Saturday 23 June 2012

PENYANYI MAK NYAH MENGAKU INSAF




SEORANG penyanyi mak nyah yang dikatakan popular di Kelantan dengan nama Kajol, mengaku insaf di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu dan berjanji untuk berkelakuan baik.

Kajol atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Jeffri, 25, juga tampil dengan memakai kopiah ketika hadir ke mahkamah semalam, lapor Berita Harian.

Dalam pengakuannya di hadapan Hakim Syarie Abu Bakar Abdullah, penyanyi berkenaan berkata beliau mahu menjadikan tindakan yang dikenakan ke atasnya itu sebagai pengajaran.

Mahkamah Rendah Syariah pada 21 Jun lalu menjatuhkan hukuman penjara sebulan atas kesalahan berperwatakan seperti wanita dan berpakaian tidak senonoh di khalayak ramai ketika membuat persembahan di satu tapak ekspo di Tanah Merah, Kelantan.

Hakim Syarie semalam bagaimanapun memutuskan untuk mengenepikan hukuman penjara sebulan atas kesalahan itu, namun mengekalkan hukuman denda RM1,000 atau penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah Tinggi Syariah juga menetapkan syarat supaya Kajol berkelakuan baik dan tidak mengulangi kesalahan berkenaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut.

Kajol yang membayar denda berkenaan dilaporkan berkata, beliau akan cuba berubah dan berjanji untuk mengurangkan aktiviti persembahannya.

No comments:

Post a Comment