Tuesday 1 May 2012

PELAJAR CHINA TIDAK ENGKAR BAYAR PINJAMAN






Oleh : NG CHE YEAN

BEIJING:  Apabila Guo Yuyu, pelajar Xi'an Foreign Language University, mendapat tahu adanya pinjaman pelajaran yang diberi subsidi oleh kerajaan daripada gurunya, dia segera memohon pinjaman itu secara dalam talian.

Peminjam di bawah Skim Pinjaman Pelajar Berasaskan Tempat Asal ini berkata kemudahan itu membantu meringankan beban kewangan ibu bapanya, di samping membiayai kos sara hidup bagi setiap semesternya.

Bagi Li Qin, pelajar di Shanghai East China Normal University pula, Pinjaman Pelajaran Berasaskan Kampus membantunya menamatkan pengajian tanpa perlu bergantung kepada ibu bapa.

"Saya memohon pinjaman pelajaran kerana mahu berdikari. Saya tidak langsung menggunakan wang ibu bapa saya sejak semester dua di kolej.

"Pinjaman yang diambil mengingatkan saya supaya berdikari. Saya berusaha menjimatkan wang yang saya dapat untuk membayar balik pinjaman dengan secepat mungkin selepas tamat pengajian. Ini kerana, lebih lama saya ambil masa untuk menyelesaikan pinjaman, lebih banyak faedah yang perlu saya bayar," kata Li, yang melunaskan semua pinjaman pelajarannya setahun selepas tamat pengajian.

Seperti kebanyakan pelajar universiti di Shanghai yang memohon pinjaman pelajaran kerajaan, Li, yang berasal dari kawasan luar bandar di Wilayah Hubei, adalah antara bukan pelajar tempatan yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah.

Guo dan Li hanyalah dua contoh pelajar China yang menyedari tentang nilai pelajaran tinggi dan tanggungjawab yang dipikul daripada pinjaman pelajaran yang mereka ambil.

Apabila mereka berjaya dalam peperiksaan kemasukan ke institusi pengajian tinggi yang begitu hebat daya saingnya, mereka akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan mereka tidak tercicir daripada pengajian kerana menyedari bahawa kehidupan mereka akan bertambah baik setelah tamat pengajian kelak. Oleh itu, mereka tidak berasa menjadi suatu bebanan untuk mengambil pinjaman pelajaran dan membayar balik pinjaman itu setelah tamat pengajian.

Kerajaan China komited dalam memastikan semua pelajar yang berkelayakan, terutama daripada keluarga berpendapatan rendah, menyempurnakan pendidikan tinggi masing-masing, kata Zhang Guangming, Pengarah Pusat Nasional China bagi Pentadbiran Bantuan Pelajar di bawah Kementerian Pelajaran.

Kerajaan memikul tanggungjawab besar untuk mencapai matlamat itu di negara sebesar China yang mempunyai 1.3 bilion penduduk.

China mempunyai kira-kira 22 juta pelajar universiti, 25 peratus daripada mereka berasal daripada keluarga yang sangat miskin.

Zhang berkata kerajaan melaksanakan pelbagai usaha untuk membantu pelajar miskin, termasuk menyediakan bantuan kewangan seperti biasiswa berasaskan merit, subsidi, geran dan pinjaman pelajaran bersubsidi oleh kerajaan untuk memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan.

"Kami hanya menawarkan pinjaman pelajaran yang disubsidi kerajaan kepada pelajar miskin, manakala pelajar yang tidak dibelenggu kemiskinan boleh memohon pinjaman gadai janji daripada bank komersial sekiranya mereka memerlukan pinjaman.

"Yuran tuisyen standard universiti awam mampu dibayar oleh keluarga berpendapatan sederhana kerana jumlah minimumnya ialah 3,000 yuan (RM1,448) di kebanyakan universiti dan kira-kira 5,000 yuan (RM2,414) atau 6,000 yuan (RM2,896) di universiti di bandar besar," kata Zhang.

Setiap pelajar boleh meminjam hingga 6,000 yuan (RM2,896) setahun dan kerajaan akan membantu mereka membayar faedah bagi tempoh empat tahun semasa di kolej.

Peminjam mula membayar balik pinjaman dan faedah selepas tamat pengajian dan mereka perlu menjelaskan semua bayaran balik dalam tempoh 10 tahun. Bagaimanapun, peminjam boleh memohon penangguhan sebanyak dua kali sekiranya belum mendapat pekerjaan dua tahun selepas tamat pengajian.

Terdapat dua jenis utama pinjaman pelajaran bersubsidi oleh kerajaan - Pinjaman Pelajaran Berasaskan Tempat Asal Pelajar, yang dikendalikan pihak berkuasa pendidikan tempatan dan oleh bank yang ditauliahkan bagi tempat asal pelajar serta Pinjaman Pelajaran Berasaskan kampus, yang dikendalikan kampus sekolah dan bank bertauliah.

Bagi pelajar yang menangguhkan pembayaran balik pinjaman atau enggan membayar balik atau mengharapkan agar pendidikan tinggi perlu diberi percuma, Zhang berkata: "Ini tidak betul. Jangan ambil mudah kerana pendidikan tinggi bukan pendidikan wajib. Pelajar yang mendapat pinjaman pelajaran perlu belajar menjadi manusia yang bertanggungjawab dan membayar balik pinjaman dalam tempoh yang ditetapkan."

Bagaimanapun, katanya, kegagalan membayar balik pinjaman jarang berlaku di China kerana pinjaman pelajaran yang diberi subsidi kerajaan dan dikendalikan bank, cekap dalam urusan mendapatkan balik pinjaman.

Beliau berkata peminjam juga tidak mahu menanggung risiko disenaraihitamkan oleh bank atau dikenakan tindakan muflis.

Untuk menggalakkan institusi kewangan menawarkan pinjaman pelajaran, sebuah dana pampasan risiko ditubuhkan bagi membayar ganti rugi kepada mereka yang mengalami kerugian.

Kerajaan juga bekerjasama dengan bank untuk memberi penerangan tentang kredit dan kewangan kepada pelajar kolej bagi mencegah penyalahgunaan kredit dan memupuk tanggungjawab mereka terhadap masyarakat, kata Zhang.

Zhai Guowei, anggota Jawatankuasa Kerja Pendidikan Majlis Perbandaran Beijing berkata permintaan terhadap pinjaman pelajaran yang diberi subsidi oleh kerajaan boleh dikatakan rendah di Beijing berikutan penduduknya yang berpendapatan lebih tinggi serta wujudnya skim perlindungan sosial yang lebih menyeluruh di ibu negara China ini.

Pada 2011, hanya 695 pelajar mengambil Pinjaman Pelajaran Berasaskan Tempat Asal di Beijing. (Bernama)

7 comments:

  1. Sebab mereka ada disiplin. Mentaliti mereka bukan mengharap percuma saja.

    ReplyDelete
  2. bukan Malaysia saja memberi pinjaman pendidikan, negara lain pun buat mcm tu, pelajarnya tak jg nak buat protes sana sini.

    ReplyDelete
  3. Kesimpulannya, pinjaman seperti PTPTN memang tidak wajar dihapuskan. Kita lihat di negara lain pun majoriti menggunakan wang pinjaman yang ditawarkan oleh kerajaan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

    ReplyDelete
  4. Ini semua perlulah diselesaikan dengan bijak oleh kerajaan. Memang banyak contoh yang ada tapi perlulah bijak menyelesaikan perkara ini bagi memastikan semua pihak berpuas hati.

    ReplyDelete
  5. perkataan BERDIKARI itu yang penting.. itulah sebabnya pelajar2 di negara luar mampu memperolehi standard yang lebih baik dari pelajar Malaysia..

    ReplyDelete
  6. jika pelajar2 di Malaysia diberikan pendidikan percuma, adakah mereka akan mempunyai kesungguhan untuk hidup berdikari selepas tamat pengajian?? kalaupun pelajar2 Malaysia mahu pendidikan percuma, bukankah dalam syarat2 pinjaman ada dinyatakan bahawa sekiranya mereka mampu memiliki keputusan kelas pertama, mereka akan dikecualikan dari membayar semula pinjaman??

    ReplyDelete