Sunday 20 May 2012

ASTRO BERI RM500 JUTA UNTUK CSR




KOTA KINABALU : Stesen televisyen berbayar, Astro memperuntukkan sebanyak RM500 juta menerusi tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi memperluaskan pengaruh stesen penyiaran milik kerajaan itu khususnya ke seluruh Sabah dan Sarawak.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Astro dan RTM telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) itu selama tiga tahun bermula tahun ini.

"Kementerian mengucapkan terima kasih kepada Astro dalam suasana gembira ini sekaligus tidak timbul lagi masalah tidak menerima isyarat (Astro) dan tidak menerima pancaran RTM dan punca-punca siaran kerajaan yang lain," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kompleks Bersepadu Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Jalan Lintas, Kepayan di sini, Sabtu.

Rais berkata menerusi MoU itu juga, Astro akan membekalkan sejumlah 1,800 dekoder kepada rakyat Sabah yang dikenal pasti layak manakala 2,000 di Sarawak dalam tempoh terdekat.

"Sejumlah RM100 juta dibelanjakan Astro pada tahun lepas dan menurutnya (Astro), baki peruntukan akan dibelanjakan mulai tahun ini dan (dekoder) sedang dibekalkan kepada penduduk pedalaman yang tidak berkemampuan untuk menerima isyarat radio dan televisyen," katanya.

Beliau berkata kementerian menerusi RTM juga akan meningkatkan pelbagai program untuk mengisi rancangan bersifat 'local content' (kandungan tempatan) yang menepati citarasa penduduk di Sabah dan Sarawak khususnya, dan di beberapa kawasan terpilih di Semenanjung, amnya.

Sehubungan itu, Rais berkata syarikat produksi televisyen tempatan dipelawa menghasilkan program bersesuaian bagi menambah 16 syarikat pembekal program sedia ada di Sabah dan Sarawak.

Selain program televisyen menerusi TV1, TV2 dan TV interaktif (TVi), beliau berkata kerjasama itu juga menjurus kepada peluang rakyat Sabah dan Sarawak mendapat saluran radio Klasik Nasional, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Mengenai Kompleks Bersepadu KPKK Sabah yang dianggap mercu tanda baru kepada kepesatan pembangunan di negeri ini, katanya RTM akan menjadi sebuah stesen penyiaran televisyen dan radio yang mempunyai kemudahan tercanggih di negara ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Rais berkata kompleks yang bernilai hampir RM80 juta dan terletak di kawasan berkeluasan 6.76 hektar itu, membuktikan hubungan sedia ada yang erat terjalin antara kerajaan pusat dan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Bangunan itu yang mula dibina pada 2009, siap akhir tahun lepas dan menempatkan empat agensi di bawah KPKK iaitu Jabatan Penyiaran, Jabatan Penerangan, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Kompleks itu turut dilengkapi, antaranya bangunan surau, lima bilik hubungan radio dan sebuah studio berita.

Musa dalam ucapannya pula, berkata kerajaan sentiasa menghargai peranan dan sumbangan semua jabatan dan agensi KPKK termasuk dalam menyebarkan maklumat semasa serta dasar dan program di samping usaha-usaha pembangunan negara.

Turut hadir isteri Juhar, Toh Puan Norlida RM Jasni, isteri Rais, Datin Seri Masnah Rais, Pengurus Besar Bernama Datuk Hasnul Hassan,Pengarah Penyiaran Sabah Abdul Jalani Mahmud, Pengarah Penerangan Sabah Almain Ajirul dan Pengarah JASA Sabah Abdul Manap Lakariba. (Bernama)

5 comments:

  1. tahniah kepada Astro dan RTM TETAPI jangan pula selepas ini ASTRO melambungkan lagi sewa bulanan. kadar sekarng pun sangat tinggi sudah

    ReplyDelete
    Replies
    1. astro juga perlu tingkatkan kualti siaran mereka, masalah gangguan siaran harus diselesaikan.

      Delete
  2. Tingkatkan kualiti siaran. Jangan banyak sangat ulangan. Tahniah kerana Astro beri bantuan kepada RTM.

    ReplyDelete
  3. Harap RTM akan dapat memberikan perkhidmatan yang baik dalam penyiaran.

    ReplyDelete
  4. syabas kepada Astro.. dan saya rasa pihak Astro juga perlu meningkatkan kecekapan perkhidmatan mereka, iaitu dengan mengurangkan gangguan siaran ketika waktu hujan..

    ReplyDelete