Tuesday 1 May 2012

ORANG MELAYU PERLU MANFAATKAN PELUANG





Oleh : FADZLI RAMLI

MALAYSIA antara negara terbaik di dunia dalam menyediakan peluang serta kemudahan kepada rakyatnya, justeru orang Melayu di Malaysia perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang yang tersedia itu.

Itulah pandangan beberapa penduduk Melayu di Lingga, Riau, Indonesia yang ditemui Bernama.

Mohammad Salim, 51, dari Pulau Benan, Lingga, berkata terdapat begitu banyak peluang, termasuk dalam bidang pendidikan dan ekonomi, yang terhidang di depan mata yang disediakan oleh kerajaan untuk rakyat Malaysia.

"Kami di sini tidak mempunyai peluang sebanyak diperoleh orang Melayu di Malaysia, jadi jangan duduk menunggu untuk disuap, orang Melayu di Malaysia perlu rebut peluang ini bagi memajukan diri, masyarakat dan generasi seterusnya," katanya kepada Bernama di Lingga.

Beliau yang bekerja sebagai penternak ikan kagum dengan usaha yang dilakukan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selama lebih 20 tahun bagi memajukan bangsa Melayu di Malaysia.

"Cerita kehebatan bapak Mahathir memajukan bangsa Melayu di Malaysia meniti di bibir orang Melayu di sini. Usaha beliau di peringkat antarabangsa telah membawa bangsa Melayu dikenali di serata dunia.

"Bagi saya, bapak Mahathir 'pemegang utuh' kata-kata Hang Tuah 'Takkan Melayu hilang di dunia!' Bapak Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) juga tidak kurang hebatnya, beliau mampu meneruskan usaha bapak Mahathir," kata Salim.

Ismail, 57, yang tinggal di Pulau Mepar, Lingga berkata pendidikan merupakan peluang terpenting yang perlu direbut masyarakat Melayu di Malaysia.

"Pelajaran ilmu ini ibu bagi segalanya. Dengan adanya ilmu, orang Melayu mampu memegang segalanya daripada ekonomi sehingga pentadbiran. Maka hargailah peluang menuntut ilmu di Malaysia.

"Di Malaysia banyak pusat pembelajaran ilmu yang tinggi-tinggi, jadi orang Melayu di sana perlu rebut peluang ini. Orang Melayu di sini sukar untuk dapat peluang belajar tinggi seperti itu," katanya yang bekerja sebagai pemandu bot.

Umi Kalthom, 45, seorang pegawai pelancongan berpesan supaya orang Melayu di Malaysia tidak melakukan perkara yang mampu menjejaskan peluang yang diberikan kepada mereka.

"Saya lihat di kaca televisyen ada terdapat demonstrasi berbaju kuning (Bersih 3.0, Sabtu lepas) di ibu kota Malaysia. Apa yang menyedihkan saya ramai orang Melayu terlibat dalam demonstrasi itu, malah ramai juga mahasiswa Melayu.

"Kita orang Melayu bangsa yang lemah lembut juga sopan santun, kenapa kita gunakan kekerasan seperti itu bagi mencapai apa yang dimahukan. Benar mereka mahu perubahan tetapi demonstrasi bukan caranya," katanya yang tinggal di Daik, Lingga.

Ahmad Salleh, 48, yang bekerja sebagai pemandu van teksi di Dabo Singkep, Lingga berpesan agar orang Melayu di Malaysia tidak sekali-kali 'terlena' dengan kesenangan dan peluang yang mereka peroleh.

"Jika kita sudah makan kenyang, mudah bagi kita rasa mengantuk. Maka jangan sekali-kali kita 'terlena' setelah 'kenyang' dengan kesenangan dan peluang yang kita dapat. Kita mesti terus menerus berusaha," katanya.

Ketua Ekspedisi Jejak Jawi III, Dalim Othman berkata orang Melayu di Malaysia perlu mencontohi orang Melayu di Lingga yang masih berpegang teguh kepada adat serta budaya yang menjadi pegangan kukuh kehidupan mereka.

"Adat dan budaya ini mengajar mereka cara untuk hidup dengan berdisiplin bagi mengejar kehidupan yang lebih baik bagi diri mereka dan keluarga mereka. Malah masalah sosial juga amat kurang di sini.

"Namun ramai antara kita di Malaysia melihat adat dan budaya ini hanya kepada tarian, muzik dan pelbagai lagi ... bukan cara hidup. Kita telah lupa cara hidup ini dan perlu diingatkan kembali," katanya.

Beliau berkata dengan cara hidup yang berpegang kepada adat dan budaya, orang Melayu di negara mampu mengorak langkah menjadi sebuah bangsa yang terbaik di dunia.

Ekspedisi Jejak Warisan Jawi III selama lima hari bermula Rabu lepas menjelajah ke kepulauan Riau - Lingga dalam usaha menjejak warisan tulisan Jawi, sejarah Melayu dan Islam di kawasan kepulauan tersebut. (Bernama)

9 comments:

  1. Semua rakyat perlulah memanfaatkan peluang untuk mencapai kejayaan yang lebih baik.

    ReplyDelete
  2. Dr. M, "Melayu mudah lupa".

    ReplyDelete
  3. Kaum Melayu adalah majoriti di negara ini. Banyak keistmewaan untuk mereka. Jika mereka tidak tahu hargainya, ianya sangat merugikan.

    ReplyDelete
  4. byk peluang diberika kepada orng Melayu, mereka harus memanfaatkan peluang tersebut.

    ReplyDelete
  5. Kerajaan sudah bagi banyak kemudahan tapi rakyat saja yang kadang2 tidak tahu menghargai. sama juga macam PTPTN tu.

    ReplyDelete
  6. Pelbagai peluang ada diluar sana cuma kita tidak tahu bagaimana untuk menembusi peluang yang ada itu.

    ReplyDelete
  7. Peluang yang ada gunakan sebaik mungkin.

    ReplyDelete
  8. rakyat di negara asing pula yang memuji Malaysia, sedangkan rakyat sendiri terus berdemo menumbangkan kerajaan yang telah berjaya meletakkan Malaysia antara negara yang terbaik di dunia..

    ReplyDelete