Saturday 26 May 2012

RUMAH RANAP AKIBAT ANGIN KENCANG


 


LAWAT....SHAIROL bersama Juraimin melawat keadaan rumah yang ranap dalam kejadian angin kencang di Kampung Unta, kelmarin.

LAHAD DATU: Sebuah rumah di Kampung Unta ranap dalam kejadian angin kencang yang berlaku di daerah ini, petang kelmarin.

Pemilik rumah berkenaan, Abdul Aziz Zani, 46, berkata dia bersyukur kerana belum berpindah masuk ke rumah terbabit yang baru siap dibina walaupun sudah mempunyai rancangan untuk berpindah.

“Rumah yang ranap ini baru sahaja siap dibina dan saya serta ahli keluarga sebenarnya telah merancang untuk berpindah masuk ke sini pada minggu depan. Kami sangat bersyukur kerana kejadian itu berlaku sebelum kami menduduki rumah ini,” katanya kepada Utusan Borneo, kelmarin.

Menceritakan kejadian itu, Abdul Aziz memberitahu, dia hanya mengetahui rumah itu ranap dalam kejadian angin kencang yang berlaku kira-kira jam 4 petang kelmarin apabila dimaklumkan oleh jiran berdekatan.

“Setelah dimaklumkan mengenai kejadian itu, saya yang ketika itu sedang bekerja di bandar terus bergegas pulang dan sebaik tiba mendapati rumah yang baru saja siap dibina itu telah ranap sama sekali,” katanya.

Selain rumah milik Abdul Aziz, sebuah lagi rumah di Kampung Wawasan ll, dekat sini turut musnah apabila atapnya diterbangkan oleh angin kencang.

Bagaimanapun tiada kemalangan atau kecederaan dalam kedua-dua kejadian itu.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Daerah Lahad Datu, Shairol Sari yang ditemui ketika melawat ke tempat kejadian itu berkata, kedua-dua mangsa kejadian angin kencang itu akan dibantu.

“Kita akan menyalurkan bantuan berupa bahan binaan kepada mereka bagi membolehkan kerja-kerja membaik pulih bahagian rumah yang rosak dan ranap dalam kejadian itu dapat dilaksanakan segera,” katanya.

Tambahnya, bantuan itu disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Daerah Lahad Datu menerusi sentuhan e-Kasih.

Turut bersama dalam lawatan itu ialah Penolong Pegawai Daerah Lahad Datu, Juraimin Haji Jadil. (Utusan Borneo)

6 comments:

  1. Mujurlah tiada yang tercedera.

    ReplyDelete
  2. Diharap bantuan diberikan dalam masa yang terdekat.

    ReplyDelete
  3. malang tidak berbau, tapi syukurlah tiada ada yang tercedera.

    ReplyDelete
  4. Mungkin juga pembinaannya tidak kukuh. rumah jiran tiada macam ni?

    ReplyDelete
  5. Bantuan kebajikkan perlu disumbangkan kepada mangsa yang terlibat dengan bencana ini.

    ReplyDelete
  6. nasib baiklah ada Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat yang perihatin terhadap masalah penduduk sekitar..

    ReplyDelete