Sunday 10 June 2012

PTPTN BATAL PEMBEKUAN PINJAMAN UNISEL, KUIS




Oleh :  ABDUL RAHIM SABRI

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengambil keputusan untuk menarik balik pembekuan pemberian pinjamannya kepada siswa Universiti Selangor dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Sebelum ini, PTPTN telah membekukan pinjaman kepada Unisel dan KUIS - kedua-duanya di bawah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor - sehingga mencetuskan pelbagai reaksi bantahan pelbagai pihak terhadap tindakan tersebut.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata tindakan pembekuan pinjaman PTPTN itu dibuat untuk memberi peluang kepada kerajaan Selangor yang mahu pendidikan di negara ini, termasuk di peringkat tinggi, diberi secara percuma.

Tindakan itu juga diambil ekoran kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pelajar supaya jangan membayar balik pinjaman PTPTN dan berjanji ianya akan dimansukan jika Pakatan menawan Putrajaya dalan pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, seorang pegawai tinggi PTPTN ketika menjawab SMS daripada wartawan Malaysiakini, mengesahkan keputusan menarik balik pembekuan pinjaman kepada Unisel dan KUIS.

"Pejabat menteri pagi ini telah mengeluarkan surat (supaya) pinjaman PTPTN diteruskan kepada Unisel dan KUIS," katanya yang tidak mahu namanya disebut.

"Eloknya hubungi pejabat YB menteri," katanya dalam SMS tersebut.

Khaled seterusnya mengesahkan tindakan menarik balik pembekuan pinjaman siswa Unisel.

Beliau dilaporkan Utusan Online sebagai berkata, tindakan terbaru itu diambil ekoran "rayuan dan penjelasan Unisel bahawa ia tidak berniat untuk memberi pendidikan percuma kepada pelajar."

"Unisel juga mengakui bahawa PTPTN penting untuk pelajar justeru mengambil kira penjelasan dan keseriusan Unisel mengenai perkara ini saya telah meminta PTPTN menarik balik pembekuan itu pagi ini,’’ katanya seperti dipetik laman itu.

Perkara itu turut disahkan seorang pegawai kanan kerajaan Selangor yang dihubungi Malaysiakini hari ini.

Pegawai yang enggan namanya didedahkan itu berkata siswa berkenaan boleh membuat permohonan pinjaman tersebut bermula malam ini.

Petang tadi, Naib Canselor Unisel Prof Dr Anuar Ahmad yang mengesahkan pembekuan pinjaman PTPTN ditarik balik, berkata beliau menerima surat rasmi mengenainya selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Eksekutif PTPTN, Agos Cholan pagi ini.

Surat itu mengesahkan bahawa pinjaman pendidikan akan disediakan semula, dan ditandatangani oleh pegawai khas dari Kementerian Pengajian Tinggi, kata Anuar dalam sidang media di Unisel.

Mesyuarat pagi tadi diadakan selepas surat rayuan dikemukakan berikutan mesyuarat sebelumnya dengan Agos minggu lepas. Pelajar boleh memohon semula pinjaman tersebut mulai malam ini, katanya.

Ketika diminta mengesahkan laporan bahawa beberapa pelajar telah meninggalkan Unisel selepas gagal memohon pinjaman tersebut, Anuar berkata tiada rekod mengenainya dan oleh itu tidak dapat mengesahkannya.

Bagaimanapun,tambahnya,jika ada yang berbuat demikian, mereka dialu-alukan kembali semula dan akan dibantu meneruskan pengajian mereka di Unisel.

Anuar berkata, pihaknya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Selangor atas sokongan moral dalam situasi tersebut.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak lain yang terlibat. (MKINI)

10 comments:

  1. nasib baik pembekuan dah dibatalkan, jika tidak pasti sukar bagi pelajar nak lanjutkan pengajian.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tindakan tersebut hanya satu ujian. kalau betul2, pembangkang boleh beri bantuan kewangan percuma kepada semua pelajar?

      Delete
  2. Mahasiswa yang buat perhimpunan meminta PTPTN dimansuhkan sebelum ni hanya terpengaruh dengan hasutan pembangkang. sekarang baru sedar PTPTN tu sangat penting??

    ReplyDelete
  3. Baru gertak sikit sudah kecut ka?

    ReplyDelete
  4. Baguslah kalau PTPTN bertindak demikian.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mungkin mahu tengok macam mana kerajaan Selangor menagani masalah tu.

      Delete
  5. Tindakkan PTPTN menarik balik pembekuan PTPTN ini memberikan wajah yang baik kepada mahasiswa UNISEL ini.

    ReplyDelete
  6. Kenapa dibekukan? apa masalah UNISEL sehinggakan pelajar2 tidak dapat pinjaman.

    ReplyDelete
  7. bukan Pakatan yang mahu PTPTN dimansuhkan ka?

    ReplyDelete
  8. jika Anwar bersungguh2 mahu memberikan pendidikan percuma, inilah masa terbaik untuk beliau menunjukkan kesungguhan beliau.. apa salahnya beliau gunakan dana kerajaan negeri intuk melaksanakan pendidikan percuma di Selangor atau negeri2 Pakatan yang lain??

    ReplyDelete