Sunday 6 May 2012

PENIAGA DEMO TUNTUT GANTI RUGI DARI BERSIH





Oleh : ABDUL RAHIM SABRI

SEKUMPULAN peniaga ibu kota berkumpul di hadapan Kompleks Pertama di pusat bandar raya bagi menuntut pampasan dan ganti rugi kerana didakwa kerugian susulan perhimpunan BERSIH 3.0 pada Sabtu lalu.

Peniaga sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Masjid India, Sogo, Kompleks Pertama dan Campbell hadir menuntut pampasan tersebut dan membantah perhimpunan BERSIH diadakan di kawasan mereka selepas ini.

"Kami peniaga, tidak mahu BERSIH ini dijadikan acara di hadapan tempat perniagaan kami. Ia dibuat, dan telah menjejaskan perniagaan kami.

"Kami tetap menolak BERSIH (siri) satu, dua, tiga dan empat. Kami akan menentang BERSIH atau pihak yang mengganggu ketenteraman hingga ke darah titisan terakhir," kata peniaga Ikhlas Ridzuan.

Bahkan, beliau yang berniaga di Kompleks Pertama sejak 36 tahun lalu, turut menempelak perhimpunan BERSIH dengan menyifatkannya sebagai 'busuk'.

"Nama sahaja BERSIH tapi busuk. Kami tidak akan terima lagi sampah yang ke-empat," katanya.

Beliau juga menggesa Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail supaya mengambil berat terhadap rintihan peniaga di kawasan perniagaan mereka itu - yang sering menjadi tempat demonstrasi - yang didakwanya "sudah terjejas teruk".

Beliau turut menggesa supaya "orang lain jangan kacau tempat" mereka untuk menjalankan perniagaan mereka.

Manakala seorang lagi peniaga di Kompleks Pertama Zainul Hanapiah Ahmad pula mendakwa sejak perhimpunan BERSIH yang pertama, peniaga di kawasan sekitar itu "tidak boleh menjalankan perniagaan" mereka.

Apatah lagi, katanya, ura-ura perhimpunan seumpama itu akan diadakan buat kali yang keempat.

"Kita bantah perhimpunan BERSIH 4 yang diadakan. Saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mengancam keselamatan," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Mohd Ridzuan Abdullah mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengambil tindakan terhadap pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga.

"Jangan tangkap ikan bilis sahaja... Peniaga takut nak keluar (untuk berniaga) dan menjejaskan perniagaan mereka," katanya sambil memberi amaran tidak akan mengundi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum jika perhimpunan ini diadakan.

Mohd Ridzuan juga berkata beliau tidak teragak-agak untuk "duduk" bersama-sama dengan peniaga sekitar Kuala Lumpur, di hadapan rumah Ambiga bagi menuntut pampasan di atas kerugian yang dialami dan membantah sekiranya BERSIH 4 diadakan.

Bercakap kepada media selepas perhimpunan tersebut , Mohd Ridzuan menjelaskan pihaknya akan berhimpun secara aman di rumah pemimpin BERSIH itu hanya untuk tujuan tersebut.

Bagaimanapun, pihaknya akan membatalkan hasrat tersebut sekiranya Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan terhadap Ambiga.

"Wujud pula nak buat BERSIH 4, kita minta peniaga bangkit menentangnya... Kami merayu kepada polis supaya mengambil tindakan kepada Ambiga.

"Jangan lari, kami kejar untuk dapatkan pampasan," katanya sambil merayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membantu peniaga di situ.

Dalam perkembangan berkaitan, IKHLAS membuka kaunter untuk mengumpulkan para peniaga yang didakwa terjejas akibat perhimpunan tersebut.

Setakat ini, pihaknya kini telah mengumpul kira-kira 200 peniaga dalam tempoh dua hari bermula semalam. Mereka akan berada di kompleks tersebut selama seminggu.

Mohd Ridzuan berkata selepas itu mereka akan mengkaji jumlah kerugian yang dialami oleh peniaga sebelum membuat laporan polis.

Menurutnya, pada BERSIH 2.0 mereka merekodkan sebanyak 317 peniaga telah membuat laporan polis. Jumlah kerugian yang dicatatkan adalah sebanyak lebih RM800,000.

Dalam perhimpunan yang diadakan, mereka turut merentangkan kain pemidang membantah BERSIH 3.0.


7 comments:

  1. bersih harus bertangungjawab kerugian yang dialami peniaga oleh mereka.

    ReplyDelete
  2. Lebih banyak kesan negatif perhimpunan Bersih ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tidak tahu sama ada perjuangan mereka berjaya atau tidak

      Delete
  3. Kerugian berlaku apabila Bersih diadakan. Maka kita harap pihak penganjur akan membayar ganti rugi atas kerugian yang dialami..

    ReplyDelete
  4. Bukan semua menyokong perjuangan Bersih. Menganggu business saja

    ReplyDelete
  5. Ambiga yang mendapat dana asing untuk menghuru harakan negara ini patut tidak mempunyai masalah untuk membayar ganti rugi itu..

    ReplyDelete
  6. Nik Aziz kata dia sanggup membiayai peserta2 perhimpunan jika tujuan mereka untuk menumbangkan kerajaan.. jadi bagaimana pula dengan peniaga2 yang mengalami kerugian?? kenapa Nik Aziz tidak keluarkan dana untuk membayar kerugian yang ditanggung oleh para peniaga??

    ReplyDelete