Sunday 6 May 2012

UMNO PARTI TERBESAR DI MALAYSIA


 
 


KUALA LUMPUR : Berikut adalah transkrip wawancara eksklusif Umno-Online bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena ulang tahun ke-66 Umno:

MEDIAUMNO: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Datuk Seri. Tahniah kerana Umno akan menyambut ulang tahun yang ke-66 pada 11 Mei, usia 66 tahun yang menunjukkan kewibawaan, kematangan yang tidak pernah luntur untuk terus memperjuangkan agenda ke arah membina Malaysia yang sejahtera, aman, harmonis, maju dan makmur.

Sebagai Presiden Umno yang ketujuh pastinya banyak pengalaman pahit manis yang boleh dijadikan iktibar dan sempadan untuk Datuk Seri untuk terus memacu dan menakhodai Umno supaya terus kekal relevan sebagai sebuah parti dominan dalam BN, pembela rakyat dan inklusif menjadi pilihan seluruh rakyat Malaysia.

YAB Datuk Seri, Umno menyambut ulang tahunnya ketika seluruh negara memperkatakan tentang Pilihan Raya Umum ke-13, perayaan ulang tahun ini sangat signifikan kerana ia adalah yang terakhir sebelum Parlimen dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya diadakan.

Adakah parti daripada setiap peringkat sudah siap siaga berdepan dengan cabaran getir ini dan adakah YAB Datuk Seri melihat ruang penambahbaikan sudah diperbaiki?

DS NAJIB: Pada umumnya parti Umno dan rakan-rakan kita dalam Barisan Nasional sudah pun membuat persediaan yang diperlukan bagi menghadapi Pilihan Raya yang ke-13. Namun seperti biasa kita tahu bahawa masih ada ruang yang boleh dilakukan oleh parti kita terutama sekali di peringkat akar umbi dan ini termasuk juga peranan yang boleh dimainkan oleh kepimpinan peringkat bahagian, peti undi dan terus ke peringkat cawangan.

Salah satu daripada perkara yang saya tekankan ialah betapa pentingnya kita ini merupakan satu pasukan, satu keluarga yang bukan saja mantap tetapi kukuh dan padu dalam apa jua keadaan dan kita mesti melihat bahawa ancaman kita, pesaing kita adalah parti pembangkang dan bukanlah sesama kita.





Jadi dalam keadaan kita berhadapan dengan pilihan raya ini kita mestilah memastikan bahawa persengketaan antara kita atau persaingan antara kita dapat diketepikan dan kita menjurus kepada perhatian yang sepenuhnya kepada sebarang dan segala usaha yang kita boleh lakukan untuk memastikan bahawa jentera kita ini padu dan boleh bergerak, lancar dan penuh bersemangat untuk Umno dan Barisan Nasional.

MEDIAUMNO: Kita melihat Hari Umno diadakan ketika mesyuarat-mesyuarat cawangan sedang berlangsung. Sudah parti di peringkat akar umbi menterjemah dan menumpukan segala kudrat dan tenaga untuk memastikan jentera Umno bergerak sederap bagi memastikan Umno dan BN terus menjadi pilihan rakyat terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti?

DS NAJIB: Ya, jentera-jentera kita pun telah pun diberi kursus, diberi panduan dan telah pun dibuat perjumpaan dan hampir semua negeri lancarkan jentera pilihan raya tapi sebab kita ini merupakan parti yang besar, 3.3 juta ahli kita semua sekali.

Oleh itu kita mesti meletakkan dalam fikiran dan juga mind set anggota-anggota parti kita ini supaya menumpu kepada sebarang usaha yang boleh dilakukan setiap daripada kita. Tidak semestinya kita ini merupakan seorang pemimpin besar, atau pemimpin di peringkat bahagian tapi kita sebagai ahli biasa sekurang-kurangnya nilai undi kita, sebab ada kalanya ada juga ahli Umno yang tidak mengundi waktu pilihan raya, jadi kita mesti pastikan bahawa setiap daripada 3.3 juta ahli Umno ada peranan masing-masing.

MEDIAUMNO: YAB Presiden selalu menekankan pentingnya Umno melakukan transformasi untuk terus kekal relevan. Adakah transformasi politik dalam Umno sudah berlaku supaya parti benar-benar dilihat sebagai dominan dan menjadi pilihan utama rakyat?

DS NAJIB: Perjalanannya sudah pun bermula dan kita sudah pun melihat ada kesannya, antaranya kita telah pun meminda Perlembagaan parti supaya parti Umno lebih telus, lebih demokratik dan inklusif. Kita dah mula menghayati Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan di mana banyak program yang dilakukan oleh Umno adalah berteraskan kepada falsafah dan Gagasan tersebut.

Walau bagaimanapun, saya seorang yang bersikap realis bahawa melakukan transformasi secara menyeluruh mesti disertai dengan perubahan budaya dalam Umno dan untuk mengubah sikap manusia dan sistem nilai dalam parti kita ini tentu sekali memakan masa tetapi saya rasa bahawa pencapaian atau pun perjalanan ini sudahpun bermula dan ada sedikit sebanyak perubahan tapi kita perlu meneruskan lagi sebab untuk mentrasformasikan Umno adalah satu cabaran yang tentu sekali akan memakan masa.




MEDIAUMNO: Jadi tempoh 65 tahun masih belum mencukupi Umno ini terus transform kepada kepada parti dan rakyat?

DS NAJIB: Umno sebenarnya sudah berjaya sebab kalau kita lihat pada peringkat awal semangat untuk menentang Malayan Union, semangat untuk memerdekakan negara kita, masa itu tidak ada sesiapa persoalkan tentang kelemahan Umno ataupun permasalahan dalaman Umno sebab kita, perjuangan kita satu saja, kita nak bagaimanapun Umno mesti merupakan pelopor kepada kemerdekaan negara kita dan dalam tempoh masa kita berjuang untuk mengisi kemerdekaan, peringkat awal tahun 60-an, 70-an kita lihat perjuangan kita memang berpandu kepada satu matlamat saja tapi bila sistem nilai kita telah dicampuraduk dengan soal kepentingan untuk merebut jawatan dan sedikit sebanyak soal politik wang melanda parti kita kerana persaingan bertambah sengit dan kita sebagai sebuah parti telah berjaya membangunkan negara kita dan bererti orang yang berada dalam negara kita ini sudah bertambah.

Jadi matlamat kita sudah pun dicampuraduk dengan soal kepentingan diri dan sebagainya. Inilah yang mesti kita hindari bahawa sebagai sebuah parti yang telah lama wujud, terlalu besar nilai dan jasa kita, tapi pengundi hari ini tidak akan melihat kepada kegemilangan dalam sejarah, dari segi sejarah. Mereka nak tahu apa perjuangan kita masa kini dan akan datang, oleh itu kita tak boleh bersandar kepada nilai sejarah sahaja tapi kita mesti melihat Umno kepada konteks masa kini dan akan datang. Inilah yang saya nak tekankan supaya setiap pemimpin Umno mesti menghayati dan mencerminkan nilai-nilai kepimpinan yang disenangi oleh rakyat, dengan itu rakyat akan memberi sokongan yang padu kepada Umno dan Barisan Nasional.

MEDIAUMNO: Tadi Datuk Seri ada menyebut tentang perubahan budaya dan sistem nilai yang perlu ada dalam Umno, perubahan budaya untuk jangka masa ke arah Wawasan 2020 bagaimana yang Datuk Seri ingin terapkan dalam Umno itu sendiri?

DS NAJIB: Sistem budaya kita ini sebenarnya tak perlu lari daripada yang asal cuma kita akan tekankan perkara-perkara yang perlu dalam konteks masa kini dan akan datang, umpamanya nilai untuk meletakkan kepentingan parti mengatasi segala kepentingan, nilai kesetiaan pada parti, disiplin, kerja dalam satu pasukan dan sebagainya. Ini merupakan nilai-nilai sejati yang kita telah bina selama ini, dan perlu dikekalkan, perlu dipertahankan.

Dalam konteks hari ini nilai kita yang lama kita kekalkan, nilai yang baru yang meletakkan misalnya menguasai kemahiran dan keilmuan itu terutama sekali dalam konteks masa kini, kemahiran ICT umpamanya, kemahiran dalam menggunakan sosial media umpamanya, kemahiran untuk kita berkomunikasi umpamanya. Ini semua merupakan kemahiran yang perlu kita hayati, kita pelajari supaya peranan kita sebagai pemimpin berkesan pada setiap era.

Jadi kalau era dulu, kalau era mencapai kemerdekaan kita berkesan, era kita untuk mengisi kemerdekaan kita amat berkesan, era kita untuk membawa perubahan daripada sebuah negara pertanian kepada sebuah negara perindustrian kita berkesan jadi era kita dalam abad ke-21 ini, dalam konteks dunia tanpa sempadan, dalam konteks ledakan maklumat kita juga perlu memperlihatkan keberkesanan kepimpinan Umno.

MEDIAUMNO: Jadi adakah disebabkan era hari ini Datuk Seri menyebabkan roh dan semangat perjuangan itu telah mula pudar di kalangan ahli-ahli UMNO. Apa sebabnya Datuk Seri?

DS NAJIB: Ya, ada sedikit sebanyak sebab unsur bahawa kita ini sudah berjaya, unsur bahawa Umno ini sudah banyak jasanya jadi ramai orang yang mempunyai kemampuan ekonomi dan sebagainya. Mereka tidak melihat bahawa matlamat perjuangan itu besar lebih mengatasi segala-gala perhitungan yang lain. Jadi kalau ada sifat bahawa saya nak utamakan apa inspirasi saya sebagai individu lebih daripada parti, maka ini yang akan menimbulkan masalah dalam parti kita. Saya tak kata kita tak boleh ada cita-cita peribadi, tak boleh ada kepentingan diri tetapi mestilah tidak mengatasi apa yang penting dan lebih utama adalah parti kita, masa depan parti itu sendiri.

MEDIAUMNO: YAB menterjemahkan secara jelas idea-idea baru dan kreatif. Nampak keikhlasan dan kejujuran YAB Datuk Seri sebagai pemimpin menangani kemelut keresahan rakyat tetapi ada pandangan ia tidak diterjemah dan mendapat tindakan susulan yang agresif di peringkat kepimpinan di bawah, ada semacam kelompongan?

DS NAJIB : Ini akan makan masa sebab jurang antara apa yang kita luahkan sebagai pemimpin dalam bentuk dasar kita dan juga dalam bentuk panduan yang kita berikan terutama sekali agenda untuk negara kita dan unsur-unsur pembaharuan untuk mereka memahami dan menghayati itu akan memakan masa tetapi saya teruja sebab sokongan kepada apa yang kita nak lakukan seperti Gagasan 1Malaysia dan Rakyat Didahulukan, dan kita punya GTP, ETP, PTP semuanya ini disokong oleh Umno. Umno tak ada membantah atau tidak mempersoalkan.




Umno menyokong sepenuhnya tetapi untuk diterjemahkan dalam bentuk peranan masing-masing dan untuk menghujahkan bagaimana apa-apa yang kita nak buat dalam bentuk agenda baru untuk negara itu dapat dilakukan dengan kaedah yang begitu baik sehingga rakyat umumnya yang di luar parti kita dapat menerima bahawa Umno adalah merupakan tonggak kepada negara kita dan Umno adalah merupakan sebuah parti yang benar-benar, satu-satu parti yang boleh membawa negara kita ini ke arah mencapai Wawasan 2020.

MEDIAUMNO: Adakah YAB Datuk Seri cukup yakin bahawa rakyat menerima dengan baik segala yang dibuat sebagaimana Gagasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Bantuan Rakyat 1Malaysia ini mendapat respon yang baik daripada rakyat ataupun merupakan satu kesan yang tidak baik?

DS NAJIB: Saya percaya rakyat menerimanya dengan baik, dengan positif sebab apabila saya turun padang berada dalam program berjumpa dengan rakyat, berjumpa dalam tinjauan mesra, saya melihat bahawa suasana, mood hari ini lebih baik. Saya melihat bahawa sambutan yang diberikan kepada saya, kepada Timbalan Presiden, kepada pemimpin-pemimpin lain lebih positif tetapi kita juga harus sedar bahawa pembangkang begitu aktif, mereka akan menyerang, menyelar kita dan mereka akan cuba mengalih pandangan kita dengan mempertikaikan apa saja program yang kita buat dan menimbulkan isu-isu yang tidak sepatutnya dijadikan isu. Jadi dengan keadaan yang sedemikian kita kena melakukan apa yang patut untuk meyakinkan kepada rakyat bahawa sebarang unsur negatif dari segi persepsi yang cuba dilontarkan itu tidak akan diterima oleh rakyat.

MEDIAUMNO : Saya cukup tertarik apabila soal persepsi ini Datuk Seri. Persepsi palsu yang dibina oleh pembangkang yang berlawan dengan politik realis BN. Setiap kali BN mengutarakan program untuk rakyat akan dispin, akan ditukar supaya memberi public opinion yang silap. Macam mana peranan kita dalam Umno dan kerajaan sendiri untuk menangani persepsi?

DS NAJIB : Kita kena sedar bahawa perkara ini sedang dilakukan dengan begitu hebat oleh pembangkang. Mereka akan cuba putar apa-apa isu kita, mereka akan cuba buat spinning negative, malah pembohongan akan mereka lakukan untuk menghilangkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Umpamanya apabila kita buat BR1M yang begitu popular, maka mereka kata 'duit ini kita gunakan wang yang dipinjam dari luar negara', itu satu dakwaan yang tidak bertanggungjawab sama sekali. Sebab itu merupakan satu dakwaan palsu sama sekali.

Kejayaan kita melaksanakan BR1M adalah kerana kita berjaya menambahkan hasil negara sebanyak RM26 bilion dalam masa setahun saja yang merupakan pencapaian tertinggi oleh kerajaan tapi pencapaian itu tidak diberi kredit, tidak diberi penghargaan oleh mereka tetapi sebaliknya mereka menuduh kita membuat sesuatu yang berdasarkan kononnya kita ini kerajaan yang tak bertanggungjawab. Sebenarnya kita tidak begitu.

Merekalah yang menjanjikan sesuatu yang bersifat populis, begitu juga apabila ada apa-apa mereka cuba bangkitkan misalnya ada pemimpin tuduh kononnya saya ada mesyuarat dengan ketua-ketua angkatan tentera nak melakukan sesuatu di luar Perlembagaan seandainya Umno dan Barisan Nasional kalah. Itu merupakan satu fitnah yang amat dahsyat tapi mereka sanggup lakukan dakwaan seperti ini semata-mata kalau mereka tak dapat meyakinkan rakyat sekurang-kurangnya mengelirukan rakyat. Ini taktik yang digunakan oleh parti pembangkang.

MEDIAUMNO: Tapi sebenarnya Datuk Seri, mungkin rakyat keliru apabila pembangkang mengelirukan rakyat, membuat fitnah maka rakyat menjadi tidak ada satu tindakan tegas dan berani untuk memastikan perkara ini tidak berulang kerana ia berterusan dan berterusan.

DS NAJIB: Kita ambil tindakan dalam skop undang-undang yang sedia ada sebab dalam zaman sekarang ini kita tak boleh nak bertindak dengan tahan orang tanpa ada alasan yang kukuh dan malah menahan orang tanpa perbicaraan di mahkamah, itu tak boleh kita lakukan dalam zaman sekarang. Jadi apa-apa yang didakwa oleh mereka itu, kita kena cari bukti yang cukup dan kita kena sabit di mahkamah. Ini yang jadi kesulitan pada kita sebab kadang-kadang ia dilemparkan dalam online, apa ayat yang dia susun itu ialah dengan cara yang kadang-kadang sukar nak ambil tindakan. Walau bagaimanapun jika ada cukup bukti kerajaan akan ambil tindakan dan siasatan yang rapi perlu dilakukan terlebih dahulu.

MEDIAUMNO : Kurang daripada empat tahun pakatan pembangkang memerintah sudah banyak kesilapan dan banyak berlaku permasalahan. Tetapi masih ada rakyat yang terpedaya dan tidak ambil peduli langsung tentang landskap politik bahaya yang dimainkan oleh pembangkang kini. Apa nasihat YAB Datuk Seri kepada janji retorik palsu supaya rakyat tidak terpedaya dalam kita nak menghadapi PRU-13?

DS NAJIB: Ya, mereka dah janji begitu banyak untuk meraih sokongan dalam pilihan raya yang lalu. Saya pun dah katakan macam di Selangor, saya pun dah huraikan banyak perkara yang mereka janji dan apa yang mereka tak buat dan kita mesti ulang perkara-perkara ini sebab kalau kita sebut sekali dua, maka ia tak akan masuk dalam kepala orang ramai tapi kalau kita tekan dan ulang banyak kali maka rakyat akan sedar bahawa mereka telah ditipu dalam pilihan raya yang lalu dan mereka tak seharusnya ditipu lagi.

MEDIAUMNO : Mereka menggunakan fitnah, tipu helah, ancaman kepada kerajaan dan Umno sendiri, sepanjang mereka berkerajaan di beberapa buah negeri ini adakah Umno telah berjaya menangkis tipu helah pembangkang ini?

DS NAJIB: Saya lihat memang ada angin perubahan yang bertiup di negeri-negeri yang mereka kuasai, soalnya sama ada sudah pun sampai ke peringkat di mana rakyat bersedia menukar dan kembali kepada Barisan Nasional dan inilah yang mesti kita lipatgandakan usaha kita untuk kita menerangkan kepada rakyat bahawa mereka sebenarnya tak ada kemampuan untuk mentadbir negara dan negeri sepertimana yang mereka dakwa. Janji-janji yang telah mereka buat tidak ditepati. Ini yang mereka patut tekankan kepada rakyat supaya rakyat pada kesudahannya akan mengadili siapa yang benar atau sebaliknya.

MEDIAUMNO: Saya ingin berbalik kepada ulang tahun ke-66 Umno, adakah Datuk Seri melihat ini sebagai kekuatan parti untuk menghadapi PRU akan datang. Jika benar-benar Datuk Seri mengumumkan bahawa gendang perang dipalu maka kita benar-benar dapat majoriti besar dan menawan negeri-negeri yang kalah?

DS NAJIB: Inilah yang saya tekankan kita tak boleh ada sikap urusan seperti biasa, business as usual, kita mesti sedar lebih-lebih lagi di negeri yang kita dah kalah. Bahawa kita mesti buat sesuatu yang luar biasa dari segi strategi kita, kesungguhan kita, perancangan kita, dari segi program yang kita laksanakan dan juga peranan kita dalam sosial media online.

Semuanya itu, ialah menampakkan bahawa kita ini berada sebuah negeri yang kita kalah itu, negeri yang kalah dan ditawan pembangkang mesti buat sesuatu yang lebih daripada biasa. Jangan kita nak buat tahap sumbangan kita ataupun tahap yang kita buat itu mendatar atau biasa. Kalau kita nak menumbangkan kerajaan yang dikuasai oleh pembangkang di negeri-negeri tertentu, kita mesti berusaha lebih daripada biasa. Ini mesej saya. Kita mesti bersatu lebih daripada biasa, jadi barulah kita ada peluang yang baik.

MEDIAUMNO: Adakah Datuk Seri melihat kita telah melakukan kerja yang lebih daripada biasa dan bersatu lebih daripada biasa?

DS NAJIB: Kita dah berusaha dengan gigih tapi saya harap kena tambah lagi. Saya merupakan seorang manusia yang tak puas hati. Bukan bererti bahawa kita tak melakukan, dah melakukan, mungkin lebih daripada biasa tapi kita tak pernah berdepan dengan senario di mana kita tewas lima buah negeri, sekarang tinggal empat dalam tangan pembangkang. Jadi apa yang kita lakukan mesti lagi ditingkatkan lagi.

MEDIAUMNO: Untuk Hari Umno, bagaimana Datuk Seri melihat tema Hari Umno itu sendiri iaitu 'UMNO Pembela Rakyat'?

DS NAJIB : Sesuai dengan falsafah Gagasan Rakyat Didahulukan, maknanya kita nak ketengahkan dan kita ingatkan bahawa Umno adalah parti yang membela rakyat selama ini dan jasa kita terlalu besar. Ini yang kita nak tekankan dan terapkan dan di samping itu mengingatkan kepada ahli kita bahawa apa yang kita nak lakukan itu mesti kita konsisten, istiqamah supaya dengan kedudukan kita itu, rakyat akan lebih yakin kepada Umno dan Barisan Nasional.

MEDIAUMNO : 66 Tahun ulang tahun Umno, tak boleh nafikan hubungan Umno dengan parti-parti komponen, MCA, Gerakan dan lain-lain. Jadi bagaimana cara kita nak pastikan bahawa hubungan ini terjalin dengan ikhlas dan benar-benar jujur berbanding dengan hubungan antara parti-parti pembangkang?

DS NAJIB : Kita punya hubungan berdasarkan kepada falsafah dalam Barisan Nasional dan amalan dalam Barisan Nasional. Kita memang serasi dalam hubungan antara parti-parti komponen dalam Barisan Nasional. Kita ini merupakan satu pakatan yang berpaksi kepada realiti dan hakikat. Kita tidak bersandiwara kepada rakyat, salah satu daripada sandiwara yang besar yang dilakukan oleh pembangkang ialah bahawa sehingga ke hari ini walaupun empat tahun sudah berlalu tetapi mereka tak dapat lagi membentuk 'shadow cabinet' dalam pembangkang walaupun mereka uar-uarkan nak wujudkan two party system dalam negara kita tetapi mereka gagal untuk memaparkan kepada rakyat satu kabinet bayangan.

Jadi kalau dalam pembangkang lagi di peringkat nasional mereka gagal untuk berbuat demikian macam mana mereka nak ada keyakinan bahawa mereka boleh tawan Putrajaya dan mereka boleh mentadbir negara kita dengan jayanya. Soalnya bukan nak menang pilihan raya saja tapi soalnya nak mentadbir negara kita melakukan lebih baik untuk negara kita. Ini persoalan besar. Jadi kalau pengundi nak buat penilaian mereka harus sedar bahawa apa yang mereka patut hitungkan bukan siapa yang patut berada di Putrajaya tapi sebenarnya siapakah yang boleh membawa negarakita, memimpin negara kita dalam tempoh lima tahun akan datang yang akan membawa lebih banyak kebaikan kepada negara kita.

MEDIAUMNO : Hasil hubungan Umno dengan parti-parti komponen ini jelas membuktikan bahawa Umno ini bukanlah sebuah parti yang rasis dan memperjuangkan secara ekstren kehendak orang-orang Melayu.

DS NAJIB : Umno tak pernah ekstrem daripada dulu lagi, kita telah bersikap bertolak ansur dan inklusif dengan kaum-kaum lain. Sebab itulah kita telah berjaya dalam 12 pilihan raya. Walaupun kita mengalami apa yang disifatkan sebagai tsunami politik pada 2008 tapi kita akan mempelajari, menyedari akan kalau ada kesilapan kita mesti akuinya maknanya mesti muhasabah, yang mana ia telah kita lakukan dan kita mesti berani membuat perubahan dalam parti kita dan kerajaan telah pun membentangkan apa pembaharuan untuk rakyat dan sekarang ini kita masuk dalam peringkat di mana segala-gala pembaharuan yang kita telah dan sedang lakukan itu mestilah kita dapat meyakinkan rakyat. Maknanya kebolehan kita untuk berkomunikasi dengan berkesan kepada rakyat, supaya rakyat akan sedar bahawa agenda trasformasi nasional kita adalah yang terbaik untuk rakyat dan masa depan negara kita.

MEDIAUMNO : Datuk Seri sekarang ini sedang berlangsungnya larian Umno yang diadakan serentak di beberapa zon iaitu larian bendera Umno, jadi adakah Datuk Seri sendiri melihat ada gelombang iaitu rakyat kepada kembali kepada Umno dan menyokong kepimpinan BN?

DS NAJIB : Ya, memang saya lihat ada angin perubahan ke arah Umno dan Barisan Nasional termasuk di negeri-negeri yang kita kalah cuma saya harap bahawa momentum ini mesti kita perhebatkan lagi. Jadi jangan kita rasa kemenangan dalam tangan kita, tak boleh, dalam minda kita mesti ada selagi kita merasakan boleh selagi belum sampai kepada hari mengundi selagi itu saya ada yang boleh saya lakukan, masih ada banyak cara yang boleh saya lakukan dan saya mesti melihat daripada semua sudut, maknanya semua pemimpin Umno mesti bersikap sedemikian.

MEDIAUMNO: Datuk Seri, sambutan ulang tahun Umno kali ini dibuat secara besar-besaran dan dalam tempoh masa yang panjang, jadi adakah dengan sambutan ini bermakna tempoh pilihan raya sudah dekat atau ia adalah untuk mengingatkan perjuangan Umno itu sendiri Datuk Seri?

DS NAJIB : Saya melihat Hari Umno tarikh lahir, hari jadi Umno yang ke-66 ini satu ketika yang amat sesuai sebab kita dah lama tak buat satu perhimpunan secara raksasa maknanya timely, masanya sesuai untuk kita dan semua orang tahu bahawa pilihan raya tak lama lagi jadi eloklah kita paparkan kepada rakyat apakah jasa Umno selama ini, kekuatan kepada Umno itu mestilah kita perlihatkan dan kita mesti menunjukkan bahawa kita buat satu perhimpunan dalam keadaan yang aman dan kita menghormati undang-undang negara kita walaupun ribuan ahli Umno akan berhimpun tetapi ia tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada orang lain, kepada negara kita. Umno akan bersikap menjunjung prinsip undang-undang negara kita ini, keluhuran Perlembagaan dan undang-undang.

MEDIAUMNO : Kemuncak Hari Umno adalah perhimpunan besar-besaran di Stadium Nasional Bukit Jalil, jadi apa nasihat dan saranan YAB Datuk Seri kepada semua ahli-ahli Umno yang akan berkampung di Bukit Jalil?

DS NAJIB : Saya ingin mengingatkan kepada kita, kepada ahli-ahli Umno bahawa ini satu parti keramat orang Melayu, kita mesti ada rasa kebanggaan tentang Umno bahawa kita adalah menjadi ahli kepada keluarga sebuah parti yang terbesar dalam negara kita, jangan kita rasa terhina, jangan kita rasa tertekan bahawa segala-gala yang dikecapi oleh negara ini bahawa pada hakikatnya adalah jasa yang disumbangkan oleh Umno, oleh pemimpin-pemimpin Umno, besar dan kecil selama ini.

Kita mesti menganggap bahawa perhimpunan raksasa ini adalah perhimpunan ini adalah tanda kekuatan kita dan kita akan mara ke hadapan dengan satu barisan yang ampuh, dengan komitmen yang jitu dan insya-Allah berbekalkan semangat yang baru ini kita akan mencapai kemenangan yang besar dalam pilihan raya akan datang.

MEDIAUMNO: Terima kasih Datuk Seri dan tahniah sekali lagi. Semoga kita akan beroleh kemenangan yang besar dalam pilihan raya akan datang.

9 comments:

  1. It is important for the government and all its component parties to be united, so that they can move together towards the same goals.

    ReplyDelete
  2. Good luck to the BN government during the next General Elections.

    ReplyDelete
  3. UMNO mempunyai ahli yang amat ramai, ia mmg parti yang amat besar. semoga UMNO akan terus dalam perjuangannnya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Keahlian UMNO bukan hanya terdapat di Malaysia saja. memang tidak hairan ahlinya boleh mencapai 3.3 juta.

      Delete
  4. Kepimpinan di peringkat bahagian serta cawangan Umno perlu membuka pintu seluas-luasnya untuk golongan profesional cerdik pandai menyertai parti itu dan seterusnya diketengahkan sebagai calon pada pilihan raya umum.-Dr M

    ReplyDelete
  5. Terbesar itu bukannya pengukur segalanya. Yang penting sekali adalah usaha yang dibuat oleh BN itu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Penerimaan rakyat adalah penting untuk mengukur pencapaian kerajaan Umno. Oleh tu utamakan rakyat dalam soal negara

      Delete
  6. Mandat yang diberi oleh rakyat jangan disia-siakan. Pergunakan sebaik mungkin untuk membela nasib rakyat M'sia

    ReplyDelete
  7. umno adalah parti terbesar yang mana bila2 masa mereka boleh menurunkan jutaan penyokong2nya untuk melancarkan perhimpunan di negeri2 Pakatan untuk mendesak kerajaan negeri itu supaya tidak sewenang2nya menggunakan dana awam untuk membiayai kos guaman pemimpin2 mereka dan untuk membiayai peserta2 perhimpunan..

    ReplyDelete