Thursday 12 April 2012

KERAJAAN BATAL TIGA PROKLAMASI DARURAT


PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan telah membatalkan tiga proklamasi darurat adalah kerana yakin rakyat kini telah bersedia untuk memasuki era baru.

"Kerajaan percaya bahawa setelah lebih separuh kurun merdeka dan mengamalkan demokrasi, masyarakat berbilang kaum di Malaysia telah mencapai tahap kematangan yang tinggi.

"Berpegang kepada hal itu, kita kini bersedia memasuki era baru di mana fungsi kerajaan tidak lagi dilihat sebagai mengehadkan kebebasan individu, sebaliknya, untuk memastikan bahawa hak-hak asasi yang dilindungi Perlembagaan bagi setiap individu itu terjamin," katanya dalam ucapannya pada istiadat pertabalan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 14 di Istana Negara di sini hari ini.

Najib berkata: "Selanjutnya, satu perimbangan adil, dapat pula ditemui antara kebebasan seseorang dan keselamatan kebangsaan."

Beliau berkata bersesuaian dengan iltizam itu, kerajaan melalui Parlimen telahpun membatalkan tiga proklamasi darurat yang masih berkuasa dan akan membiarkan kesemua ordinan di bawah perisytiharan tersebut mansuh pada bulan Jun ini kecuali tiga ordinan yang akan dibentangkan sebagai rang undang-undang baru di Parlimen iaitu yang berkaitan dengan RELA, Rukun Tetangga dan Undang-Undang Laut Wilayah.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga telah mengambil langkah-langkah memansuhkan Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri dan menggubal Akta Perhimpunan Aman serta meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti atau AUKU.

Najib berkata Isnin ini beliau akan membentangkan rang undang-undang bagi memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di persidangan Dewan Rakyat.

"Pada hemah kerajaan, meskipun ISA telah banyak berjasa kepada negara, ia telahpun melampaui jangka hayat kegunaannya. Kita memerlukan kerangka baru perundangan keselamatan nasional dalam era kontemporari yang semakin kompleks," katanya.

Najib juga berkata di bawah undang-undang baru, kerajaan mengambil keputusan untuk menghapuskan kuasa tahanan tanpa perbicaraan dimiliki Menteri Dalam Neger manakala tahanan oleh pihak berkuasa bagi tujuan siasatan kini dipendekkan.

"Kuasa semakan kehakiman pula akan dikembalikan sepenuhnya kepada Mahkamah. Rang Undang-Undang ini juga menjamin bahawa tidak ada seorangpun rakyat Malaysia boleh ditahan kerana kepercayaan atau aktiviti politiknya," katanya.

Najib berkata Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan yakni Langkah-Langkah Khas, yang dibacakan buat pertama kali di persidangan Dewan Rakyat semalam, bukan sahaja akan memastikan pihak berkuasa mempunyai senjata perundangan yang cukup bagi memerangi keganasan global dan mempertahankan demokrasi berParlimen di Malaysia, tetapi juga untuk memelihara hak kebebasan warganegara.

"Semua prakarsa, inisiatif dan program ini adalah tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan tempoh pemerintahan Tuanku, InsyaAllah, akan menempa sebuah kala demokrasi keemasan di Malaysia," katanya.

Menyentuh mengenai hubungan Raja dan rakyat, Perdana Menteri berkata sejarah telah membuktikan apabila perhubungan antara keduanya disuburi keharmonian serta dibajai emosi dan kerohanian yang mendalam, maka sebarang apa pun kemelut yang dihadapi negara dapat ditangani dengan jayanya.

"Kendatipun pertautan raja dan rakyat sedang menelusuri jejak-jejak waktu, namun ia kekal relevan mendakap realiti semasa," katanya.

Najib, mewakili kerajaan dan rakyat seluruhnya, turut merakamkan rasa bangga kerana tonggak institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai kepala utama negara kembali dipegang oleh Tuanku Abdul Halim yang sangat berpengalaman dan terkenal mengasihi rakyat jelata.

Katanya istiadat pertabalan yang penuh bersejarah hari ini, di mana Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kedua kalinya, juga turut menjadi perlambangan betapa utuhnya institusi kebangsaan yang telah terzahir sejak lebih lima dekad lalu.

"Inilah cerminan kebijaksanaan pentadbiran bapa-bapa pengasas pertiwi tercinta yang bertali arus lagi sambung menyambung semenjak Almarhum Tunku Abdul Rahman sampailah kini dalam mengadun dan menenun fabrik warisan lampau serta keperluan masa depan demi mencipta kestabilan nasional," katanya.

Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 1970 semasa berusia 42 tahun, dan kini empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada usia 84.

Najib turut melahirkan rasa bertuah kerana dapat berkhidmat dengan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 memandangkan semasa Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 1970, ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein adalah Perdana Menteri pada masa itu.

Najib berkata beliau dan keluarganya mengambil kesempatan melahirkan rasa bertuah kerana "setelah Allahyarham ayahanda patik berpeluang berkhidmat dengan Tuanku, kini ditakdirkan pula giliran patik untuk menumpah khidmat.Segalanya dalam perhitungan Allah, dan mudah-mudahan Tuhan yang Maha Esa memberi pertolongan dan inayah-Nya kepada kita semua," katanya. (Bernama)

4 comments:

  1. Hak2 rakyat harus dijaga dan dipelihara

    ReplyDelete
  2. jika wajar, batalkan saja.

    ReplyDelete
  3. Baguslah kalau pengumuman telah dibuat mengenai perkara ini. Harap ISA akan dibatalkan dan digantikan dengan akta yang lebih baik.

    ReplyDelete
  4. walaupun baru 3 tahun mentadbir negara ini, Najib ternyata bersungguh2 dalam membawa pembaharuan yang mana gagal dilaksanakan oleh pemimpin2 sebelum beliau..

    ReplyDelete