Sunday 24 June 2012

PENYAKIT JEJASKAN KEHIDUPAN




CEMERLANG.....Azizah menyampaikan hadiah Anugerah Desa Cemerlang kepada Pengerusi JKKK Kg Suasa, Ruslan Muharam sambil disaksikan Isnin, Zambri (dua kiri), Saidin (kanan) dan Halick (kiri).

Oleh : ABU BAKAR ESAH

BEAUFORT:Penyakit yang dihidapi seseorang akan menyebabkan beban kewangan kepada individu dan keluarga, kualiti hidup yang rendah, menjejaskan produktiviti dan peningkatan beban kewangan kepada negara.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, kerajaan membelanjakan kira-kira RM1.3 bilion untuk perubatan sahaja bagi merawat penyakit-penyakit tidak berjangkit di negara ini dan secara puratanya kos ini meningkat sebanyak 12% setiap tahun.

Beliau berkata masyarakat kita hari ini dibebani dengan pelbagai jenis penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya berikutan amalan pemakanan yang tidak sihat, merokok, pengambilan alkohol dan tekanan yang merupakan faktor-faktor penyumbang kepada permasalahan ini

“Beban penyakit tidak berjangkit di negara ini juga tinggi dimana kira-kira 1.7 juta penduduk dewasa adalah obes dan menduduki tempat keenam di kalangan negara Asia dengan kadar obesiti yang tertinggi.

“Kira-kira 1.5 juta orang dewasa pula menghidap penyakit diabetes dan 4.8 juta menghidap penyakit hipertensi. Kematian pra-matang akibat penyakit-penyakit tidak berjangkit juga adalah tinggi yang mana menyumbang kepada 26 peratus daripada keseluruhan kematian di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Mini Karnival Sihat anjuran Jabatan Kemas Parlimen Beaufort, Parlimen Kimanis dan Parlimen Papar Tahun 2012 di Tapak Tamu Pekan Beaufort di sini.

Hadir sama, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Infrastruktur, Isnin Aliasnih; Pengarah Kemas Negeri Sabah, Zambri Mohamed; Pemimpin Kemajuan Rakyat Dun Klias, Saidin Museh; Ketua Daerah, Wong Sameh dan Pegawai Kemas Daerah Beaufort, Halick Udeh.

Azizah yang juga Adun Klias itu berkata Kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia khususnya memandang serius terhadap taraf kesihatan dan taraf pemakanan rakyat Malaysia.

Katanya, ianya dapat dilihat melalui usaha yang ditunjukkan oleh anggota-anggota di Kementerian Kesihatan Malaysia, yang sentiasa mencari kaedah baru dan jalan penyelesaian dalam menangani isu-isu pemakanan negara.

“Selain daripada itu NGOs juga turut perihatin dan bergerak aktif menjalankan pelbagai kempen kesedaran kesihatan kepada masyarakat. Usaha bersepadu dari semua pihak samada badan kerajaan, NGOs, Persatuan, sekolah, Institusi pengajian adalah penting dalam menyalurkan pemahaman tentang kepentingan menjaga kesihatan ini,” katanya.

Azizah menambah kementeriannya dan agensi di bawahnya turut sama menjayakan program kesihatan seumpama ini.

“Penerapan amalan hidup mementingkan kesihatan itu dihebahkan melalui program-program yang telah dirancang, contohnya seperti Klinik Bergerak Nur Sejahtera LPPKN dengan menjalankan Ujian Mamogram dan ujian Kesihatan lain,” katanya.

Selian itu katanya Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) mengadakan kursus dan seminar mengenai Pemakanan yang seimbang terutama kepada warga Emas.

“Unit Keluarga KPM dan HEP pula menjalankan program kekeluargaan dan menitikberatkan kesihatan keluarga dan Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) memberi kesedaran kepentingan kesihatan melalui bahan bacaan,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru agar rakyat mengamalkan gaya hidup sihat sebagai pelaburan masa depan yang paling penting.

“Kepentingan menjaga kesihatan ini adalah pelaburan masa depan. Jika kita lalai dan tidak memandang serius, kelak kita berhadapan dengan risiko penyakit yang lebih rumit lagi.

“Berdisiplinlah dalam mengambil makanan, makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Elakkan mengambil makanan dengan kuantiti berlebihan, berhentilah apabila kenyang

Pada majlis itu Azizah menyampaikan hadiah RM4,000.00 dan sijil kepada Kampung Suasa yang menjadi johan Anugerah Desa Cemerlang.

Tempat kedua pula disandang Klias Kecil dengan membawa pulang RM3,000.00 dan Kg Rancangan Klias di tempat ketiga dengan hadiah RM2,000.00.

Semantara itu Jabtan Kesihatan Beaufort dipilih sebagai penyandang gerai terbaik diikuti Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak dan Majlis Daerah Beaufort.

No comments:

Post a Comment