Tuesday 10 April 2012

TIDAK TIMBUL ISU PARTI SEMENANJUNG

Oleh : YUSOP TEPPO

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Moktar Radin menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh Datuk Dr. Jeffrey Kitingan mengenai penambahan kerusi dewan undangan negeri dan parlimen yang akan diambil oleh parti Semenanjung adalah tidak wajar.

“Pengerusi Parti Star Sabah itu perlu memikirkan bahawa tidak wujud lagi parti dari Semenanjung kerana semua pemimpin terutamanya parti Umno adalah dipimpin sendiri oleh anak tempatan bukannya pemimpin dari Semenanjung,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) menjelaskan kita di Sabah dalam kepimpinan Barisan Nasional (BN) dipimpin sendiri oleh anak-anak tempatan sama ada dalam barisan pemimpin peringkat negeri Sabah mahupun di bahagian-bahagian Umno di negeri ini.

“Tiap kali pilihan raya, semua kerusi yang dipertandingkan di negeri ini adalah dicalonkan dari anak tempatan itu sendiri bukannya dari pemimpin negeri-negeri lain,” katanya.

Bung Moktar juga menegaskan semua pemimpin Umno di Sabah anak tempatan dan banyak menyuarakan isu-isu kepada kerajaan BN untuk kepentingan rakyat di negeri ini.

“Telah banyak usaha anak-anak tempatan dalam kepimpinan kerajaan BN di Sabah menyediakan pelbagai kemudahan dan projek pembangunan yang lebih berkesan kepada rakyat Sabah,” katanya sambil menambah bahawa tidak timbul isu parti Semenanjung kerana semua pemimpin di Sabah dari parti kerajaan adalah terdiri anak-anak Sabah.

Beliau berkata parti sahaja datang dari Semenanjung tetapi yang yang memimpin di Sabah terutamanya wakil-wakil rakyat BN adalah anak Sabah.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menyokong penambahan kerusi dewan undangan negeri dan parlimen di negeri ini dalam memastikan penyaluran peruntukan yang lebih berkesan di sesebuah kawasan.

“Kawasan dewan undangan negeri mahupun kawasan parlimen di negeri ini amat luas untuk seorang wakil rakyat memberi perkhidmatan,” katanya.

Beliau menjelaskan sekiranya kawasan dewan undangan dan parlimen ditambah sudah tentu perkhidmatan seorang wakil rakyat itu akan lebih mantap dan memberi kesan seimbang dalam menyediakan kemudahan untuk rakyat di kawasan itu.

Bung Moktar memberi contoh di mana parlimen yang diwakilnya hari ini mempunyai keluasan sama seperti negeri Pahang.

“Kita lihat sahaja negeri Pahang yang memiliki 14 kawasan parlimen dan 44 kawasan dewan undangan negeri sedangkan parlimen Kinabatangan hanya mempunyai seorang ahli parlimen dan dua orang ahli dewan undangan negeri,” katanya. (theborneopost)

No comments:

Post a Comment