Wednesday 4 April 2012

PELANCARAN PESTA KAAMATAN DI KUALA PENYU

DAERAH Kuala Penyu yang terkenal dengan makanan tradisi 'ambuyat' atau sagu dipilih sebagai tuan rumah bagi majlis pelancaran Pesta Kaamatan pada 1 Mei ini, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Ketika mengumumkan perkara itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan peringkat negeri berkata majlis pelancaran pesta bertemakan 'Cinta Terhadap Kebudayaan Melahirkan Masyarakat Penyayang' itu akan diadakan di Dewan Shahbandar Makang dan dijangka dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

"Kuala Penyu sudah pun mencapai 80 peratus persiapan menjayakan sambutan itu. Manakala persiapan menyambut Kaamatan di peringkat daerah sudah bermula, dan daerah Putatan merupakan daerah pertama akan menganjur Pesta Kaamatan pada 5 Mei depan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di sini hari ini.

Pairin berkata tema pesta tahun ini amat bersesuaian dengan peranan perayaan tersebut yang dianggap sebagai tempat untuk memupuk perpaduan masyarakat majmuk khususnya di Sabah yang dianggap sebagai model gagasan 1Malaysia.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) berkata kemuncak sambutan peringkat negeri akan diadakan di Hongkod Koisaan KDCA Penampang pada 30 dan 31 Mei dengan pelbagai acara termasuk persembahan kebudayaan kaum Kadazandusun. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment