Wednesday 4 April 2012

JURURAWAT PPUM DARI ZAMAN BATU?


Saudara Pengarang,

SURAT terbuka ini saya tujukan buat Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Rosnah Rashid Shirlin agar prihatin terhadap layanan buruk Jururawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya terhadap rakyat Sabah dan mengambil tindakan sewajarnya.

Tiada sesiapa di dunia ini meminta untuk dijangkiti penyakit Batuk Kering. Begitu juga dengan saya yang hanya mengetahui saya dijangkiti Batuk Kering selepas menjalani pembedahan kecil akibat Lymphoma. Apa salah dan dosa saya menerima layanan buruk daripada Jururawat PPUM yang langsung tidak beretika, terutama setelah mengetahui saya orang Sabah?

Pada jam 10 pagi kelmarin, saya ke PPUM untuk menjalani ujian darah kali kedua sebelum tarikh berjumpa doktor tiga minggu akan datang. Sebaik sahaja sampai ke Bangunan Utama PPUM, saya terus ke kaunter pendaftaran dan bertanya di mana unit cek darah?

Alangkah terkejutnya saya kerana setelah membelek kad perubatan saya, Jururawat bertudung labuh bersuara dengan nada yang lantang, "Kau ini Batuk Keringkan?". Saya hanya mampu mengangguk dengan mata yang terkebil kerana terkejut dengan sikap Jururawat tersebut yang mendedahkan rahsia peribadi kepada khalayak ramai.

Jururawat tersebut melemparkan 'Mask' kepada saya seraya berkata, "Budak, lain kali pakai dulu mask muka baru cakap. Now pakai ini mask dulu baru cakap."

Lebih tiga puluh pesakit di ruang menunggu semua memandang ke arah saya dan ada yang segera keluar dan lainnya menutup mulut kerana terkejut dengan tindakan Jururawat tersebut yang sengaja meninggikan suaranya.

Setelah memakai mask, saya tanya sekali lagi, "Di mana nak cek darah?" tetapi tambah terkejut kerana Jururawat tersebut menjawab, "Ambil appointment dulu kat kaunter 10."

Saya tambah kecewa kerana Doktor yang merawat saya tiga minggu lalu memberitahu bahawa saya tidak perlu membuat temujanji dan diarah terus ambil ujian darah di RUKA.

Oleh kerana tidak tahan dimalukan sedemikian rupa oleh Jururawat berkenaan, saya meninggalkan kaunter terus pulang ke rumah tanpa membuat pemeriksaan darah, apatah lagi jika terpaksa mengambil nombor dan membuat temu janji semula memakan masa yang agak lama.

Saya ingin bertanya Rosnah, kenapakah masih ada Jururawat Zaman Batu di PPUM sedangkan seluruh dunia tahu bahawa penyakit TB tidak lagi berjangkit secara rambang kerana saya mengambil ubat setiap hari dan di bawah pemerhatian rapi kakak saya melalui 'Directly Observed Treatment Short' (DOTS)

Apakah kerana saya orang Sabah, maka Jururawat berkenaan melayan saya sedemikian rupa? Sekalipun Jururawat berkenaan sudah menopause, tetapi beliau tidak boleh menjadikan saya sasaran untuk melampiaskan kemarahannya tanpa alasan yang munasabah.

Salam Hormat,

MANGSA BIROKRASI PPUM

No comments:

Post a Comment