Wednesday 20 June 2012

DBKL TUNTUT RM351,000 DARIPADA BERSIH 3.0




Oleh : KUEK SER KUANG KENG

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menuntut penganjur perhimpunan BERSIH 3.0 supaya membayar lebih RM351,000 yang kerosakan harta awam dan kos yang ditanggungnya ekoran perhimpunan 28 April.

Jumlah paling besar dalam tuntutan tersebut ialah bayaran untuk elaun lebih masa kakitangan jabatan penguatkuasanya yang bertugas iaitu sebanyak RM174,240.

Selain itu, DBKL juga menuntut RM50,000 untuk kos makan minum dan pengangkutan kakitangan jabatan penguatkuasa tersebut, selain RM26,000 untuk kos pengangkutan kakitangan jabatan kejuruteraannya.

Ketua pengarah DBKL Datuk Salleh Yusup membuat tuntutan tersebut kepada pengerusi bersama BERSIH, Datuk S Ambiga dan seorang anggota jawatankuasa gabungan NGO tersebut, Maria Chin Abdullah.

Selain tuntutan berjumlah RM351,203.45 itu, DBKL dalam surat tuntutan bertarikh 18 Jun itu juga menuntut supaya BERSIH membayar kos tuntutan RM100, dalam tempoh 14 hari.

Salleh berkata, BERSIH dihalang daripada membuat perhimpunan tersebut oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur dan PDRM melalui perintah mahkamah bertarikh 26 April.

"Datuk Bandar tidak membenarkan Dataran Merdeka digunakan bagi perhimpunan BERSIH 3.0 keraa aktiviti yang dicadangkan tidak bersesuaian dengan penggunaan Dataran Merdeka yang merupakan suatu tempat bersejarah dan tumpuan pelancong.

"Tetapi pihak Datuk dan puan terus menganjurkan perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April yang menjadi tidak terkawal dan mengakibatkan kacau bilau di Kuala Lumpur dan kerosakan harta benda awam," kata Salleh dalam suratnya.

Dalam tuntutan tersebut, Salleh berkata kos kerosakan itu dari RM5,900 – untuk papan tanda dan pengadang, sehinggalah RM57,850 untuk kerosakan lanskap DBKL.

Dalam satu kenyataan segera, Ambiga dan Maria menyifatkan tuntutan tersebut sebagai satu gangguan yang menjadikan mereka sebagai sasaran. (MKINI)

No comments:

Post a Comment