Saturday 2 June 2012

PENGAKAP BERPENGARUH MEMBENTUK JATI DIRI




SAMPAIKAN.....Azizah menyampaikan cenderakenangan kepada Pesuruhjaya (Kelana) Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Othman Durani.


Oleh : ABU BAKAR ESAH

BEAUFORT: Persatuan Pengakap dilihat berpengaruh dalam membentuk jati diri masyarakat. Tenaga dan khidmat ahli Pengakap sepatutnya tidak disia-siakan malah perlu turut sama menjadi tulang belakang terhadap kejayaan dasar-dasar kerajaan dalam membangunkan belia dan beliawanis.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Azizah Mohd Dun ketika menyatakan perkara itu berkata gerakan Pengakap yang berusia lebih seratus tahun dan akan memasuki 100 tahun di negeri Sabah, kini lebih matang untuk meneruskan fungsi dan peranannya untuk bertindak sebagai pelengkap kepada pendidikan formal, dan ia penting untuk membentuk perwatakan dan keperbadian yang luhur bagi generasi muda.

“Dengan penyertaan dalam program seumpama ini, belia dan beliawanis dapat membentuk keterampilan dan pengetahuan, meningkatkan disiplin diri dan membina semangat kebersamaan bagi para anggotanya,” katanya.

Beliau berkata, persatuan ini perlu relevan mengikuti perkembangan semasa dan bersedia menghadapi realiti semasa sebagai persatuan yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara sekali gus gerakan pengakap berpotensi menarik minat generasi muda untuk menyertainya.

“Falsafah Persekutuan Pengakap Malaysia adalah untuk menyediakan latihan kepimpinan berasaskan kepada Prinsip dan Undang-undang Pengakap dengan bermatlamatkan berbuat baik dan mempertingkatkan semangat persaudaraan tanpa mengira warna kulit, agama dan kebudayaan bagi membentuk masyarakat yang seimbang dari segi intelek, kerohanian dan fizikal di atas landasan kepercayaan kepada Tuhan.

“Saya yakin andai semua anak Malaysia mempraktikan nilai dalam undang-undang ini sudah pasti kita tidak ada halangan mencapai status matlamat Negara membentuk modal insan kelas pertama dan berketerampilan menjelang Tahun 2020.

“Namun, realiti itu masih belum dicapai. Kita masih belum boleh berbangga. Tetapi kita belum putus asa, kita masih terus berusaha. Kerajaan sedaya upaya mengubal pelbagai dasar yang relevan dalam meningkatkan jati diri Belia Beliawanis Negara.

“Hari ini kita semakin lebih baik dari hari-hari semalam. Hari ini kita boleh aman melakukan perkara dan aktiviti yang kita suka. Hari ini kita bebas bergerak dalam memajukan diri, keluarga dan bangsa. Justeru, Pastikan Hari esok akan menjadi lebih baik dari hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Pesta Kaamatan Pra Jambori Pedalaman Bawah sempena Ulang tahun Pengakap Sabah Ke-100 di Dewan Baru Beaufort.

Pra-Jambori malam itu bukan sahaja disertai ahli pengakap dari Beaufort, Sipitang, Kuala penyu, tetapi ahli pengakap dari luar juga turut hadir seperti dari Kota Kinabalu, Sembulan, Inanam, malah ada juga datang dari jauh Tawau, Brunei, Johor Bharu dan Kelantan.

Hadir sama pada majlis yang diisi dengan pertandngan Sugandoi dan Unduk Ngadau itu ialah Pesuruhjaya (Kelana) Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Othman Durani; Penolong Pesuruhjaya Negeri (Pentadbiran) merangkap Timbalan Presiden Majlis Belia Sabah,Nourman Rayn Ag Zaini; Penolong Pesuruhjaya Negeri, Jibah Suhaili; Pesuruhjaya Ibu Pejabat Negeri (Korporat) Zia Zuhairi; Pesuruhjaya Bahagian Pedalaman Bawah, Sabli Bakri dan Setiausaha Kehormat Pemimpin Pengakap Pedalaman Bawah, Awang Anak Ab Sani.

Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias itu berkata belia mahu melihat bahawa matlamat Pengakap terus segar dan boleh membantu negara dalam melahirkan keperibadian belia dan beliawanis yang mempunyai jati diri, disiplin dan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat dan persekitaran.

“Saya menyeru agar barisan kepimpinan Pengakap Negeri mengangkat Pengakap ini ke satu tahap yang lebih tinggi lagi. Tinggkatkan nilai sukarelawan dalam persatuan ini dan tampillah sebagai badan sokongan sukarelawan yang aktif dan maju dalam menyumbang tenaga dan bakti serta berupaya menjadi badan sokongan sukarela yang bermanfaat dalam membangunkan masyarakat.

“Pergiatkan aktiviti bukan sahaja dikalangan aktiviti sesama ahli pengakap sendiri tetapi juga lakukan sesuatu sentuhan kemasyarakatan juga. Kita tidak mahu hanya melihat potensi ahli pengakap yang luas ini dipersia-siakan. Tampillah dengan megah sebagai anak pengakap untuk kerja-kerja sukarelawan,” katanya.

Dalam pada itu Azizah turut menyeru ahli pengakap mengambil iktibar daripada pesta kaamatan dengan mensyukuri nikmat kemakmuran dari rezeki yang dilimpahkan Tuhan di negara ini.

“Pada malam bersempena meraikan Pesta Kaamatan, marilah sama-sama mengambil sama nilai disebaliknya, mensyukuri kenikmatan rezeki dari Tuhan ke atas Negara yang kita cintai ini.

“Dalam kita seronok melihat kecantikan Unduk Ngadau kita mempelajari kisah di sebalik Hominodun ini yang memberi maksud yang berkorban. Apa yang boleh kita ambil nilai di sini ialah untuk kita punya murah rezeki itu perlulah ada usaha dan dalam usaha itu kita pula perlu ada banyak pengorbanannya,” katanya.

7 comments:

  1. Hope that the Boy Scout club can continue to serve society.

    ReplyDelete
  2. Keep up the good work and hope to see better accomplishment in the near future.

    ReplyDelete
  3. persatuan pengakap mmg bertujuan dalam membentuk jati diri individu agar menjadi insan yang berdisiplin.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pembentukan jati diri memang diperlukan bagi setiap pelajar

      Delete
  4. Persatuan Pengakap is fun! Especially when this club is active.

    ReplyDelete
  5. Siapa yang pernah menyertai pengakap pasti tahu akan disiplin dan pendedahan yang diajar.

    ReplyDelete
  6. Pasti aktiviti yang ditunggu-tunggu oleh semua ahli pengakap.

    ReplyDelete