Saturday 16 June 2012

KRAFTANGAN UBAH LANDSKAP EKONOMI



TERSERGAM...Bangunan Pusat Kraftangan Sabah di Keningau yang menelen kos lebih RM30 Juta dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Panglima Mohd.Najib Tun Abdul Razak hari ini.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID
                       
KENINGAU: Pembinaan Pusat Kraftangan Sabah yang terletak di daerah ini diyakini mampu merubah landskap taraf  siso ekonomi masyarakat luar bandar terutamanya di kawasan Pedalaman.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Tenom, Jamawi Jaafar berkata, inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan negeri melalui  Kumpulan Yayasan Sabah ini diyakini  boleh mencapai hala tuju pembangunannya disasarkan kepada industri pelancongan sebagai satu sumber yang boleh menjana pembangunan ekonomi negeri.

Pusat yang menelan kos sekitar RM 30 juta itu kini siap sepenuhnya dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Panglima Mohd.Najib Tun Abdul Razak pada hari ini (Sabtu).

Sambil mengalu-alukan kehadiran Najib untuk merasmikan pusat tersebut serta merakamkan penghargaan atas kesediaan beliau melakukan upacara perasmiannya, Jamawi berkata,pemilihan daerah Keningau sebagai lokasi pembinaan bangunan Pusat Kraftangan Sabah amat sesuai berdasarkan aktiviti yang melibatkan produk kraf banyak terdapat di daerah itu; di samping sumber bahan mentah yang digunakan dalam pembuatan produk juga banyak terdapat di sekitar dan daerah-daerah berdekatannya.

"Kraftangan merupakan sebahagian daripada budaya kehidupan masyarakat pelbagai kaum khususnya di kawasan Pedalaman

"Dari segi rangkuman dengan Pusat Kebudayaan Murut Sabah di Tenom usaha menjana sektor pelancongan di Pedalaman akan bergerak seiring dan akan mendorong pelancong dari dalam dan  luar negeri  untuk berkunjung ke daerah Pedalaman; sekali gus boleh meningkatkan  taraf sosio ekonomi rakyat melalui produk budaya termasuklah kraftangannya," jelas  Jamawi, ketika ditemui di sini dan diminta mengulas  pembinaan Pusat Kraftangan Sabah yang dirasmikan hari ini.

Menurut  Jamawi yang juga Pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, hasrat kerajaan Negeri dan Persekutuan  dalam menjana proses tranformasi telah direalisasikan oleh Kumpulan Yayasan Sabah melalui pelaksanaan pelbagai program termasuklah pembangunan Sosio Budaya dan Pembangunan Sosio Ekonomi bagi kepentingan penduduk  di negeri ini.

Sementara itu bagi Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Keningau, Azman Haji Roslan berpendapat pembinaan Pusat Kraftangan  Sabah di daerah itu turut membuka ruang dan peluang kepada rakyat khususnya golongan belia untuk meneroka dan mempelajari ilmu serta kemahiran dalam penghasilan kraftangan.

Katanya, Idea  Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah yang telah mencetuskan idea untuk membina satu pusat kraftangan di negeri ini sebagai menyokong dan membangunkan industri kraftangan ke peringkat global; bertepatan dengan halatuju kerajaan negeri yang menjadikan sektor pelancongan sebagai salah satu sektor yang mampu menjana ekonomi rakyat dan negeri.

Menurut Azman dengan pelbagai kemudahan di Pusat Kraftangan Sabah, seperti  program latihan percuma, mesin dan peralatan memproses bahan mentah, ruang latihan yang besar lengkap dengan pelbagai kemudahan, jurulatih yang berkelayakan dan berpengalaman, mampu melahirkan pelajar mahir dalam bidang kraftangan

"Dengan melahirkan tenaga mahir dalam industri kraftangan dan  pengusaha produk kraf yang mahir dan berilmu, peluang pekerjaan sentiasa terbuka luas kepada mereka dan ini sekali gus boleh mengurangkan kadar pengangguran di kalangan belia," katanya.

Tambah Azman, Kesungguhan Kerajaan Negeri dan Pusat khususnya Kumpulan Yayasan Sabah untuk memastikan industri kraf terus unggul, berkembang maju, berdaya saing dan mempunyai mutu komersil telah diterjemahkan menerusi peruntukan yang besar bagi membina pusat tersebut.

Sehubungan dengan itu kata Azman rakyat khususnya golongan muda khususnya di daerah ini perlu merebut peluang  dan ruang yang disediakan untuk menimba ilmu pengetahuan dalam bidang kraftangan seterusnya menjadi pengusaha kraf, ini kerana ia bukan sahaja meneruskan kesinambungan budaya generasi terdahulu malah dilihat sebagai penggerak sosio ekonomi rakyat .


4 comments:

  1. Ada program latihan percuma. ambil peluang ni sebaiknya.

    ReplyDelete
  2. This is a good initiative to continue the heritage of handicrafts.

    ReplyDelete
  3. Semoga dengan adanya bangunan kraftangan Sabah ini akan mampu memberikan yang terbaik kepada kraftangan di Keningau ini.

    ReplyDelete
  4. dengan terbinanya bangunan pusat kraftangan Sabah ini, tidak ada lagi alasan untuk mana2 seni budaya keraftangan Sabah pupus di telan zaman..

    ReplyDelete