Wednesday 11 April 2012

PEMBIAKAN YU SEMAKIN TERJEJAS


Oleh : NEWMOND TIBIN

IKAN yu akan musnah akibat penangkapan berlebihan disebabkan kadar kelahirannya rendah dan ikan itu hanya mampu mengeluarkan sedikit sahaja benih bagi sekali pusingan pembiakan, kata Pengarah Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Saleem Mustafa.

Beliau berkata bagi ikan jenis bertulang antaranya seperti tuna, tenggiri dan sardin, sistem pembiakan dan pengumpulan ikan berkenaan adalah berbeza-beza.

"Itulah sebabnya jenis ikan yu ini memerlukan perhatian istimewa. Ikan yu memainkan peranan signifikan dalam ekosistem samudera, menjadikannya berada di atas sekali dalam rangkaian makanan.

"Mereka menghapuskan golongan spesimen yang lemah dalam kelompok buruan, dan untuk menentukan haluan evolusi. Yang pasti penghapusannya menukar imbangan ekosistem samudera," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Saleem mengulas debat berterusan mengenai kawasan perlindungan ikan yu dan larangan penangkapan ikan yu di Sabah, pada masa sama memberi fokus terhadap pemeliharaan ekosistem marin dan perlunya perhatian terhadap kemajuan sosio-ekonomi.

Beliau berkata ekosistem marin telah secara tradisi menyediakan barangan dan perkhidmatan di Sabah, dan cara hidup rakyat serta sumber makanan dan pendapatan sebahagian daripada komuniti pantai adalah berkait rapat dengan hasil marin.

Saleem berkata seluruh isu memberi tumpuan terhadap topik penting dan relevan, termasuk pendekatan berasaskan ekosistem kepada pengurusan perikanan, tentang perlunya cara hidup alternatif dan menimbulkan kesedaran orang ramai.

"Oleh kerana ikan yu dalam beberapa aspek mempunyai perangai sangat berlainan daripada ikan kawasan batu karang, perancangan untuk menguruskan pemeliharaan ikan yu ini akan menjadi unik sebagai usaha memelihara marin dan pendekatan terhadap pengurusan perikanan.

"Kemungkinan tidak pratikal pada peringkat ini bagi mengadakan 'Perlindungan Ikan Yu' di Sabah memandangkan terhadnya kawasan laut 'di luar batasan' yang pada umumnya menimbulkan kebimbangan pada komuniti pantai yang menyara hidup menerusi hasil laut," katanya.

Beliau berkata semuanya hendaklah dikaji dalam hubungan melindungi ikan yu daripada kegiatan penangkapan.

Saleem berkata kajian sedang diteruskan dalam menentukan habitat penting bagi ikan yu dalam sasaran memelihara ikan berkenaan.

"Data juga diperlukan bagi mengetahui taburan ikan yu dengan menggunakan teknik menanda genetik, pergerakannya menyeberang sempadan dan aspek lain mengenai perangai ikan tersebut.

"Maklumat ini mustahak dalam membuat keputusan berdasarkan pengetahuan untuk pemeliharaan marin bagi tujuan yang dikehendaki," katanya.

Sehubungan dengan ini, katanya, kajian kemungkinan melaksanakan garis panduan tertentu adalah mustahak merangkumi tindakan pengurusan yang boleh dipertahankan manakala cadangan-cadangan berbentuk sementara yang rumit dalam pengurusan marin tidak dapat membantu.

"Oleh kerana adanya berbagai-bagai sebab dan rintangan pratikal, terdapat sedikit sahaja 'perlindungan ikan yu' yang wujud di dunia pada hari ini. Satu rancangan perlindungan untuk Sabah perlu diusahakan berdasarkan kedudukan sebenar yang terdapat di sini.

"Mengharamkan sirip ikan yu sebagai menu hidangan di Sabah telah mula memberi kesan posistif. Namun segalanya bergantung pada masyarakat. Sebuah masyarakat yang bertanggungjawab boleh menjadikan pemeliharaan marin suatu kenyataan, lebih elok daripada hanya mengenakan peraturan," katanya.

Saleem berkata usaha dibuat dalam menetapkan kawasan perlindungan marin dan pemeliharaan biodiversiti adalah hasil positif ke arah keperluan menjadikan pengurusan sumber marin, termasuk melindungi ikan yu secara holistik, satu kenyataan.

Beliau berkata usaha berterusan dalam mengekalkan pengurusan sumber perikanan marin, membina ketahanan habitat marin yang penting selain menyokong kehidupan komuniti pantai adalah elemen mustahak dalam usaha pemeliharaan dan menjaga kebajikan masyarakat. (Bernama)

No comments:

Post a Comment