Saturday 19 May 2012

LDP GESA SESB TINGKATKAN PEMANTAUAN




LAWAT....Chong ketika melawat sisa rumah yang terbakar dan menyebabkan seorang warga emas rentung di Rancangan Silabukan, Lahad Datu.

Oleh : OTHMAN RAMLIE

TRAGEDI warga tuan rentung dalam kebakaran rumah di Peringkat 2, Rancangan Silabukan minggu lalu sewajarnya menjadikan SESB lebih prihatin menyelenggara pencawang kampung berkenaan yang terbakar dua hari lalu sehingga mengancam nyawa kanak-kanak Tabika Kemas yang sekolah mereka terletak berdekatan dengan pencawang tersebut.

Timbalan Pengerusi LDP Silam, Chong Su Vun yang turut melawat tragedi yang menimpa ibu Ketua Editor Sabahkini.net, Mutalib M.D menggesa agar SESB menjalankan pemantauan segera, terutama memindahkan pencawang yang terlalu dekat dengan Tabika Kemas dan menjalankan pemantaun terhadap kestabilan arus elektrik agar kejadian kebakaran yang mungkin berpunca daripada litar pintas tidak lagi berulang.

"Kita amat kesal dengan kejadian yang menimpa Hajjah Normah yang gagal diselamatkan dalam kebakaran tersebut akibat letupan yang masih menjadi rahsia; tetapi saksi mata memaklumkan bahawa berpunca daripada renjatan elektrik," ujar Chong yang menggesa polis, Bomba dan SESB agar menjalankan siasatan terperinci agar tidak berlaku perbuatan khianat atau jenayah.

Chong yang juga mantan Pegawai Perhubungan Ahli Parlimen Silam menegaskan bahawa ketika berkhidmat, beliau telah meminta agar SESB dan Bomba menjalankan pemantauan bersama setelah kebakaran berlaku di Rancangan Silabukan Peringkat Satu.

"Tetapi saya kesal kerana mereka tidak melakukan apa-apa sehingga berlaku kejadian kedua yang menyayat hati ini," ujar Chong yang tidak dapat menahan sebak apabila diberitahu jiran sekeliling bahawa mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana api terlalu kuat dan hanya mampu mendengar mangsa merayu meminta tolong dan terbakar di hadapan mata mereka.

Tegas Chong, Bomba yang hanya tiba setengah jam kemudian tidak dapat berbuat apa-apa kerana mangsa tidak lagi bernyawa dan hangus terbakar.

Sehubungan itu, Chong menggesa agar pengurusan Rancangan Silabukan menubuhkan Bomba Sukarela kerana kedudukan Balai Bomba terdekat terlalu jauh dan memerlukan masa setengah atau satu jam untuk sampai ke lokasi.

"Selalunya, bomba sampai setelah rumah menjadi arang dan debu kerana tidak semua kampung mempunyai bekalan air sekalipun mempunyai paip," ujar Chong yang menggesa agar Kerajaan Tempatan dan Perumahan menaiktaraf Balai Bomba di Lahad Datu kerana kebakaran sudah menjadi rutin setiap minggu.

4 comments:

  1. punca kebakaran kerana pencawang terbakar, ia seharusnya tidak berlaku jika SESB sentiasa memantau pencawang tersebut.

    ReplyDelete
  2. Bila berlaku kejadian seperti ini, baru mahu bertindak?

    ReplyDelete
  3. Semoga SESB dapat menyelesaikan masalah bekalan yang tidak begitu stabil dan kerap terganggu.

    ReplyDelete
  4. masih banyak yang perlu diperbaiki.. selain dipihak sesb, pihak bomba juga perlu meningkatkan kecekapan mereka setiap kali berlaku kebakaran..

    ReplyDelete