib rakyat dan ini boleh dilihat dan terbukti berlaku di negeri-negeri yang mereka terajui.

Beliau juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sabah mengingatkan ahli-ahli Umno di negeri ini jangan asyik memikirkan soal siapa calon sebaliknya hendaklah menumpukan usaha memperkemaskan jentera parti Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-13 nanti.

Beliau berkata, soal pemilihan calon BN tidak penting tetapi paling mustahak kerajaan kita mampu mengembalikan kepercayaan rakyat dan sekali gus memperolehi kemenangan mutlak menjelang PRU-13.

Ini katanya, sekiranya asyik memikirkan perkara tersebut maka sudah tentu mengganggu usaha membawa pembangunan kepada rakyat sedangkan menjadi prinsip perjuangan parti untuk membela dan memberikan kestabilan politik kepada seluruh rakyat jelata.

“Soal pemilihan calon-calon BN ini akan ditentukan pucuk pimpinan parti dan kita tunggu sahaja. Apa yang penting, kita perlu melipatgandakan lagi usaha memperkukuh- kan dan memperkemas segala jentera parti terutamanya di peringkat akar umbi.

“Saya yakin dan percaya, calon-calon BN yang bakal diketengahkan nanti mampu memberikan kemenangan kepada BN. Justeru, jangan pentingkan soal individu tetapi yang lebih utama adalah kemenangan parti demi kesinambungan pembangunan di negeri ini,” jelasnya.

Dalam hubungan ini, katanya, ahli Umno perlu sentiasa memantapkan kekuatan parti di setiap peringkat akar umbi dengan mengukuhkan hubungan perpaduan dan mengelak perkara remeh-temeh yang berupaya menjejaskan kekuatan sedia ada.

Menurut beliau, seandainya wujud masalah maka ia boleh diselesaikan dengan baik demi kepentingan bersama dan bukan pula memperbesar-besarkan sesuatu masalah itu.

“Ini sikap yang tidak baik dan sebagai ahli Umno, kita perlu mengutamakan kekuatan parti supaya apabila tibanya pilihan raya tentu kemenangan memihak kepada kita.

“Sebab itu, pemimpin BN sentiasa turun ke bawah adalah untuk memastikan perpaduan di kalangan anggota terus akrab disamping mengenal pasti permasalahan untuk ditangani segera,” jelas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ketua Umno Libaran ini.

Musa turut menegaskan bahawa Umno yang menjadi tulang belakang BN akan bekerja keras bagi mempastikan kerajaan hari ini terus berkuasa di negeri Sabah.

Pada mesyuarat Umno berkelompok itu, lebih 100 buah cawangan-cawangan Umno di Bahagian Libaran telah menghadiri mesyuarat turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada ketua-ketua cawangan dan timbalan ketua cawangan Umno di bahagian berkenaan bagi penggal 2008-2011 yang disampaikan sendiri oleh Musa.

Hadir sama Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol; Adun Gum-Gum, Datuk Zakaria Mohd Edris; Adun Sekong, Datuk Samsudin Yahya dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Sabah, Senator Datuk Armani Haji Mahiruddin serta Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Libaran.

No comments:

Post a Comment