Wednesday 11 April 2012

TANDAS DI LAPANGAN TERBANG TAWAU KOTOR



TAHAP kebersihan tandas di Lapangan Terbang Tawau berada dalam keadaan yang kurang memuaskan sekaligus boleh menjatuhkan imej daerah ini di kalangan mata pengunjung dan pelancong.

Demikian menurut salah seorang ahli majlis mesyuarat penuh, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) yang mendakwa kesemua tandas di lapangan terbang itu bukan sahaja berbau busuk malah sering ketiadaan air.

Menurutnya, kesemua tandas awam di kawasan itu seolah-olah tidak diselenggara dengan baik dan seharusnya masalah itu sepatutnya tidak timbul.

Jelasnya, kawasan tersebut merupakan tumpuan orang ramai termasuk pelancong luar dan bayangkan apa reaksi mereka jika keadaan ini dipertontonkan.

“Kotor, berbau dan tidak selesa itu antara reaksi yang boleh digambarkan bagi pengunjung ketika menggunakan tandas-tandas berkenaan,’’katanya.

Katanya, perkara itu perlu tindakan segera dan sesuatu seharusnya dilakukan untuk menambah baik tandas awam bagi keselesaan semua pengunjung serta langkah memberikan gambaran terbaik kepada pelancong terutama dari luar.

“Kebersihan dan keselesaan serta layanan yang sewajarnya patut ditunjukkan dalam usaha menarik minat mereka untuk berkunjung kembali ke daerah ini,’’ ujarnya ketika Mesyuarat Penuh MPT baru-baru ini.

Sehubungan itu Presiden MPT, Datuk Ismail Mayakob meminta pihak Malaysia Airport Berhad agar tampil memberi penjelasan berkaitan isu berkenaan.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Air menjelaskan bahawa bekalan air bagi kawasan lapangan terbang itu di salurkan secara terus dari pam air di Batu 7, Balung.

“Kita tiada masalah bagi penyaluran air ke kawasan itu kerana bil air bagi kawasan lapangan terbang itu setiap bulan ada dan mencecah RM3,000,’’ katanya. (ST)

No comments:

Post a Comment