Wednesday 25 April 2012

REGATTA LEPA XIX PEMANGKIN USAHAWAN






LAMBAIAN...Tun Juhar Mahiruddin (duduk kiri) Dato Seri Shafie Apdal (kanan belakang); Dato Sri Nasir (duduk depan) dan Tokoh Lepa, Haji Bokara (berdiri dua kiri) mengabadikan kenangan di dalam Lepa Cantik Universiti Malaysia Sabah yang turut mengambil bahagian sempena Pesta Sukan Air Regatta Lepa Ke-19 Semporna 2012.

Oleh : ARSHAD HUSSIN


LAMBAIAN Sambulayang berwarna-warni yang menjadi simbol keraian menghiasi Lepa Cantik dan yang dipasang setiap rumah sepanjang jalan raya sejauh 14 kilometer dari pekan Semporna telah diturunkan sebaik sahaja acara kemuncak Majlis Malam Penghargaan & Penutupan Regatta Lepa  Ke-19 Semporna 2012 berakhir pada malam ahad lalu.

Temasya Regatta Lepa memperagakan pelbagai pengisian aktiviti termasuklah Karnival Pembangunan Pendidikan Dan Keusahawanan; Program Kolokium Suku Kaum Bajau di Bukit Tengkorak yang khususnya memperkatakan sejarah Daerah Semporna dan pelbagai pameran perniagaan yang disertai pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Selain itu  turut dihidangkan persembahan tarian tradisi; persembahan muzik; pakaian tradisi; acara Perarakan Tanglong; Pertandingan Ratu Lepa; Malam Maglami-Lami dan Konsert Mesra Malam Penghargaan Regatta Lepa serta Sukan Laut di dataran Regatta Lepa.

Perarakan Lepa Cantik khusus mengetengahkan kecantikan perahu Lepa berukiran dihiasi sambulayang dan tipas-tipas sambil sepasang teruna dara menari tarian tradisi dihadapan perahu berarak dihadapan para tamu dan pelancong di Dataran Lepa cukup menggugah perasaan.

Pesta Regatta Lepa yang dirayakan beberapa hari lalu itu juga merupakan suatu temasya gemilang mengangkat seni warisan suku kaum Bajau di pantai timur Sabah sebenarnya mempunyai nilai estetika yang tinggi dan telah mengangkat nama Daerah Semporna dan negeri Sabah sebagai salah sebuah destinasi pelancongan yang menarik di peringkat antarabangsa.

Pesta yang pada dasarnya lebih tertumpu kepada kegemilangan perahu tradisi yang dikenali Lepa menyorot kembali kekentalan semangat juang masyarakat pelaut zaman silam dalam meniti arus kehidupan di tengah lautan samudera.

Melalui pelbagai acara baru dan penambahbaikan program pengisian dalam Regatta Lepa menunjukkan bahawa pihak penganjur sentiasa berusaha meningkatkan daya tarikan Regatta Lepa, sesuai dengan kedudukannya sebagai salah satu pesta bertaraf antarabangsa yang mendapat pengiktirafan kerajaan dan pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Dato' Sri Haji Nasir Tun Sakaran selaku Menteri Di Jabatan Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Senallang, turut menzahirkan terima kasih kepada pihak-pihak yang terlibat menjayakan pesta Regatta Lepa termasuklah pihak media massa; Media Letronik; Media Maya dan syarikat-syarikat pelancongan.

Nasir menjelaskan,penyertaan individu, dan organisasi dalam acara yang diadakan juga telah berjaya meningkatkan saingan dan kehangatan pesta Regatta Lepa kali ini.



TANGLUNG.......Sebahagian Tanglung Lepa yang dipertandingkan dan orang ramai yang membanjiri padang pekan Semporna sempena malam Penghargaan dan Penutupan Regatta Lepa Semporna Ke-19 Tahun 2012.




RATU...Pemenang-pemenang Ratu Lepa Semporna Ke-19 dengan hadiah masing-masing selepas dinobatkan dalam majlis Penghargaan dan Penutupan Regatta Lepa Ke-19 Semporna 2012 di padang Pekan Semporna.

Katanya, Pesta Regatta Lepa telah turut berjaya memangkin semangat keusahawanan yang tinggi, kerana kita dapat melihat para usahawan turut mengambil peluang membuat jualan produk masing-masing hingga menambah kemeriahan suasana benar-benar dapat dirasai. Walau pun sekali sekala wujud kesesakan di jalanraya, namun dari satu segi yang lain, ia memberi kesan positif kepada ekonomi masyarakat Semporna.

”Dalam kesempatan ini, saya bersama para pemimpin serta warga penduduk Semporna dengan ini mengalu-alukan kehadiran para tetamu kita Ahli-Ahli Yang Berhormat EXCO Luar Bandar dari seluruh negeri di Malaysia, yang turut berkampung di Semporna pada kali ini. Saya yakin bahawa ahli-ahli EXCO sekalian telah dapat menyaksikan sendiri dan merasai sedikit pengelamanan mengenai kehidupan masyarakat luar bandar, khususnya Semporna ini,” kata Nasir.

Menurutnya lagi, kalau dahulu Semporna dianggap mundur dan sekarang bertukar wajah dengan adanya pembangunan yang drastik sejak Kerajaan Barisan Nasional memerintah negara ini. Pembangunan dari segi infrastruktur seperti bangunan kedai-kedai, pejabat-pejabat kerajaan, kilang-kilang perindustrian amat membanggakan. 

Begitu juga pmbangunan dari segi perubahan sikap penduduk  di daerah ini seperti mahu bekerja keras dengan memperbaiki cara hidup daripada tahap kemiskinan kepada tahap berkemampuan. Semua ini kerana Kerajaan pada hari ini amat prihatin untuk menjadikan rakyat hidup dalam keadaan selesa, aman dan bahagia.

”Sesungguhnya, konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri telah pun kita terjemahkan dalam Pesta Regatta Lepa ini apabila masyarakat dari pelbagai etnik dan kaum, serta dari luar daerah dan negeri dapat berkenalan antara satu sama lain di setiap aktiviti yang dianjurkan,”kata Nasir.

Nasir berkata, Negeri Sabah dan khususnya Daerah Semporna amat bertuah kerana terus dikurniakan dengan pimpinan negeri dan negara yang bijak dan komited dalam misi membangun negeri yang tercinta ini.

Ujarnya menambah, kepimpinan Perdana Menteri, Dato Sri Najib Tun Hj Abd Razak, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Hj.Aman telah memperlihatkan impak pembangunan ekonomi yang positif di daerah ini. Pelbagai usaha telah laksanakan dalam meneroka lebih banyak pembangunan yang membawa kesejahteraan kepada anak-anak kita di masa hadapan.



PERARAKAN...Sebahagian daripada sembilan buah Lepa Cantik Asli yang berarak melintasi Dataran Lepa sempena Pesta Sukan Air Regatta Lepa Ke-19 Semporna 2012.



PEMENANG...Tun Juhar Mahiruddin (kanan) diringi Dato Seri Mohd.Shafie (dua kanan) dan Dato Sri Nasir(tengah) menyampaikan hadiah enjin sangkut dan replika cek kepada pemenang ketiga Lepa Cantik, Haji Bokarah (kiri) sempena Pesta Sukan Air Regatta Lepa Semporna Ke-19 Tahun 2012 di Dataran Lepa Semporna.





PELANCONG...Datuk Seri Shafie (tengah) diringi Dato' Sri Nasir (dua kanan); Datuk Ramlee (belakang Shafie) dan Mohd Azis Jamman (kanan) berbual mesra dengan salah seorang pelancong dari Eropah yang turut menyaksikan Pesta Sukan Air Regatta Lepa Ke-19 Semporna.

Hadirsama sempena majlis penutupan itu Yang DiPertua USIA, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Sakaran Dandai dan isteri, Toh Puan Hjh Siti Rukaiyah; Menteri Kemajuan Luar Bandar & Wilayah, Dato Seri Mohd.Shafie Apdal dan isteri; Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Bolkiah Hj.Ismail; Pengerusi BaitulMal merangkap Adun Sulabayan, Datuk Harman Mohammad; Adun Bugaya, Datuk Haji Ramlee Marahaban, Timbalan-Timbalan Menteri Persekutuan; EXCO-EXCO Kerajaan Negeri dari seluruh negeri; Pegawai Daerah Semporna; Ketua-Ketua dan Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta Para Pemimpin Masyarakat.

Sempena Majlis Malam Penghargaan & Penutupan Regatta Lepa ke-19 yang dilakukan Menteri Kemajuan Luar Bandar & Wilayah, Datuk Seri Mohd.Shafie Hj.Apdal itu telah diserikan dengan pelbagai persembahan yang gilang gemilang termasuklah persembahan nyanyian Misha Omar dan Anuar Zain; di samping persembahan tarian tradisi oleh Kumpulan Petras, nyanyian tersohor suku kaum Bajau, Den Bisa dan penyampaian hadiah pertandingan Tanglung Lepa.

5 comments:

  1. Keunikan Sabah ada pada budayanya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Inilah salah satu yang menjadi tarikan ramai pelancong untuk datang ke Sabah.

      Delete
  2. Sabah mmg unik dgn pelbagai warisan dan budaya.

    ReplyDelete
  3. Pesta ini perlulah dikekalkan sebaiknya. Pesta ini antara pesta yang terbesar di Sabah jadi kita perlu menurunkan kemahiran ini pada generasi yang akan datang.

    ReplyDelete
  4. syabas kepada penganjur2 Regatta Lepa kerana sekali lagi berjaya menganjurkan pesta besar seperti ini..

    ReplyDelete