Sunday 6 May 2012

BN, PAKATAN YANG BERPAKSI REALITI






KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) adalah satu pakatan yang berpaksi kepada realiti dan hakikat. Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata hubungan antara parti komponen BN adalah serasi dan berdasarkan kepada falsafah serta amalan dalam BN.

"Kita tidak bersandiwara kepada rakyat, salah satu daripada sandiwara yang besar yang dilakukan oleh pembangkang ialah bahawa sehingga ke hari ini, walaupun empat tahun sudah berlalu tetapi mereka tak dapat lagi membentuk 'shadow cabinet' dalam pembangkang walaupun mereka uar-uarkan nak wujudkan 'two party system' dalam negara.

"Jadi kalau dalam pembangkang lagi di peringkat nasional mereka gagal untuk berbuat demikian, macam mana mereka nak ada keyakinan bahawa mereka boleh tawan Putrajaya dan mereka boleh mentadbir negara kita dengan jayanya," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Umno-Online di sini.

Beliau berkata Umno tidak pernah bersikap ekstrem dalam memperjuangkan kehendak orang Melayu dan sering bertolak ansur serta inklusif dengan kaum lain.

"Sebab itulah kita telah berjaya dalam 12 pilihan raya. Walaupun kita mengalami apa yang disifatkan sebagai tsunami politik pada 2008, tapi kita akan mempelajari dan menyedari.

"Kalau ada kesilapan kita mesti akuinya, maknanya mesti muhasabah, yang mana ia telah kita lakukan dan kita mesti berani membuat perubahan dalam parti kita dan kerajaan telah pun membentangkan apa pembaharuan untuk rakyat.

"Sekarang ini kita masuk dalam peringkat di mana segala-gala pembaharuan yang kita telah dan sedang lakukan itu mestilah kita dapat meyakinkan rakyat.

"Maknanya kebolehan kita untuk berkomunikasi dengan berkesan kepada rakyat, supaya rakyat akan sedar bahawa agenda trasformasi nasional kita adalah yang terbaik untuk rakyat dan masa depan negara kita," katanya.

Najib juga mengakui bahawa ada angin perubahan ke arah Umno dan BN, termasuk di negeri yang diperintah pembangkang dan berharap momentum itu dapat diperhebatkan lagi.

"Jadi jangan kita rasa kemenangan dalam tangan kita... tak boleh. Dalam minda kita mesti ada selagi kita merasakan boleh, selagi belum sampai kepada hari mengundi, selagi itu saya ada yang boleh saya lakukan. Masih ada banyak cara yang boleh saya lakukan dan saya mesti melihat daripada semua sudut, maknanya semua pemimpin Umno mesti bersikap sedemikian," katanya.

Anggota BN juga, kata Perdana Menteri, harus melipatgandakan usaha untuk menerangkan kepada rakyat bahawa pakatan pembangkang tidak ada kemampuan untuk mentadbir negara dan negeri sepertimana yang mereka dakwa.

"Janji-janji yang telah mereka (pembangkang) buat tidak ditepati. Ini yang mereka (anggota BN) patut tekankan kepada rakyat supaya rakyat pada kesudahannya akan mengadili siapa yang benar atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata anggota BN juga tidak boleh ada sikap 'urusan seperti biasa', lebih-lebih lagi di negeri yang tidak dikuasai BN dan mesti berbuat sesuatu yang luar biasa dari segi strategi, kesungguhan, perancangan serta peranan dalam sosial media online.

"Kalau kita nak menumbangkan kerajaan yang dikuasai oleh pembangkang di negeri-negeri tertentu, kita mesti berusaha lebih daripada biasa. Ini mesej saya. Kita mesti bersatu lebih daripada biasa, jadi barulah kita ada peluang yang baik," katanya.

Ditanya mengenai penerimaan rakyat terhadap Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Najib percaya bahawa rakyat menerimanya dengan baik dan positif berdasarkan tinjauan mesra yang dilakukan sebelum ini.

Oleh itu, beliau berkata anggota BN harus melakukan apa yang patut untuk meyakinkan kepada rakyat bahawa sebarang unsur negatif dari segi persepsi yang cuba dilontarkan pembangkang mengenai BR1M tidak akan diterima oleh rakyat.

"Saya melihat bahawa sambutan yang diberikan kepada saya, kepada Timbalan Presiden, kepada pemimpin-pemimpin lain lebih positif tetapi kita juga harus sedar bahawa pembangkang begitu aktif, mereka akan menyerang, menyelar kita dan mereka akan cuba mengalih pandangan kita dengan mempertikaikan apa saja program yang kita buat dan menimbulkan isu-isu yang tidak sepatutnya dijadikan isu," katanya.

Najib berkata antara pembohongan yang dilakukan pembangkang bagi menghilangkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan ialah dakwaan BR1M menggunakan duit yang dipinjam dari luar negara.

Kejayaan melaksanakan BR1M adalah kerana kerajaan berjaya menambahkan hasil negara sebanyak RM26 bilion dalam masa setahun sahaja, katanya.

"Ia merupakan pencapaian tertinggi oleh kerajaan tapi pencapaian itu tidak diberi kredit, tidak diberi penghargaan oleh mereka tetapi sebaliknya mereka menuduh kita membuat sesuatu yang berdasarkan kononnya kita ini kerajaan yang tak bertanggungjawab.

"Merekalah yang menjanjikan sesuatu yang bersifat populis, begitu juga apabila mereka cuba bangkitkan kononnya saya ada mesyuarat dengan ketua-ketua angkatan tentera nak melakukan sesuatu di luar Perlembagaan seandainya Umno dan BN kalah.

"Itu merupakan satu fitnah yang amat dahsyat tapi mereka sanggup lakukan dakwaan seperti ini semata-mata kalau mereka tak dapat meyakinkan rakyat sekurang-kurangnya mengelirukan rakyat. Ini taktik yang digunakan oleh parti pembangkang," katanya. (Bernama)


10 comments:

  1. Difficult for the opposition to form a shadow cabinet when the PR component parties failed to unite and cooperate.

    ReplyDelete
  2. Whether PR will be able to take over Putrajaya will be up to the voters. We shall wait and see during the next GE.

    ReplyDelete
  3. Pakatan suka membuat janji bulan dan bintang yang mereka sendiri tidak pasti boleh melakukannya. mereka hnya berjanji untuk dpt sokongan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rakyat pasti pandai menilai sendiri pihak mana yang layak diundi bila PRU.

      Delete
  4. Janganlah leka dekat2 PRU ni. Macam2 boleh berlaku nanti bila pilihanraya. kadang2 boleh terjadi sesuatu yang tidak dijangka.

    ReplyDelete
  5. Gabungan BN adalah yang terbaik setakat ini di Malaysia.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rekod BN harus sentiasa cemerlang supaya rakyat pun berpuas hati dengan perkidmatan yang diberi.

      Delete
  6. Utamakan rakyat dan tunaikan segala janji pembangunan pasti rakyat sendiri akan mengundi kerajaan BN

    ReplyDelete
  7. pembangkang, jika tidak pandai berbohong dan tidak pandai putar belit, tidak layak la mereka duduk dalam parti pembangkang..

    ReplyDelete
  8. pambangkang negara ini paling bertuah di dunia.. bukan sahaja ada pihak yang boleh mengampunkan dan menghalalkan tindakan mereka, malah juga pihak yang sanggup jadi perisai untuk membantu mereka mendapatkan jawatan kabinet..

    ReplyDelete