Friday 13 April 2012

MALAYSIA, BRITAIN SETUJU CEGAH EKSTREMISME



MALAYSIA dan Britain sependapat bahawa kesederhanaan adalah elemen penting dalam mencegah ekstremisme dan untuk mencapai keamanan sejagat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan apa yang paling penting ialah untuk terlebih dahulu menangani keganasan yang terpahat dalam minda orang ramai.

"Saya tidak setuju dengan penggunaan perkataan 'perang' terhadap keganasan kerana perang hanya menggunakan kekuatan ketenteraan, dan kita tidak boleh menghapuskan ekstremisme, fanatisme dan keganasan dengan menggunakan kekuatan ketenteraan semata-mata," katanya semasa menyampaikan ucapan khas mengenai Yayasan Pergerakan Kesederahaan Global (GMM) yang diilhamkan beliau di University of Nottingham kampus Malaysia di Semenyih, Khamis.

Turut mendengar ucapan beliau ialah Perdana Menteri Britain David Cameron, yang dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia.

Perdana Menteri turut mengambil peluang itu untuk menegaskan bahawa Islam sebenarnya ialah agama yang mementingkan kesederhanaan dan menolak ekstremisme dan pada masa yang sama menghormati semua agama lain.

Najib berkata disebalik merupakan kumpulan di pinggiran, golongan ektremis adalah pihak yang paling lantang bersuara dan cuba mencuri tumpuan.

"Jika kita golongan sederhana tidak bersuara dan menyatakan pandangan kita, dengan itu golongan di pinggiran dan ekstremis akan menjadi tumpuan. Di sinilah kita rugi.

"Dan sebab itulah kenapa kita menubuhkan GMM bagi membolehkan golongan sederhana dalam kalangan semua agama, bersuara dan menenggelamkan suara golongan ekstremis," katanya.

Sementara itu, Cameron berkata beliau berminat berkongsi platform GMM dengan Najib sejak lawatan rakan sejawatnya itu ke London tahun lepas di mana beliau telah menyampaikan ucaptama mengenai perkara itu di Oxford University.

Beliau berkata demokrasi dan kesederhanaan adalah seiring dan Malaysia telah membuktikan perkara itu adalah benar.

Cameron berkata asas demokrasi merupakan ancaman terbesar kepada ekstremisme dan juga asas penting bagi kesederhanaan.

Menegaskan bahawa keganasan tidak berhubung kait secara eksklusif dengan mana-mana agama atau kumpulan etnik, Perdana Menteri Britian itu berkata Islam dan ekstremisme Islam adalah tidak sama.

"Mereka adalah berbeza sepenuhnya dan kita perlu jelas mengenai perkara ini. Islam ialah agama keamanan yang dianuti oleh lebih satu bilion orang. Ekstremis Islam pula ialah ideologi politik.

"Adalah penting untuk tahu membezakan antara agama dan ideologi politik ekstremis kerana sering kali masyarakat menyamakan kedua-duanya," katanya.

Cameron berkata dunia juga perlu jelas mengenai perbezaan sebenar di antara golongan politik sederhana dan politik ekstremis.

"Kita perlu jelas mengenai realiti akan ancaman yang kita hadapi daripada ekstremis Islam. Serangan pengganas tidak mewakili Islam, dan salah tafsiran mengenainya amat menyedihkan majoriti umat Islam," katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment