Monday 18 June 2012

NAJIB SUKA MAKANAN KAMPUNG!




PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rombongan yang melakukan tinjauan mesra rakyat di Tamu Ground dekat Keningau dijamu dengan 'makanan kampung' ketika bersarapan di tapak tamu berkenaan.

Najib, yang diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan beberapa pemimpin masyarakat dijamu dengan ubi keledek, jagung rebus dan kacang tanah rebus, yang kebanyakannya ditanam atau dihasilkan sendiri oleh petani di Keningau.

Sambil Najib menjamah makanan kampung dan melayan pemimpin masyarakat setempat yang duduk bersebelahan dengannya, orang ramai yang berkunjung ke tamu (pasar minggu) itu tidak melepaskan peluang merakam gambar pemimpin yang cuma biasa mereka lihat melalui kaca televisyen.       

Bagaimanapun, sebelum bersarapan, dan sejurus tiba di Tamu Ground, kira-kira 8.30 pagi, Najib berjalan menemui peniaga dan pengunjung tamu berkenaan dan orang ramai yang menyedari kehadirannya terus berbaris untuk bersalaman dengan pemimpin nombor satu negara itu.

"Saya berada di pasar tamu ini sejak jam 6 pagi tadi. Kelmarin, saya tidak dapat bersalaman dengan Perdana Menteri semasa dia merasmikan Pusat Kraftangan Sabah kerana terlalu ramai orang. Hari ini saya amat gembira kerana dapat bersalaman dengan beliau," kata Piah Amil,50.

Piah, seorang petani yang berasal dari Kampung Koritan, yang terletak antara Tenom dan Keningau, memuji Najib kerana meluangkan masa bersama rakyat termasuk golongan petani sepertinya meskipun amat sibuk dengan tugas rasmi.

Linah Justin, 54,seorang peniaga di Tamu Ground berkenaan pula berkata dia dimaklumkan bahawa Najib akan melawat peniaga di tamu itu sejak seminggu lalu dan seperti biasa pada 3 pagi tadi dia sudah berada di tamu itu membawa hasil  pertaniannya untuk dijual.

Pada pukul 4 pagi, walaupun barangan jualannya seperti sayur manis, pucuk ubi dan labu sudah habis dibeli pemborong namun dia tidak berganjak dari tamu berkenaan dengan menerima barangan jualan orang lain untuk dijual sementara menunggu ketibaan Perdana Menteri.

"Tengoklah saya ni. Saya siap-siap pakai T-Shirt tertulis 'I Love PM'. Saya memang tunggu dia. Tengah hari semalam, ketika PM tiba di lapangan terbang Keningau, saya tidak sempat bersalaman dengan dia sebab saya ditugaskan memukul gong.

"Semasa di Pusat Kraftangan Sabah, masih tidak dapat bersalam dengan Perdana Menteri kerana dia terlalu jauh, terlalu ramai orang. Pagi ini baru saya dapat salam. Kali ini dapat jumpa dia betul-betullah. Sebelum ini  saya lihat dia di televisyen, pagi ini macam orang putih cakap yang "live" punya," kata Linah yang juga kakak kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Bingkor, Justin Guka.

Dullah Kandihong,80, seorang ketua kampung pula sanggup datang dari Kampung Lintuhun Baru, Sook, semata-mata untuk menemui Najib bagi mengemukakan masalahnya dan lebih 200 peneroka tanah di kampungnya kerana belum mendapat geran tanah walaupun sudah memohon sejak 30 tahun lalu.

"Perdana Menteri, ketika saya tunjukkan surat rayuan berkata kepada saya, 'OK jangan susah'," kata Dullah yang duduk betul-betul bersebelahan dengan Najib ketika bersarapan sambil menunjukkan surat rayuannya dengan tulisan tangan Najib berbunyi 'Pihak berkuasa, untuk diselesaikan'.

"PM juga tanya, apa macam kawasan Sook, saya jawab, jangan susah, sia orang (kami) belum pernah kalah. PM tanya lagi, itu kawasan Tan Sri Joseph Kurup kan?, saya jawab ya," kata Dullah yang berhasrat membuat bingkai untuk meletakkan poster Najib yang ditandatangani Najib di Tamu Ground itu.

Bekas anggota polis, Abdullah Antobon,78, dari Kampung Tuaran, yang berada di Tamu Ground berkenaan sejak pukul 6 pagi lagi, juga cukup gembira dengan kehadiran Najib di situ dan hanya mampu berkata "bagus, bagus, bagus" ketika diajukan soalan. (Bernama)

9 comments:

  1. Dapat juga penduduk Keningau ni tengok Najib secara live:)yang paling menggembirakan ada pengumuman baik dari Najib.

    ReplyDelete
  2. Dulu Najib pun orang kampung juga tu.hehe

    ReplyDelete
  3. kedatangan Najib ke Keningau amat menggembirakan penduduk, Najib jg membawa berita gembira kepada penduduk Keningau.

    ReplyDelete
  4. Najib is more approachable than the ex PMs.

    ReplyDelete
  5. Nampak sangat sambutan yang mengalakkan kehadiran Datuk Najib di Keningau ini.

    ReplyDelete
  6. Kehadiran Datuk Najib ini menambah lagi kemeriahan pesta kaamatan yang diadakan di Keningau ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Menunjukan keperibadian PM yang sentiasa mahu mendekati rakyat

      Delete
  7. Najib sangat berbeza dengan PM terdahulu.. beliau bukan sahaja kerap datang ke Sabah dan Sarawak, malah kerap bersama2 rakyat dan juga belia2 muda..

    ReplyDelete