Wednesday 23 May 2012

NAJIB-ANWAR PERLU DEBAT SEBELUM PRU13




Oleh : NURULFATIHA MUAH

SHAH ALAM : Debat Sinar Harian antara Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berakhir dengan harapan ia akan menjadi pencetus kepada debat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Moderator Debat Sinar Harian, Dr Mazlee Malik mencabar kedua-dua pemimpin kanan itu agar muncul dalam satu debat, yang boleh dianjurkan oleh Sinar Harian dengan kerjasama Astro Awani dan Bernama 24, bagi menjelaskan kerangka dasar parti-parti masing-masing sebelum PRu13.

Katanya, ia penting bagi negara menuju status negara maju dan selaras dengan kehendak rakyat.

"Kita sudah dengar debat pada tahun 2008 di Amerika Syarikat, 2010 di UK, dan di sini negara kita, kita harap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Umum Datuk Seri Anwar akan muncul pada debat menjelang Pilihan Raya Umum," kata beliau ketika menutup Debat Sinar Harian sebentar tadi.

Cabaran beliau itu turut disambut positif oleh hadirin di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini malam ini, yang jumlahnya sekitar 400 orang.

Debat Sinar Harian yang berlangsung 90 minit menyentuh soal "Pemansuhan PTPTN & Hala Tuju Pendidikan Tinggi".

Pagi tadi, Anwar sekali lagi mencabar Najib agar berdebat secara umum mengenai pilihan raya bersih dan adil.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perbicaraan atas pertuduhan menyertai perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu.

Dalam sesi debat itu, Maszlee yang juga moderator program berkata, dakwaan yang menyatakan debat merupakan budaya barat dan tidak sesuai dengan budaya di negara ini, disifatkan sebagai penghinaan kepada rakyat Malaysia.

Menurutnya, debat adalah penghargaan kepada akal fikiran dan cara rakyat berfikir dalam usaha mewujudkan politik matang dan bertamadun.

"Debat hanya untuk pertahankan idea dan memastikan idea yang dilontarkan itu dicabar. Bukan seperti 'satu suara' seperti dalam ceramah. Ini adalah medium untuk didik rakyat di peringkat permulaan dan diharapkan ia akan jadi politik baru selepas ini," katanya.

Maszlee berkata, untuk mewujudkan politik matang dan bertamadun, rakyat memerlukan maklumat  adil serta saksama dalam membuat pilihan tepat ketika mengundi.

Menurutnya, demokrasi bukan sekadar buang undi semata-mata, sebaliknya ia lebih kepada bagaimana undian boleh dijalankan, berdasarkan keadilan maklumat.

"Media perlu beri ruang demokrasi yang adil, bukan setakat beri pendapat tanpa pembelaan. Ini yang dikatakan politik baru," katanya.

Dalam pada itu, pada pusingan kedua, Maszlee memuji penonton yang juga penyokong dua panel debat; Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli kerana bersikap tenang sepanjang program berlangsung.

Bagaimanapun suasana 'hangat' ketika sesi soal jawab dengan penyokong dan sesi penggulungan. Ada di antara penyokong bersorak ketika pemimpin masing-masing berhujah.

Terdapat juga penyokong yang 'bising' ketika hujah diutarakan tidak menjawab soalan, namun terkawal kerana Maszlee bijak mengawal situasi tersebut.

10 comments:

  1. makin byk debat berlangsung sekarang, dan kita lihat adakah Najib akan berdebat dgn Anwar.

    ReplyDelete
  2. tapi debat tu biarkan memberi manfaat, jgn hnya debat kosong.

    ReplyDelete
  3. Belum cukup lagi debat KJ dan Rafizi??

    ReplyDelete
  4. Rasa2nya Najib tak akan turun berdebat dengan Anwar.

    ReplyDelete
  5. Banyak mana pun yang mahukan debat ini, ia tidak akan diadakan juga.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Debat hanya untuk mempromosi parti masing2 saja, tidak menyelesaikan apa2.

      Delete
  6. Kita tunggu saja keputusan mengenai cadangan tersebut.

    ReplyDelete
  7. Debat pada masa yang sama mempromosikan parti masing2 dan memburukan parti lawan.

    ReplyDelete
  8. "Katanya, ia penting bagi negara menuju status negara maju dan selaras dengan kehendak rakyat."

    adakah negara ini hanya akan maju jika Najib dan Anwar berdebat??

    ReplyDelete
  9. kalau Najib dan Anwar berdebat, mesti ada yang buat kecoh atau provokasi..

    ReplyDelete