Monday 9 April 2012

MALAYSIA BINA PROJEK JAMBATAN DI DHAKA?


Oleh : SARASWATHI MUNIAPPAN

KEPUTUSAN sama ada Bangladesh akan menjalin perjanjian dengan kerajaan Malaysia untuk pembiayaan projek jambatan Padma sepanjang 6.15 km, bernilai US$2.9 bilion (RM8.86 bilion), akan hanya diputuskan selepas perbincangan, kata Mentrei Komunikasi Bangladesh, Obaidul Quader.

Beliau berkata pada Ahad, kerajaan sedang mengenal pasti sumber alternatif dana selepas Bank Dunia menggantung pembiayaan, memandangkan jambatan itu merupakan keutamaan kerajaan dan akan bermula dalam tempoh 10 bulan.

Satu pasukan pegawai kerajaan akan berlepas ke Malaysia pada malam Ahad, dan memorandum persefahaman dengan Kerajaan Malaysia dijangka berlangsung pada Selasa selepas perbincangan, lapor Bdnews.com, akhbar dalam talian Bangladesh, memetik Quader sebagai berkata.

Setiausaha Bahagian Perhubungan Ekonomi Iqbal Mahmud, Setiausaha Jabatan Jambatan Khandker Anwarul Islam dan Pengarah Projek Jambatan Padma Shafiqul Islam menganggotai pasukan itu.

"Jumlah wang yang akan disediakan oleh Kerajaan Malaysia belum diputuskan," kata Quader ketika memberi taklimat kepada wartawan di bangunan jalan dan lebuh raya di sini hari ini.

Beliau berkata belanjawan untuk pembinaan jambatan itu akan ditetapkan, dan pembinaan akan dilakukan mengikut dasar bina-milik, urus dan pindah.

Pembinaan jambatan itu menjadi tidak menentu selepas Bank Dunia menangguhkan pembinaan berikutan dakwaan rasuah membabitkan projek itu. Malaysia kemudiannya menyuarakan kesediaan untuk membiayai projek itu ketika kerajaan mula mengenal pasti sumber pembiayaan alternatif.

Menteri itu tidak menjangkakan pemeterian MoU dengan Malaysia memerlukannya membatalkan perjanjian yang sudah ditandatangani dengan organisasi lain, termasuk Bank Dunia.

"Kami memikirkan pembiayaan alternatif memandangkan masanya sudah suntuk," katanya.

"Bagaimanapun, saya berharap Bank Dunia akan membiayainya dan wang itu akan dibelanjakan untuk membina jambatan kedua Padma," katanya.

Menteri Kewangan Abul Maal Abdul Muhith pada Sabtu berkata perbincangan akan dijalankan dengan Malaysia selain menyelesaikan masalah dengan Bank Dunia.

Sementara itu, Bank Dunia mengenakan sekatan ke atas syarikat Kanada, SNC-Lavalin, daripada mengambil bahagian dalam projeknya berikutan dakwaan rasuah membabitkan pembinaan jambatan itu.

Projek bernilai US$2.9 bilion itu sepatutnya menerima US$1.2 bilion (RM3.67 bilion) daripada Bank Dunia. (Bernama)

3 comments:

  1. apakah manfaat Malaysia dpt dari pembinaan jambatan tersebut? ia harus diperjelaskan.

    ReplyDelete
  2. Buatlah perbincangan dan kerjasama yang baik antara dua negara ini bagi mencapai kata sepakat.

    ReplyDelete
  3. setuju dengan ferlo.. kerajaan sepatutnya menjelaskan rasionalnya pembinaan jambatan itu dan apa manfaat yang diperolehi oleh negara ini..

    ReplyDelete