Monday 2 April 2012

PENYAMUN DATANG BAWA HAMPER

Oleh : WILLIE JUDE JUNAIDI

SEORANG kakitangan kerajaan kerugian hampir RM30,000 apabila rumahnya di Taman Austral, Kepayan, Kota Kinabalu, kelmarin dimasuki tiga penyamun bersenjata yang berpura-pura menghantar hamper ke rumah terbabit.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi apabila tiga lelaki terbabit telah pergi ke rumah itu kononnya untuk menghantar hamper kepada pemilik rumah berkenaan.

Bagaimanapun, pemilik rumah terbabit ketika itu tidak berada di rumah dan hanya pembantu rumahnya yang menyambut ketibaan ketiga-tiga penyamun itu.

Selepas memperkenalkan diri kononnya daripada sebuah syarikat yang ingin menghantar hamper, pembantu rumah terbabit kemudian membuka pintu pagar lalu membenarkan ketiga-tiga suspek masuk.

Bagaimanapun sebaik ketiga-tiga suspek masuk ke dalam rumah itu, mereka terus membuka hamper berkenaan yang sebenarnya berisi senjata dipercayai parang.

Selepas itu, ketiga-tiga lelaki terbabit kemudian bertindak menyamun pembantu rumah itu dan berjaya mengambil beberapa barangan di dalam rumah terbabit sebelum dipercayai melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan.

Antara barang yang berjaya dilarikan tiga penyamun terbabit termasuklah dua komputer riba, dua jam tangan, sebuah televisyen LCD, seutas rantai dan sebentuk cincin emas, satu telefon bimbit dan sebatang pen jenis Mont Blank kesemuanya dianggarkan bernilai RM30,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya masih lagi menjalankan siasatan.

“Usaha untuk mengesan ketiga-tiga suspek terbabit kini giat dijalankan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya. (theborneopost)

No comments:

Post a Comment