Friday 6 April 2012

REKOD KATA SUDAH MATI TAPI PENGUNDI MASIH HIDUP


Oleh : HAZLAN ZAKARIA

SEORANG lelaki, Ho Heng Tong terkejut apabila semakan di laman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan namanya telah dikeluarkan daripada daftar pengundi kerana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekod namanya sebagai seorang yang telah meninggal dunia.

Ho, 53, yang membuat laporan polis berhubung perkara itu bagaimanapun gagal mendaftar sebagai pengundi sekali lagi apabila cuba berbuat demikian di pejabat pos kerana rekod beliau dikatakan sudah wujud dalam sistem.

Perkara itu didedahkan MP Subang, R Sivarasa yang berkata, pengundi di kawasannya itu telah mengundi sebanyak enam kali sebelum diisytiharkan meninggal dunia mengikut rekod berkenaan.

Katanya, Ho telah mengunjungi ke pejabat SPR Wilayah Persekutuan di Putrajaya untuk membuktikan bahawa beliau masih hidup dan untuk menuntut supaya namanya dikekalkan dalam daftar pemilih.

Sivarasa berkata, walau SPR mengakui bahawa Ho masih hidup, pegawai suruhanjaya itu bagaimanapun tetap meminta lelaki tersebut supaya mendaftar sebagai pengundi baru.

Setelah beliau menemani Ho untuk bersemuka dengan SPR sekali lagi, barulah suruhanjaya itu mengalah dan membenarkan status lelaki tersebut dikekalkan sebagai pengundi di kawasan parlimen Subang, katanya.

Sivarasa berkata demikian dalam satu sidang media di bangunan parlimen. (MK)

7 comments:

  1. JPN dan SPR perlu bekerjasama dalam membersihkan senarai daftar pengundi sebelum PRU dilaksanakan.

    ReplyDelete
  2. Lain pula ceritanya dengan seorang nenek yang sudah berusia 90-an. Dalam MyKadnya, dia masih berusia 15 tahun. JPN sepatutnya berusaha untuk mengelakkan perkara seperti ini berlaku.

    ReplyDelete
  3. SPR perlu perjelaskan hal ini, kesilapan seperti ini tidak patut berlaku.

    ReplyDelete
  4. Banyak didengari perkara2 yang seperti tu, SPR patut mengambil tindakan segera untuk memperbaiki semua tu.

    ReplyDelete
  5. Harap masalah sebegini akan dapat disiasat. Mungkin ada kesilapan dalam perkara ini.

    ReplyDelete
  6. bukankah situasi itu menunjukkan SPR amat tegas dalam mendaftarkan pengundi?? bila terlalu ramai pengundi, dia minta digugurkan nama2 mereka.. bila ada yang digugurkan, dia minta nama2 itu disenaraikan semula tanpa perlu mendaftar semula..

    ReplyDelete
  7. sepatutnya R Sivarasa mendesak SPR menyiasat bagaimana nama Ho Heng Tong boleh digugurkan dan mandesak pihak JPN menyiasat bagaimana status Ho Heng Tong boleh direkodkan sebagai telah meninggal dunia..

    ReplyDelete