Thursday 10 May 2012

VIDEO BUKTI KEKEJAMAN ISTERI








KASIH..... Kundi (terbaring) kini semakin sihat di sisi adiknya Siti Mariam (tiga kiri) dan ahli keluarga yang lain di wad lelaki Hospital Limbang semalam.

Oleh :  MASTURA ISMAIL

LIMBANG: Rahsia kekejaman seorang isteri terhadap suami sendiri akhirnya terbongkar apabila video yang memaparkan aksinya mendera mangsa dirampas pihak polis dalam serbuan di sebuah rumah di Tanjung Unggar pagi semalam.

Dalam serbuan sekitar jam 9 pagi semalam, lima anggota polis berjaya merampas telefon bimbit dan komputer riba dipercayai mengandungi bahan bukti penderaan oleh si isteri terhadap suaminya lebih setahun lalu.

Ketua Polis Daerah Limbang Pemangku Superintenden Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi Utusan Borneo semalam turut mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata video berkenaan itu dirakam menggunakan telefon bimbit dan komputer riba beberapa bulan lalu, dipercayai untuk simpanan peribadi si isteri dan anaknya.

“Kami berjaya menangkap suspek yang juga isteri mangsa dera, Kundi Lutan 64, bersama anak perempuannya Selasa lalu, jam 1.30 petang ketika suspek sedang mengambil anaknya di sebuah sekolah di kawasan Medamit.

“Hasil tangkapan itu berjaya membongkar perbuatan suspek yang dipercayai menyimpan dan merakam perbuatan mendera suaminya,” katanya.

Mohd Bukhori berkata video yang dirakam beberapa minit itu dipercayai dapat membantu pihaknya menyelesaikan kes yang mendapat liputan meluas di negeri ini.

Beliau menambah hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek cuba menafikan perbuatannya yang dipercayai mendera suaminya.

“Namun pengakuan suspek itu bertentangan dengan keterangan mangsa dan saksi serta penemuan video yang juga bahan bukti terbabit,” katanya.

Mohd Bukhori berkata suspek dan anaknya akan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Suspek juga akan direman selama empat hari bermula petang ini (semalam) untuk membantu kami menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Ahad lalu, akhbar ini mendedahkan mengenai perbuatan kejam seorang isteri yang sanggup bertindak kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana dipercayai tergamak mengurung, mendera dan menyeksa suaminya, Kundi Lutan lebih setahun lalu.

Perbuatan zalim itu akhirnya terbongkar selepas orang kampung dan ahli keluarga terdekat bertindak menghubungi pihak polis selepas tidak tahan menyaksikan penderitaan dihadapi mangsa.

Mangsa kemudiannya ditemui dalam keadaan menyayat hati dalam sebuah rumah dan berjaya diselamatkan seterusnya dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Sementara itu Kundi yang ditemui Utusan Borneo di wad lelaki Hospital Limbang  pagi semalam memberitahu, sukar baginya memaafkan perbuatan kejam isteri terhadapnya.

“Saya tidak mahu tinggal dengan bini (isteri) saya kerana tidak mahu lagi menjadi mangsa sepak terajang, sehingga dia tergamak memijak saya,” katanya.

Kundi berkata beliau akan tinggal bersama adik bongsunya di Brunei selepas dibenarkan keluar dari hospital nanti.

Mengulas lanjut, Kundi berkata terlalu banyak kekejaman yang dilakukan isterinya terhadapnya selama ini sehingga ia memberi kesan trauma mendalam kepadanya.

Kundi berkata sikap isterinya mulai berubah selepas dia (isteri) didakwa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain sejak tiga tahun lalu.

“Cukuplah… saya tidak mahu mengenang bini saya lagi, cuma saya kasihan dengan anak perempuan saya saja,” katanya sebak.

Adik bongsu Kundi, Siti Mariam Abdullah memberitahu Utusan Borneo bahawa proses untuk membuat pasport abangnya sudah dilakukan semalam.

“Saya dan suami bersedia untuk menjaga abang saya sampai bila-bila. Kami akan membawa abang tinggal di Brunei apabila urusan membuat pasport selesai nanti,” katanya.

Beliau berkata keadaan kesihatan abangnya kini semakin beransur pulih dan dia juga dapat bercakap.

“Cuma pergelangan tangannya masih bengkak selain kesan kecederaan lama akibat perbuatan isterinya sendiri.

“Biarlah saya yang menjaga abang saya, kerana beliau seorang abang yang penyayang dan banyak berkorban untuk membesarkan saya sewaktu masih kecil,” katanya sebak.

Kundi yang merupakan bekas kakitangan Jabatan Tanah dan Survei turut menerima kunjungan daripada Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang ketika berada di hospital baru-baru ini. (UB)

8 comments:

  1. Household violence is not only by the husbands to the wives, sometimes the roles can be reversed too.

    ReplyDelete
  2. Hopefully the wife will be approached by the authorities for acts of violence towards the household.

    ReplyDelete
  3. Jarang2 dengar kes seperti ini. Kenapalah mereka sanggup dera suami/bapa mereka sendiri. Mungkin mereka ni ada masalah mental.

    ReplyDelete
  4. kita harus sayangi ahli keluarga kita. jgnlah memperlakukan sebegitu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya kita harus menyayangi ahli keluarga kita

      Delete
  5. Kalau rasa terbeban dan tidak sanggup untuk jaga pun janganlah sampai didera.

    ReplyDelete
  6. Harap isteri mangsa akan diambil tindakkan undang-undang atas kekejaman yang berlaku.

    ReplyDelete
  7. yang penting, beliau sekarang selamat berada dibawah jagaan adik sendiri.. biarlah si isteri yang kejam itu meringkuk dalam penjara.. biar dia rasa macam mana siksanya di kurung..

    ReplyDelete