Tuesday 10 April 2012

MERAJUK TIDAK MENYELESAIKAN MASALAH




LAYAN...Dato Sri Nasir (duduk dua kanan) bersama A.M.Ibnu A.K.Baba (kanan) meneliti dokumen yang dikemukakan sebahagian penduduk sempena Majlis Penyerahan Tawaran Peruntukan Khas Adun Kawasan Senallang di Semporna.

Oleh : ARSHAD HUSSIN

TIMBALAN Ketua Bahagian UMNO Semporna, Dato Sri Nasir Tun Sakaran menyarankan semua ketua cawangan UMNO lebih berinovatif dan kreatif melaksanakan tanggungjawab parti menambah keahlian serta bagi memantapkan lagi kekuatan parti.

Nasir berkata, ketua-ketua cawangan juga perlu mengesan semua ahli-ahli dan pengundi di kawasan Daerah Mengundi masing-masing sebagai persiapan menghadapi PRU-13 yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

Beliau berkata demikian sempena merasmikan Majlis Penyerahan Tawaran Peruntukan Khas Adun Kawasan Senallang kepada 187 orang ketua-ketua cawangan dan pemimpin-pemimpin tempatan.

Hadir sama sempena majlis itu Pegawai Daerah Semporna, A.M.Ibnu A.K.Baba; Pemimpin UPKR Dun Senallang, Haji Tahir Amir; Pemimpin UPKR Dun Sulabayan, Datuk Haji Malali Mali; Ketua Daerah Kawasan Senallang, OKK Haji Musa Sabaani; Ketua Masyarakat Cina Kawasan Bubul, Datuk Chao Yan San dan ADDO Semporna, Haji Abdullah Sukka.

Nasir berkata, ketua-ketua cawangan juga perlu mengemaskini pentadbiran cawangan dan memastikan semua pengundi di kawasan masing-masing tidak terabai dan diberikan penerangan serta penjelasan mengenai maklumat terkini parti dan kerajaan Barisan Nasional yang ikhlas membela nasib rakyat dan tidak terpengaruh dengan propaganda pihak-pihak tertentu yang suka menabur fitnah dan menangguk di air yang keruh.

Katanya, walaupun PRU-13 belum diketahui tarikh sebenarnya namun semua cawangan harus bersedia dan sentiasa berhubung dengan pentadbiran bahagian parti,melaporkan aktiviti-aktiviti cawangan serta mendapatkan maklumat-maklumat terkini.

SETIA...Sebahagian daripada 187 orang Ketua-Ketua Cawangan UMNO Dun Senallang tetap setia memberikan sokongan padu sempena majlis itu di Dewan Seni Inabah kamal, Semporna.

TAHNIAH...Dato Sri Nasir (tengah) diiringi A.M.Ibnu (dua kanan);Tahir Amir (kiri) menyampaikan Tawaran Projek Khas Adun kepada salah seorang ketua cawangan sempena majlis itu.

Nasir yang juga Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, menjelaskan perjuangan parti UMNO yang menunjangi kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa prihatin meneruskan Tradisi Membela Rakyat dan tiada sebab rakyat perlu merajuk dan marah sambil menaikkan bendera pembangkang menandakan penentangan kepada kerajaan.

Katanya, kerajaan BN tidak pernah membelakangkan rakyat mahupun mengabaikan tanggungjawabnya terhadap kebajikan rakyat malah sentiasa mendengar keluhan rakyat marhaen di peringkat akar umbi melalui pemimpin-pemimpin tempatan dan wakil-wakil rakyat yang sentiasa turun padang mendekati rakyat.

Nasir menambah, rakyat tidak usah merasa tersisih kerana kerajaan melayan rakyat sama rata, sama rasa dan kalau ada yang terlepas pandang, rakyat perlu tampil kehadapan berbincang dengan pemimpin-pemimpin tempatan atau wakil-wakil rakyat yang bersedia mendengar keluhan mereka dan bukannya dengan cara merajuk menaikkan bendera pembangkang.

“Dunia sudah maju dan zaman sudah berubah, rakyat juga harus bijak berfikir secara matang serta menghargai sumbangan dan keprihatinan kerajaan yang mengamalkan Konsep 1Malaysia,” kata Nasir.

No comments:

Post a Comment