Thursday 5 April 2012

KASTAM SASAR KUTIPAN RM32 BILLION


Oleh : JESSICA JAWING

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasarkan untuk mencapai RM32 bilion bagi pungutan hasil pada tahun ini berbanding RM30 bilion pada tahun lepas, mengikut unjuran yang telah dirancangkan.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf berkata, hasil kutipan RM30 bilion pada tahun lalu merupakan pencapaian tertinggi JKDM yang melepasi tembok sasaran.

Beliau percaya sasaran RM32 bilion pada tahun ini mampu dicapai, apabila suku pertama tahun 2012 (sehingga Mac) JKDM berjaya mengutip hasil sebanyak RM8 bilion.

“Kami percaya sasaran RM32 bilion tahun ini mampu dicapai mengikut unjuran dan kaedah yang lazim kita gunakan melainkan perkara-perkara di luar jangkaan seperti bencana tsunami melanda.

“Kami perlu kerja gigih untuk memantau dan mentaksir sama ada strategi yang kami perkenalkan perlu dikekalkan atau diubah suai bagi memastikan kami bukan sahaja mencapai sasaran ditetapkan tetapi melepasi tembok sasaran,” katanya pada sidang media sebelum mempengerusikan Mesyuarat Pengarah-pengarah Kastam SeMalaysia di Kuching, semalam.

Menurut Khalid kerajaan bergantung kepada pungutan hasil JKDM, salah sebuah agensi utama penguatkuasaan untuk membiayai perbelanjaan operasi dan program pembangunan.

Sementara itu dari segi penguatkusaan, JKDM pada tahun lepas telah mencapai kejayaan dengan merampas barang seludup dan barang larangan bernilai RM524.9 juta berbanding RM507.69 juta 2010.

“Manakala bagi suku pertama tahun ini sahaja kami berjaya memperolehi kes rampasan dan tangkapan sebanyak 1,527 dengan barangan bernilai RM114.2 juta,” ujarnya.

Khalid memberitahu, JKDM akan terus mengekalkan usaha berkenaan bagi mengelakkan kegiatan penyeludupan yang mewujudkan persaingan tidak adil di kalangan peniaga yang patuh kepada peraturan dengan membayar cukai dengan mereka yang berniaga secara haram.

“Barangan utama yang menjadi fokus kami pada tahun ini dalam membanteras penyeludupan adalah dadah, yang mana tahun lepas kami telah berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM183.7 juta berbanding RM44.4 juta pada tahun 2010,” tegasnya.

Beliau berkata, ia menjadi kebimbangan bagi jabatan, kerajaan, negara serta rakyat Malaysia kerana kemasukan bahan terlarang itu ke negara ini mampu merosakkan rakyat Malaysia termasuk generasi muda. (theborneopost)

5 comments:

  1. moga sasaran kastan ini akan tercapai.

    ReplyDelete
  2. Semakin banyak rampasan dan tangkapan dibuat, semakin bertambah hasil kastam.

    ReplyDelete
  3. Kastam harus merampas barang seludup dan dalang2nya

    ReplyDelete
  4. Harap Kastam tidak akan main rasuah dalam cukai perlabuhan. Urusn dengan sebaiknya.

    ReplyDelete
  5. nilai rampasan yang meningkat setiap tahun itu tidak perlu dibanggakan.. kerana peningkatan setiap tahun itu menunjukkan penyeludupan barang masuk dan keluar di negara ini terlalu kritikal..

    ReplyDelete