Wednesday 20 June 2012

BEKAS PENGURUS MIMOS BERHAD DIDAKWA RASUAH




KUALA LUMPUR :  Bekas Pengurus Besar Kewangan MIMOS Berhad Khairuddin Khalid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap empat pertuduhan memperoleh rasuah hampir RM1 juta, kira-kira 10 tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama Khairuddin, 52, didakwa memperoleh rasuah melalui cek Maybank Berhad bernilai RM91,665 daripada seorang ahli perniagaan Muhamad Khalid Ismail sebagai upah Khairuddin membuat pelaburan dalam dana MIMOS Berhad berjumlah RM5.5 juta dengan Corporate Eight Asset Management Sdn Bhd.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memperoleh rasuah untuk dirinya melalui cek bank itu bernilai RM150,000 daripada Muhamad Khalid, di mana RM125,000 daripada jumlah itu ialah sebagai upah tertuduh melaburkan dana pelaburan MIMOS berjumlah RM5.5 juta dengan Corporate Eight Asset Management Sdn Bhd.

Bagi pertuduhan ketiga, Khairuddin didakwa melakukan kesalahan yang sama melalui cek bank itu bernilai RM295,750 daripada individu yang sama, di mana RM202,000 daripada jumlah itu sebagai upah untuk dirinya bagi tujuan yang sama.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa melakukan kesalahan yang sama melalui cek yang sama bernilai RM447,833 daripada Muhamad Khalid, di mana RM83,337.37 daripada jumlah itu sebagai upah untuk dirinya bagi tujuan yang sama.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Corporate Eight Asset Management Sdn Bhd yang beralamat Suite 17.3-17.4A, Tingkat 17, Menara Weld, 76, Jalan Raja Chulan antara 23 Mei 2001 hingga 8 Feb 2002.

Khairuddin, yang kini bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat swasta, didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Hakim K.M Nithiyananthan membenarkan Khairuddin diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Jun depan untuk sebutan semula. Mahkamah juga memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria manakala tertuduh diwakili Mohd Shahrullah Khan. (Bernama)

8 comments:

  1. kes ini kena disiasat dgn baik jika bersalah, takkan dpt lari dari undang2.

    ReplyDelete
  2. wah!banyaknya kes rasuah. makin kaya, makin tamak pula.

    ReplyDelete
    Replies
    1. sekali rasuah yang membabitkan income banyak, lain kali pasti akan buat lagi.

      Delete
  3. Kesalahan yang sudah lama dilakukan tapi sekarang baru terdedah??

    ReplyDelete
  4. Tidak ada orang yang akan lari jika melakukan rasuah.

    ReplyDelete
  5. kalau betul mahu membanteras rasuah, bagi mana2 pesalah yang telah dibuktikan bersalah, tidak perlu diringankan hukuman atau buat pilihan hukuman.. bagi saja 20 tahun penjara dan 5 kali ganda nilai suapan..

    ReplyDelete