Friday 18 May 2012

MANSUHKAN HUKUMAN SEBAT UNTUK PEKERJA ASING?





JAKARTA : Hukuman sebatan terhadap pekerja asing yang diperuntukkan di bawah undang-undang imigresen akan dicadangkan supaya dimansuhkan kerana ia dilihat sebagai bersifat tidak manusiawi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata istilah sebat itu sendiri untuk kesalahan imigresen sudah memberi persepsi kurang elok kepada Malaysia dan sehubungan itu kerajaan perlu mengkaji kaedah baru untuk menggantikan hukuman sebat terhadap pekerja asing yang tinggal di Malaysia tanpa permit yang sah.

“Saya akan berjumpa dengan Peguam Negara untuk membincangkan cadangan memansuhkan hukuman sebat kerana ia tidak membawa banyak manfaat sebaliknya, hanya mengundang pandangan negatif orang luar terhadap negara,” katanya ketika ditemui di sini.

Mohamed Nazri yang mengetuai delegasi Kesatuan Antara Parlimen Malaysia dalam lawatan tiga hari ke sini mulai semalam, sebelum itu menemui Ketua Majlis Pemesyuaratan Rakyat (MPR) Indonesia Taufik Kiemas di kediamannya di Menteng, Jakarta Pusat.

Turut serta dalam rombongan beliau ialah Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ronald Kiandee dan anggota Parlimen Balik Pulau Mohd Yusmadi Mohd Yusoff.

Mohamed Nazri, yang merupakan menteri bertanggungjawab terhadap Parlimen dan undang-undang berkata sejak hukuman sebat diperkenalkan terhadap pekerja asing, masalah pekerja asing tanpa izin tidak berkurang, sebaliknya menjadi semakin bertambah.

“Justeru, kaedah baru bentuk hukuman misalnya mengenakan denda yang tinggi boleh digantikan dengan hukuman sebat,” katanya.

Kemajuan teknologi dengan adanya sistem biometrik sekarang, katanya boleh juga menjadi antara alat yang berkesan untuk mengawal kemasukan pekerja asing tanpa izin ke Malaysia.

Ditanya sama ada Malaysia juga bercadang memansuhkan hukuman sebat bagi kesalahan lain, Mohamed Nazri berkata hukuman sebat tidak sesuai untuk kesalahan kecil seperti kesalahan imigresen tetapi bagi kesalahan besar seperti merogol, hukuman itu masih sesuai dilaksanakan.

Bagaimanapun jika rakyat mempunyai pandangan yang berbeza terhadap hukuman sebat bagi kesalahan merogol misalnya, pihak kerajaan bersedia untuk menimbangkan mengenai pemansuhannya.

Difahamkan bahawa sebilangan besar pekerja asing di Malaysia yang dikenakan hukuman sebat terdiri daripada rakyat Indonesia dan keadaan itu turut menyumbang kepada sentimen anti-Malaysia yang disuarakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negara itu.

“Kita tidak boleh lari daripada kenyataan bahawa rakyat Indonesia yang datang secara haram ke Malaysia merupakan jumlah tertinggi yang dikenakan hukuman sebat berbanding dengan pekerja asing yang datang dari negara lain,” kata Nazri.

Undang-undang imigresen Malaysia sekarang ada memperuntukkan bahawa warga asing yang masuk ke Malaysia tanpa permit yang sah boleh dikenakan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya dan boleh dikenakan hukuman tidak lebih daripada enam kali sebatan.

Mohamed Nazri percaya pemansuhan terhadap hukuman sebat seperti yang dicadangkan itu akan menjadikan udang-undang Malaysia lebih dihormati, selain membantu mengakrabkan lagi hubungan dua hala dengan negara-negara sahabat. (Bernama)

9 comments:

  1. If corporal punishment is abolished, we still need to come up with other method to ensure that no one would try to go against the laws.

    http://sabah-go-green.blogspot.com/

    ReplyDelete
  2. I think stricter screening for hiring foreign workers is needed so that there are less chances of hiring foreigners with criminal backgrounds.

    http://sabah-go-green.blogspot.com/

    ReplyDelete
  3. jika hukuman tersebut terlalu berat, baik ia dimansuhkan saja, tapi perlu ada undang2 lain bagi membendung kemasukan PATI.

    ReplyDelete
  4. Tidak hairanlah kalau PATI yang paling ramai dienakan hukuman sebab mereka ni paling ramai di penjara>

    ReplyDelete
  5. Siapa suruh melakukan kesalahan datang ke Negara orang tanpa permit.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau tidak sanggup terima hukuman jangan masuk negara lain tanpa permit sah.

      Delete
  6. Tidak payah mansuhkan. ada negara lain lebih teruk dari M'sia. Hukum tembak pun ada.

    ReplyDelete
  7. sebelum dimansuhkan, lihat dulu bagaimana bentuk hukuman negara2 lain bagi mengatahi masalah pendatang asing tanpa izin di negara mereka.. jika ada yang lebih berat, bermakna hukuman sebat ini sesuai dan perlu diteruskan..

    ReplyDelete
  8. undang2 tidak pernah salah sekalipun hukuman yang dijatuhkan adalah hukuman mati.. yang salah itu ialah pihak yang melanggar undang2.. daripada meringankan undang, kenapa tidak nasihatkan rakyat di negara2 asing supaya tidak memasuki negara ini secara haram??

    ReplyDelete