Wednesday 11 April 2012

KECIL KECIL CILI PADI


BERSEMANGAT....Aiman Zikry dan Haziq Wafi bersama ayah mereka Mohd.Mustazar Bundah (tengah) tetap bersemangat untuk menyertai sebarang Kejohanan Mini Bike pada masa akan datang.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

SEKALIPUN gagal untuk mendapat tempat pertama dalam kejohanan Sabah Mini Bike Championship peringkat daerah Kota Belud, namun Aiman Zikkry Mustazar dan adiknya Haziq Wafi Mustazar tidak patah semangat dan berazam untuk terus menyertai sebarang kejohanan Mini Bike yang dianjurkan di peringkat daerah dan negeri.

Dalam kejohanan yang diadakan di perkarangan Bangunan Persekutuan Butung baru-baru ini, Aiman Zikkry dan Haziq Wafi masing-masing menduduki Naib Johan dan tempat ke empat.

Kedua-dua mereka mula menceburi sukan lasak ini pada akhir tahun lepas menganggap pertandingan kali ini merupakan percubaan pertama mereka untuk menyertai kejohanan tersebut yang boleh memberikan pengalaman berguna untuk menyertai kejohanan yang lebih berprestij pada masa akan datang.

Sementara itu, ayah mereka Mohd. Mustazar Bundah ketika ditemui selepas kejohanan ini berkata, beliau memberikan sokongan terhadap minat anak-anak beliau dalam sukan lasak berdasarkan kepada minat mereka kepada sukan motor.

"Saya sentiasa memberikan galakan dan dorongan kepada minat mereka dalam sukan lasak ini sekalipun ia dianggap sukan yang agak bahaya, namun dengan pengawasan serta tunjuk ajar yang diberikan mereka mampu bersaing dalam kejohanan yang pertama kali pernah mereka sertai ini," katanya.

Tambah Mohd Mustazar yang juga Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno bahagian Kota Belud, sukan ini juga dapat membentuk jiwa anak-anak untuk memiliki daya juang yang tinggi dan amat bermanfaat kepada golongan remaja untuk menceburinya daripada menghabiskan masa dengan aktiviti yang kurang sihat.

No comments:

Post a Comment