Sunday 24 June 2012

GASPP: ANTOLOGI GAY SINGAPURA


 

Pengulas: UTHAYA SANKAR SB

SEBELUM ini, apabila berpeluang membaca antologi “Body 2 Body: A Malaysian Queer Anthology” (2009), saya sedikit terkejut dengan 'keberanian' para penulis terbabit memperkatakan isu-isu yang dianggap (ulang: dianggap) tabu dan sensitif dalam konteks negara Malaysia.

Bagaimanapun, ternyata 'Body 2 Body' jauh lebih 'ringan' jika dibandingkan dengan “GASPP: A Gay Anthology of Singapore Poetry and Prose” (2010) yang menyajikan karya-karya yang lebih 'berat' dan 'berani' dalam meneroka isu-isu seksualiti bersifat 'alternatif'.

Saya berpeluang memiliki antologi ini sewaktu menyertai Makassar International Writers Festival di Sulawesi Selatan, Indonesia (13-17 Jun 2012). Kebetulan, peserta/penulis dari Singapura, Ng Yi-Sheng adalah salah seorang penyunting bagi antologi berkenaan.

Antara penulis yang karya mereka termuat dalam antologi penuh kontroversi ini ialah Alfian Sa’at, O Thiam Chin, Irfan Kasban, Ash Lim, Nicholas Deroose dan Jabir Yusoff.

Karya-karya Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin dalam antologi setebal 223 halaman ini termasuk puisi, fiksyen, memoir, esei dan karya eksperimental. Batas antara 'fiksyen' dan 'fakta' pula agak kabur dan terpulang kepada pembaca untuk memutuskan jika penulis menghasilkan 'fiksyen' berdasarkan pengalaman sendiri.

Yi-Sheng yang karyanya turut termuat dalam antologi sulung para penulis LGBT (lesbian, gay, bisexual & transgender) Singapura menjelaskan bahawa buku ini mampu membantu khalayak antarabangsa lebih mengenali kelompok pengarang LGBT di republik berkenaan.

Dr Audrey Yue, Ketua Jabatan Pengajian Filem dan Kebudayaan, Universiti Melbourne dalam kata pengantar menyebut bahawa antologi ini merupakan legasi kepada penglibatan golongan LGBT dalam pelbagai bidang seni, budaya dan sastera Singapura.

Bahagian pengenalan pada antologi ini memberikan maklumat yang sangat berguna mengenai realiti penulis LGBT serta usaha-usaha yang dilakukan bagi menonjolkan kehadiran mereka menerusi fiksyen; selain terlibat sebagai aktivis.

Kebanyakan penulis terbabit juga dijangka menyertai acara “Freedom to Love” pada 30 Jun 2012 di Hong Lim Park. Maklumat mengenainya terdapat di www.pinkdot.sg tetapi hanya warga dan penduduk tetap Singapura dibenarkan mengambil bahagian. Warga asing pula boleh hadir sebagai penonton.

Ketika ditanya, Yi-Sheng mengakui bahawa beberapa kedai buku di Singapura menerima 'amaran' dan 'nasihat' daripada pihak tertentu supaya tidak memperaga dan menjual antologi 'GASPP'. Bagaimanapun, antologi ini tidak (belum?) diharamkan di republik berkenaan.

Saya belum pernah melihat antologi ini di kedai-kedai buku Malaysia dan saya tidak akan berasa hairan/terkejut sekiranya antologi ini diharamkan atas alasan gambar kulit buku tidak sesuai dengan budaya kita!

Uthaya Sankar SB adalah penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1996/97 & 1998/99). Novel 'Ugut' bertema LGBT pernah disiarkan di The Malaysian Insider (18 September 2011 – 15 April 2012).

No comments:

Post a Comment