Sunday 17 June 2012

JANGAN PILIH JALAN SINGKAT DENGAN DADAH





TERIMA KASIH…Jurufoto Sabahkini.Net Saffies S Jumadi menerima Sijil Penghargaan daripada Biro Wanita PEMADAM.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

TIMBALAN Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong memuji langkah dan inisiatif yang dijalankan oleh pihak Jawatankuasa Biro Hal Ehwal Wanita PEMADAM Daerah Sandakan yang berjaya menganjurkan Seminar Dadah Musnahkan Akal dan Iman yang memberikan pendedahan tentang penyalahgunaan najis dadah di kalangan remaja dan belia yang semakin menular.

Kerajaan melalui agensinya iaitu Agensi Anti Dadah Kebangsaaan (AADK) kata V.K.Liew telah memainkan peranannya untuk membendung dan membanteras di samping mencegah golongan belia dari terjebak daripada mengambil dadah yang amat berbahaya ini, kerana dadah adalah musuh utama Negara.

Beliau berkata demikian di majlis Perasmian Program Seminar Dadah Musnahkan Akal dan Iman 2012 anjuran Biro Hal Ehwal Wanita PEMADAM Daerah Sandakan yang dilangsungkan di Grandstand Padang Sandakan kelmarin. Teks ucapannya disampaikan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Sandakan, Charlie Pang yang mewakili Liew.

Kerajaan kata Liew berusaha keras untuk memulihkan masyarakat yang sudah terjebak dengan najis dadah sehingga banyak perbelanjaan telah digunakan melalui pembinaan beberapa pusat pemulihan akhlak, khususnya Pusat Serenti dengan tujuan untuk memulihkan mereka agar sihat semula seperti sedia kala.

V.K.Liew menambah, terdapat beberapa faktor yang menjadi punca terjebaknya mereka dengan aktiviti-aktiviti songsang ini; terutama pengaruh rakan sebaya, kecewa dan semangat putus asa sehingga memilih jalan singkat dengan mengambil dadah di samping kurangnya didikan agama.



KENANGAN….Barisan AJK Biro Wanita PEMADAM bergambar dengan Charlie Pang Ket dan Dri Zaiton Yahya

"Saya ingin menyentuh sedikit di sini, ada kalanya mereka yang sudah keluar daripada pusat-pusat pemulihan kembali semula mengambil dadah kerana kecewa disebabkan masyarakat tidak menerima mereka,” tegas Liew.

Walaupun pada hakikatnya jelas Liew, mereka sudah bertaubat tetapi masyarakat masih menganggap mereka itu adalah sampah masyarakat dan jijik kepada mereka sehingga menjadi faktor utama kenapa mereka kembali semula menagih dadah.

"Sebagai manusia, kita serupa saja dengan mereka. Cuma perbezaannya dari segi akhlak. Lagipun mereka sudah menjalani hukuman yang setimpal semasa mereka tinggal di pusat-pusat pemulihan akhlak dalam tiga dan empat tahun lalu. Mereka sudah diberikan bimbingan dan didikan agama yang secukupnya supaya mereka dapat memulakan penghidupan baru seperti biasa," ujar V.K.Liew yang merayu agar masyarakat tidak terus menerus menghukum mereka.

Dalam pada itu ibubapa juga dinasihatkan agar sentiasa menjaga dan mengawasi pergerakan anak-anak mereka dan pastikan hala tuju; di samping mengawal kebebasan pergaulan agar tidak terjerumus dengan aktiviti songsang.

Seminar yang diadakan sehari itu telah dihadiri lebih 100 orang yang terdiri daripada golongan belia yang datangnnya dari pelbagai kampung.

Dalam pada itu, Noraini Sulong yang mewakili Biro Hal Ehwal Wanita PEMADAM Daerah Sandakan telah menyampaikan Sijil penghargaan kepada wartawan daripada pelbagai media termasuk Sabahkini.Net kerana banyak membantu PEMADAM membuat publisiti mengenai apa jua aktiviti-aktiviti yang mereka jalankan.

7 comments:

  1. jauhilah dadah, ia membawa padah.

    ReplyDelete
  2. Dadah bukannya penyelesai segalanya. Dadah cuma memberikan kesan yang buruk pada mereka yang mengambilnya.

    ReplyDelete
  3. Dadah bikin rosak masyarakat kita saja!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jangan merosakan diri sendiri hanya kerana keseronokan

      Delete
  4. Jadi pihak tertentu perlu memberikan kesedaran kepada masyarakat akan keburukkan yang dihadapi bila mengambil dadah.

    ReplyDelete
  5. banyakkan seminar atau kempen2 kesedaran di sekolah2 atau IPT..

    ReplyDelete