Sunday 10 June 2012

KEMPEN ANTI KUTU SAMPAH BEAUFORT


SIJIL.......Azizah menyampaikan sijil kepada salah seorang Duta KAKS pada majlis  pelancaran KAKS Daerah Beaufort.


Oleh : ABDUL BAKAR ESAH

BEAUFORT: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun menyeru semua lapisan masyarakat menerapkan nilai-nilai cintakan kebersihan dan keindahan alam sekitar kerana ia merupakan amalan yang murni.

“Nilai-nilai cintakan kebersihan dan keindahan alam sekitar perlu dipupuk oleh segenap lapisan masyarakat. Anggaplah memelihara kebersihan dan memulihara persekitaran ini juga satu ibadat. Justeru kita tidak akan berkira sangat jika mengamalkan kebaikan sebagai ibadat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Anti Kutu Sampah Peringkat Daerah Beaufort.

Hadir sama Pegawai Daerah Beaufort, Wong Foo Tin; Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Dun Klias, Saidin Museh; PKR Dun Lumadan, Ahmad Momin dan PKR Dun Membakut.

Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias berkata, walaupun dunia kini semakin moden namun mentaliti masyarakat kita masih ketinggalan kerana masih ada yang sanggup membuang sampah di merata-rata; membuang sampah dari tingkap kereta, membuang pembungkus gula-gula, tin minuman, puntung rokok, meninggalkan bekas-bekas makanan dan sebagainya.

“Orang seperti inilah yang kita panggil ‘Kutu Sampah’ yang sewenang-wenangnya membuang sampah di kawasan awam selain terus ke tong sampah,” katanya

Beliau berkata, tujuan kempen itu agar masyarakat perihatin sebagai mata-mata terhadap tindakan Kutu Sampah dan boleh menasihati serta memberi teguran, dan jika keadaan tidak terkawal boleh juga terus melaporkan untuk tindakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Sesiapa sahaja boleh bertindak menjadi pemantau Kutu Sampah ini. Niat kita bukanlah mendera mereka dengan denda tetapi untuk memberi kesedaran agar mereka mengetahui tanggungjawab menjaga kebersihan secara bersama. Apabila masyarakat tahu membuang sampah merata-rata tempat itu satu kesalahan, maka itu mendorong mereka berdisiplin untuk tidak terus melakukannya,” katanya sambil mengajak semua pihak mempergiatkan kempen itu.

“Kini kita dalam usaha menjadikan Pekan Beaufort sebagai Pekan Tanpa Sampah. Kita perlu mempergiatkan kempen kita agar boleh menjadikan pekan ini sifar sampah. Untuk merealisasikan hasrat ini bukanlah terpikul oleh tanggungjawab PBT semata-mata, tetapi memerlukan kerjasama seluruh masyarakat Beaufort untuk memastikan kebersihan awam.

 


IKRAR....Duta Kempen Anti Kutu Sampah (KAKS) Daerah Beaufort membaca ikrar.


Bersempena dengan kempen ini, katanya, PBT akan mewujudkan premis-premis atau zon-zon tanpa sampah seperti, Sekolah tanpa Sampah, Pejabat tanpa Sampah, tapak Jaja tanpa Sampah, Tamu Tanpa Sampah, Kampung Tanpa Sampah dan berbagai lagi.

“Lebih banyak zon tanpa sampah dan lebih giat kita mengusahakan kempen kesedaran ini maka tidak mustahil kita boleh mencapai pengiktirafan sebagai Pekan Tanpa  Sampah. Jika kita mampu mencapai pengiktirafan itu maka kita sebagai orang Beaufort juga yang boleh turut berbangga.

“Justeru itu saya mahu melihat perubahan sikap masyarakat Beaufort untuk lebih peka dan bertanggungjawab terhadap kawasan ini. Semoga hasrat kita mentransformasikan kawasan ini menjadi Pekan Beaufort Tanpa Sampah akan terlaksana."

6 comments:

  1. Cleanliness is our responsibility. Those who refuses should get penalty.

    ReplyDelete
  2. Utamakan kebersihan dan janganlah kita membuang sampah sesuka hati.

    ReplyDelete
  3. Jom ramai-ramai kita memupuk sikap menjadi pembersih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. kita sebagai masyakarat seharusnya perihatin terhadap isu2 alam sekitar ini.
      Alam sekitar seharusnya djaga dengan baik terutamanya flora dan fauna kerana
      dengan adanya flora dan fauna ini dapat melindungi bumi kita dan kita sendiri
      dari kepanasan global yang semakin hari semalin meningkat...jangan hanya kerana
      kpentingan diri sendiri,kita abaikan penjagaan alam sekitar...dsebabkan semua
      khidupan jga memerlukan floradan fauna termsuk negara kita juga

      Delete
  4. DBKK will be spending RM1 million this year to plant 1,000 shaded trees and 25,000 shrubs

    ReplyDelete
  5. harap2 adalah perubahan terhadap pekan beaufort lepas ni sekaligus menjadi ikutan kepada daerah2 lain di Sabah..

    ReplyDelete