Sunday 24 June 2012

RIADAH MEDIUM ERATKAN SILATURRAHIM




SERVIS....Nasrun membuat pukulan servis mula simbolik perasmian pertandingan dan gelanggang badminton Kg.Teck Guan.

Oleh : MOHD RIZAL

LAHAD DATU : Aktiviti riadah bukan sahaja mampu menyihatkan tubuh, malah boleh menjadi medium untuk mengeratkan dan menjalinkan silaturrahim, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lahad Datu, sukan mampu memberikan pelbagai kesan positif dalam suasana yang riang dan gembira.

“Aktiviti riadah seperti bersukan akan memberikan kesihatan yang baik disamping dapat membentuk pergaulan sosial yang sihat diantara satu sama lain,” kata beliau sempena perasmian Pertandingan Badminton Terbuka Anjuran Umno Silam dan Perasmian Gelanggang Badminton Kg.Teck Guan yang telah disumbangkan oleh beliau selaku wakil rakyat kawasan ini, malam semalam.

Nasrun yang juga Ketua Umno Bahagian Silam berkata, dengan adanya pusat riadah di sesebuah kampung para masyarakat terutama sekali golongan belia juga dapat memanfaatkan masa lapang mereka dengan berkualiti secara bersukan di tempat yang sesuai sekaligus mengelak daripada terjebak dalam gejala sosial.

“Saya menyeru rakyat di daerah ini agar memperbanyakkan aktiviti bersukan kerana ia  adalah salah satu medium menjalin perpaduan dan hubungan baik serta mencegah daripada perpecahan,” ujar beliau yang merupakan Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional kawasan Parlimen Silam.

Nasrun dalam majlis tersebut juga meluangkan masa untuk menonton pertandingan akhir bagi kategori perseorangan dan bergu, yang melibatkan belia dari beberapa buah kampung sekitar daerah.

Bagi kategori perseorangan, telah dimenangi oleh Akbar Hatta dari Kg.Teck Guan, manakala johan bagi kategori bergu pula ialah Sainuddin Supu dan Arifin Yusup iaitu belia daripada Kg.Unta dan wakil Team Rintis Lahad Datu.

Hadir sama, Pemimpin Kemajuan Rakyat Lahad Datu, Aljen Johnny; Pegawai Pembangunan Masyarakat, Amat Paduka Kawoh dan Naib Ketua Pemuda Umno Silam, Hazlan Hamid.

No comments:

Post a Comment