Sunday 1 April 2012

MULAKAN HIDUP BARU MELALUI MESEJ

PESERTA....Azizah merakamkan gambar kenangan bersama peserta Mesej E-Kasih Getah Fasa I bagi kawasan Dun Klias.

Oleh : ABU BAKAR ESAH

RAKYAT terus mendapat manfaat pembangunan berterusan daripada Kerajaan Barisan Nasional di negeri ini apabila 33 penduduk di Dun Klias akan memulakan kehidupan baru melalui program Mini Estate Sejahtera (Mesej).

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun berkata Mesej di kawasan Montenior itu merupakan fasa pertama dan fasa seterusnya dijangka bermula April ini.

“Hari ini seramai 33 keluarga kumpulan sasaran disahkan untuk berhijrah ke Mesej Montenior bagi memulakan kehidupan baru sebagai pekebun getah bagi fasa pertama dan fasa kedua dijangka bermula dalam bulan April ini,” katanya sambil memberitahu program itu adalah salah satu perancangan dan usaha berterusan kerajaan BN Sabah untuk membela nasib rakyat.

“Ini merupakan satu lagi usaha kerajaan negeri dalam membasmi kemiskinan di negeri ini. Oleh itu saya menyeru kepada semua peserta memanfaatkan peluang dan kemudahan yang diberi ini dengan komitmen yang tinggi bagi memastikan hasrat kerajaan tercapai,” katanya sambil menambah rakyat beruntung kerana mempunyai pemimpin yang bijaksana mentadbir kerajaan khususnya untuk membantu rakyat.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Mengendos Peserta E-Kasih Mesej Getah Montenior di Pejabat Daerah di Beaufort, kelmarin.

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Beaufort, Shaid Othman; Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO), Amsir Dani; Pegawai Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Ag Tuah dan Pemaju Mukim Montenior, Daniel Gumat.

Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Klias itu berkata program Mesej bagi Dun Klias yang disalurkan melalui peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB) itu membabitkan tanah seluas 50 ekar.

Pada majlis itu Azizah turut menyumbangkan 33 mesin janakuasa kepada semua peserta.

No comments:

Post a Comment