Monday 18 June 2012

ASAP BASI ANCAM RAKYAT MALAYSIA




Oleh : ALI IMRAN MOHD NOORDIN

KUALA LUMPUR :  Amin dan keluarganya baru saja menjamah roti canai di sebuah restoran bila sekumpulan anak muda masuk dan memilih duduk di meja berhampiran.

Beberapa minit kemudian, seorang demi seorang mula merokok sambil bersembang. Berkepul-kepul asap di udara, tiupan angin membawa asap itu ke meja Amin.

Isteri Amin menutup hidung, anak-anak kecilnya termasuk bayi berusia 5 bulan pula terbatuk-batuk, menahan bau asap yang tidak menyenangkan itu.

Amin tahu risiko asap itu kepada dirinya dan keluarga. Beliau sendiri memilih untuk menjauhi tabiat merokok.

Terperangkap dalam situasi itu, Amin serba salah, sama ada untuk berpindahh meja atau menegur kumpulan perokok itu kerana sedar tentang impak menjadi perokok asap basi, yang turut dikenali sebagai perokok pasif.

Amin memilih keluar dari restoran berkenaan sebaik isteri dan anak-anaknya selesai makan.

Situasi begini berlaku dalam masyarakat setiap hari. Golongan tidak merokok sering menjadi pihak yang terpaksa mengalah dengan situasi, kepada si perokok.

Adakah benar keadaan sepatutnya berlaku sebegitu, atau sememangnya perokok mempunyai hak untuk mengisi ruang udara dengan agen pembunuh?

Konflik Tiada Kesudahan

Mencari titik toleransi antara gaya hidup perokok dan bukan perokok bukanlah isu baharu.

Selalunya ia berakhir dengan tindakan menjauhkan diri daripada situasi yang tidak disenangi, kerap kali diikuti dengan menyatakan perasaan marah atau tidak puas hati kepada pihak ketiga sebagai pendengar setia.

Bekas perokok tegar yang hanya mahu dikenali sebagai Michael, 32, berkata beliau faham perasaan perokok yang merasakan menjadi hak mereka untuk merokok di tempat yang dibenarkan walaupun ia menimbulkan perasaan tidak senang orang lain.

"Kami (perokok) juga mempunyai keperluan untuk dipenuhi. Jika kami mahu merokok dan ada yang tidak suka, itu bukanlah masalah kami," katanya merujuk kepada prinsipnya sewaktu masih merokok.

Mungkin bagi sesetengah pihak, kenyataan Michael agak keterlaluan, tetapi bila difikir sedalam-dalamnya, mungkin itulah yang dirasai oleh perokok.

Kerap kali mereka merasa terhina bila ada yang menutup hidung ketika mereka menyalakan rokok.

Tidak cukup dengan protes menutup hidung, perokok sering kali diberikan gelaran seperti 'naga', 'orang terlebih duit', dan 'ubat nyamuk'.

Kesudahannya,'yang menang jadi arang dan yang kalah jadi abu' kerana si perokok dan yang tidak merokok menghadapi risiko serupa daripada asap rokok.

Asap Basi

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan, kira-kira 600,000 orang mati akibat kesan menghidu asap basi setiap tahun.

WHO melaporkan setiap batang rokok mengandungi 4,000 jenis bahan kimia yang 250 daripadanya disahkan memberi kesan buruk kepada kesihatan atau penyumbang kepada penyakit kanser.

Pertubuhan itu turut menyatakan bahawa asap rokok basi adalah segala jenis asap yang memenuhi satu kawasan seperti restoran, pejabat atau tempat-tempat tertutup hasil pembakaran rokok, rokok daun dan shisha.

Malah Artikel 8, Konvensyen Rangka Kerja mengenai Pengawalan Tembakau WHO menekankan bahawa setiap pihak, tanpa sebarang pengecualian yang terdedah kepada asap ini, terdedah kepada bahaya.

Konvensyen ini adalah usaha WHO untuk membantu negara-negara seluruh dunia melaksanakan usaha melindungi masyarakat daripada kesan asap rokok basi.

Kesan Kesihatan

Asap basi memberi kesan yang berbeza kepada mangsanya berdasarkan keadaan setiap individu. Untuk orang dewasa, ia boleh menyebabkan kesan serius ke atas sistem pernafasan dan kardiovaskular termasuk serangan jantung dan kanser paru-paru.

Untuk kanak-kanak, mereka boleh mengalami kematian mengejut dan bagi wanita mengandung, ia menyebabkan berat kelahiran yang rendah.

Dianggarkan 40 peratus kanak-kanak seluruh dunia terdedah kepada kesan asap basi di rumah dan 31 peratus daripada kematian terkait kesan asap basi terdiri daripada golongan ini.

Perokok asap basi turut menggalakkan pertambahan perokok daripada kalangan remaja dan belia. Individu yang terdedah kepada budaya merokok di rumah oleh ibu bapa dan keluarga adalah satu setengah kali ganda lebih berisiko untuk turut merokok berbanding mereka yang tidak terdedah kepada budaya ini.

Membantu Atau Merosakkan Ekonomi?

Walaupun sesetengah perokok mendabik dada menyatakan mereka adalah penyumbang kepada pembangunan ekonomi dengan membeli rokok, WHO sebaliknya menyatakan mereka adalah perosak kepada pembangunan ekonomi.

Ini kerana perokok dan perokok asap basi bakal mengeluarkan perbelanjaan kesihatan yang tinggi untuk merawat penyakit akibat rokok.

Ia juga mengurangkan tahap produktiviti serta boleh mengakibatkan seseorang individu dan keluarganya kehilangan sumber pendapatan akibat penyakit atau kematian.

Yang paling mengejutkan ialah, laporan ini turut menyatakan bahawa pengasingan atau sistem pengudaraan terpisah tidak mampu melindungi golongan tidak merokok daripada kesan asap basi. Perlindungan efektif hanya dapat diberikan jika suasana bebas rokok 100 peratus diwujudkan.

Sehingga 2008, hanya 362 juta populasi dunia dilindungi peraturan larangan merokok. Daripada 100 bandar berpenduduk padat di seluruh dunia, hanya 22 daripadanya dikategorikan bebas rokok.

Usaha Di Malaysia

Malaysia tidak ketinggalan dalam usaha melindungi masyarakat daripada bahana yang merugikan ini.

Sehingga 1 Jun 2010, kerajaan mewartakan 21 kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004. Sesiapa yang melanggar peraturan ini boleh didenda sehingga RM 10,000 atau dipenjara sehingga dua tahun.

Pemilik premis yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang mudah dilihat serta gagal memastikan peraturan ini dipatuhi, juga boleh berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM 5,000, atau dipenjarakan tidak lebih setahun.

Di bawah peraturan 2004, Kementerian Kesihatan mengeluarkan 701 kompaun bernilai lebih RM 166,000 kepada individu dan organisasi atas pelbagai kesalahan pada 2001.

Selain itu, 56 pemilik premis diberikan amaran bertulis kerana gagal mematuhi peraturan ini.

Usaha giat kementerian itu juga menyaksikan peningkatan jumlah kompaun yang dikeluarkan dan setakat April 2012, ia mengeluarkan 905 notis kompaun dengan nilai RM226,250.

Operasi penguatkuasaan larangan merokok dilaksanakan di kawasan strategik yang melibatkan kepentingan orang ramai seperti kompleks membeli-belah, premis kerajaan, tempat kerja dengan sistem pendingin hawa berpusat serta di dalam dan hentian pengangkutan awam.

Di negara seperti India, orang ramai boleh membuat aduan tentang perkara ini melalui talian bebas tol khas yang disediakan Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Keluarga.

Negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat turut mengambil langkah serupa dalam menjayakan inisiatif ini.

Mungkin sudah sampai masanya rakyat Malaysia turut diberikan alternatif sama untuk membantu kerajaan demi kepentingan kesihatan semua. (Bernama)

No comments:

Post a Comment